SAUDARA PENGARANG
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggariskan kesihatan mental sebagai salah satu daripada tiga elemen utama kesihatan sejak 1948. Malah dalam matlamat ketiga Pembangunan Lestari (SDG) juga menyatakan bahawa menjelang 2030, kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit perlu dikurangkan sebanyak satu pertiga iaitu melalui pencegahan dan rawatan, serta meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental.
Cara penilaian kesihatan mental di Malaysia adalah satu cabaran kerana kesihatan mental adalah subjektif dari segi budaya yang berbeza merentas komuniti dan masyarakat. Malah, rakyat Malaysia mempunyai stigma terhadap kesihatan mental di mana ia dianggap sebagai satu kelemahan diri atau pun kelemahan spiritualiti.
Secara tidak langsung, masyarakat juga kurang serius tentang kesihatan mental walaupun kesihatan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia menjelang 2030.
Setiap peringkat umur mempunyai cabaran dan isu tersendiri dari segi politik, sosial, ekonomi dan teknologi. Namun, jika dilihat kepada statistik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2020 yang mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental yang lebih tinggi.
COVID-19 PENYUMBANG MASALAH MENTAL
Berikutan penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020 juga kita dapat lihat bahawa talian utama Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis Kebangsaan (CPRC) telah menerima banyak panggilan daripada rakyat Malaysia di mana 46.8% daripada pemanggil mengalami masalah psikologi yang sangat berkait rapat dengan kesihatan mental.
Selain itu, statistik Talian Bantuan Psikososial pada tahun 2021 juga mendedahkan bahawa sebanyak 89.4 peratus (109,806 daripada 122,328 panggilan) adalah berkaitan dengan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan psikologi.
Namun begitu, secara keseluruhan skor kesihatan mental rakyat Malaysia dari segi keupayaan mereka untuk mengatasi ketegangan, perasaan bimbang dan kemurungan masih berada pada tahap terkawal. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai daya tahan yang tinggi untuk mengatasi tekanan di sekeliling mereka.
KEMPEN GALAK HIDUP SIHAT
Pihak kerajaan, swasta mahupun individu persendirian di Malaysia amat cakna dalam keperluan menangani isu kesihatan mental yang berlaku. Antaranya kempen Program Rakan Muda Comfort Room Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Program Minda Sihat Sekolah, Program Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL), Program Siswa Sihat, Let's TALK Minda Sihat, Talian Bantuan Sokongan Psikososial dan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malah, Selangor juga telah melancarkan Aplikasi Kesihatan Mental Selangor pada Ogos 2021 yang dinamakan Selangor Mental Sihat (Sehat) bagi menangani isu kesihatan mental yang dialami rakyat akibat pandemik Covid-19. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri.
Bagaimanapun, di sebalik usaha untuk melaksanakan program ke arah menangani isu kesihatan mental, statistik bunuh diri dalam kalangan belia agak membimbangkan. Dalam tempoh antara Januari 2019 sehingga Mei 2021 seramai 872 orang yang membunuh diri adalah berumur 15 hingga 18 tahun.
Manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang. Ini menunjukkan bahawa lebih banyak usaha diperlukan untuk memperkukuhkan lagi sistem pengawasan kesihatan mental.
(FOTO HIASAN)
JANGAN SALAH GUNA “GANGGUAN MENTAL”
Secara empirikalnya, terdapat beberapa kajian daripada universiti di Malaysia yang menyentuh kepada kesedaran berhubung kesihatan mental dan cara untuk mengatasinya. Kebanyakan artikel yang diterbitkan oleh para penyelidik di Malaysia menekankan bahawa kesihatan mental yang sering dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah masalah kebimbangan melampau, kemurungan dan ketegangan jiwa.
Antara pendekatan yang dicadangkan adalah psikospiritual di mana agama dan komuniti memainkan peranan dalam memberikan sokongan kerohanian kepada individu untuk menjalani cabaran kehidupan seharian.
Namun begitu, harus kita fahami bahawa setiap individu mempunyai tahap daya tahan dan daya tindak berbeza. Jika dilihat pada Generasi Z yang lahir pada tahun 1995 hingga 2009, mereka ini sedang memasuki alam pengajian tinggi dan pekerjaan.
Mereka mempunyai peran ganda yang besar memandangkan mereka berkecimpung dalam peralihan era yang ketara ketika negara dilanda pandemik dan ekonomi yang tidak stabil. Oleh itu, ramai yang menyalahgunakan istilah ‘gangguan mental’ apabila gagal meraih sesuatu kejayaan atau digunakan sebagai alasan atau lesen untuk melepaskan diri dari didakwa.
Pesanan kepada belia, jangan gunakan ‘gangguan mental’ sebagai lesen untuk anda lari dari masalah kerana hal ini membuatkan mereka yang betul-betul mengalami gangguan mental dan memerlukan bantuan dipandang enteng oleh orang sekeliling.
PENULIS DR HAMIZAH SAHHARON ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.