fb fb fb fb fb

‘Sains Fobia’: Retorik sains komunikasi menghantui masyarakat

SAUDARA PENGARANG

“Sains” adalah satu ungkapan yang menakutkan seperti “hantu”.

Ramai orang terutamanya para pelajar amat gerun mendengar ungkapan itu.

Tambahan lagi apabila mereka dihantui oleh ungkapan biologi, kimia dan fizik yang mana boleh dikatakan umpama menjerut leher mereka sehingga nafas yang terakhir.

Ketakutan kepada sains ini seolah-olah diwarisi dari zaman ke zaman.

Sains fobia ini amat mempengaruhi ramai orang yang menyatakan sains itu menyeksakan.

Walhal, sebenarnya, dalam kehidupan harian, kita berkomunikasi dan bekerja dengan sains.

Bezanya ialah, apa yang kita bicarakan dan kerjakan tidak menggunakan terma-terma khusus yang boleh mencetus ketakutan.

Contoh sains komunikasi harian ialah seperti isu-isu alam sekitar seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau panjang dan pelbagai lagi adalah ketidaktentuan yang mencetus inspirasi kepada peristiwa semasa, cuaca luar biasa atau keperluan untuk membongkar retorik sains.

Antara contoh lain adalah seperti keseimbangan ekosistem, pereputan, pengambilan suplemen, racun, proses pembiakan dan pelbagai lagi.

Selalunya perbualan yang bermula dengan soalan "adakah anda percaya pada perubahan iklim?", jawapan spontan yang terpacul di minda, "sains bukan suatu sistem kepercayaan".

Akan tetapi masyarakat lebih percaya kepada petua-petua walaupun ianya memerlukan penjelasan yang lebih mendalam.

Persoalan itu seolah-olah melingkari soal iman.

Umum mahu mempercayai bahawa tiada konflik yang wujud antara kepercayaan dan sains.

Namun, persoalan itu telah membuka seribu satu persoalan dengan pelbagai kemungkinan.

Kemungkinan tersebut mendorong satu penilaian tentang apa yang dianggap sebagai ketakutan terhadap sains atau ‘sains fobia’.

Sains fobia ini berkemungkinan tercetus daripada persepsi masyarakat yang berkonflik dengan kepercayaan akidah.

Seringkali tercetus dakwaan yang menyatakan satu penghinaan kepada manusia untuk menganggap manusia boleh mengubah cuaca atau iklim.

Namun, isu pencemaran udara, pemusnahan lapisan ozon, pulau haba dan sebagainya cuba digunakan saban masa sebagai bukti kebenaran dakwaan tersebut.

Percaya atau tidak, dengan memahami sains, sebenarnya akan membuatkan kita semua boleh hidup sihat dan dapat mencegah pelbagai penyakit demi kelestarian kehidupan kita.

Pembangunan silibus pelajaran Pendidikan Sains mahupun Komunikasi Alam Sekitar kini dijadikan sebagai alat doktrinasi kemanusian telah membuahkan pelbagai versi keyakinan yang sering dianjurkan untuk diraikan dalam menghormati apa jua kepercayaan, sistem kepercayaan atau perspektif yang dianuti.

Kaedah saintifik, data yang disahkan dan penerbitan ilmiah disedari semakin bertentangan dengan apa yang dipercayai oleh keyakinan moral dan agama masyarakat.

Konflik tersebut ada asasnya apabila dilihat dari pelbagai sudut pandang yang membentuk persepsi terhadap sains.

Sains komunikasi ini berlangsung dalam kehidupan seharian kita.

Kepercayaan kepada sains bergantung kepada bagaimana dan di mana kita dibesarkan, didikan berasaskan kepercayaan, penjajaran politik dan pengaruh rakan sebaya memungkinkan pembentukan sesebuah kehidupan.

Namun, tiada satu pun daripada ini harus diguna sebagai dasar untuk melemahkan sains dan sains komunikasi.

Sebuah karya bertajuk, Student Attitudes, Student Anxieties, and How to Address Them: A handbook for science teachers berpendapat bahawa pelajar juga membawa prasangka ke dalam bilik darjah tentang sains.

Mereka mungkin menganggapnya sebagai dingin, terasing, atau berat sebelah terhadap segolongan masyarakat tertentu.

Ramai pelajar termasuk ibu bapa juga mengalami ‘kebimbangan sains’.

Wujud desas-desus ibu bapa yang mengeluh, ‘Saya bukan orang sains dan begitu juga anak saya’.

Kenyataan sedemikian sedikit sebanyak melatih muda-mudi untuk mengalah kepada rasa tidak selamat atau berat sebelah ibu bapa semasa merencana kehidupan masing-masing.

Percaya atau tidak, proses pembelajaran boleh menjadi sukar kepada segelintir pelajarnya dan diburukkan lagi dengan persepsi buruk yang menular dalam kalangan rakan sebaya.

Oleh kerana itu, satu anjakan paradigma telah diambil oleh kerajaan untuk menghakis rasa takut kepada sains dan menerapkan unsur-unsur sains komunikasi yang efektif.

Kerjaya sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan (STEM) diunjurkan menjadi asas pekerjaan utama pada masa hadapan.

Para pendidik dalam bidang sains seharusnya memperkasa bidang ini dengan menggunakan kaedah sains komunikasi masyarakat yang efektif.

Pada peringkat awal, sama sekali tidak menakutkan para pelajar dengan ‘bahasa sains’ yang boleh memeranjatkan mereka malah boleh mengelirukan mereka.

Penggunaan laras bahasa mengikut pemahaman mereka adalah amat penting dan disulami dengan ‘bahasa sains’ membolehkan para pelajar menjiwainya.

Penceritaan yang mengetengahkan kaedah didik-hibur dalam membuktikan sebab dan akibat kepada sesuatu perkara semestinya memudahkan para pelajar menguasai sesuatu pembelajaran tersebut.

Masukkan caption

Namun begitu, dipercayai, kini ramai para pendidik sedang berjuang untuk memperhebat budaya cinta kepada ‘sains’ dan menghakis ‘sains fobia’ sedang giat dijalankan.

Pertandingan seperti Puisidra Sains antara kaedah pembelajaran sains dan contoh sains komunikasi yang baik yang boleh memahamkan sesuatu situasi dengan berkesan.

Tidak kurang hebatnya juga apabila warga pendidik dalam bidang sains kini giat menggunakan sosial media mereka untuk memberi ilmu seperti melakukan eksperimen untuk menerangkan sesuatu fenomena juga telah menarik perhatian masyarkat untuk mempelajari dan memahami sesebuah konsep.

Diharapkan agar pada masa akan datang, sains fobia ini tidak lagi wujud dalam kamus setiap insan.

Harus kita sedar bahawa sains komunikasi ini berlaku dalam kehidupan harian kita.

Cuma, dalam sains, femomena itu dijelaskan dengan lebih sainstifik dengan menggunakan ‘bahasa sains’ yang tidak perlu ditakuti tetapi perlu difahami.

PENULIS AHMAD FARID ABDUL FUAD, merupakan pensyarah Biologi, Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu dan DR MOHD YUSOF ZULKEFLI, merupakan pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu