fb fb fb fb fb

Tidak lagi canggung guna teknologi digital

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Mengimbau jerihnya pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun, memang agak menyakitkan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa turut menjejaskan emosi dan semangat kebanyakan orang awam.

Banyak aktiviti ekonomi, pendidikan dan sosial terhenti atau tersekat disebabkan PKP. Hanya aktiviti-aktiviti di hospital dan pusat-pusat kesihatan yang rancak tanpa henti 24 jam. Pihak berkuasa terutama polis dan tentera, juga petugas kesihatan antara yang terkesan langsung. Ramai dalam kalangan mereka turut keletihan dan terjejas kesihatan ekoran waktu kerja lebih panjang demi memastikan penularan COVID-19 dapat dihentikan.

Namun, hikmah PKP dan COVID-19 memberikan impak besar terhadap pengecilan jurang teknologi digital dan komunikasi. Di bandar atau di kampung, kaya atau miskin, profesional mahupun tanpa pekerjaan sekali pun.

PKP fasa mesra teknologi digital

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, kebanyakan individu telah mulai berjinak mesra dengan teknologi komunikasi.

Terkejut. Terpaksa. Tiada pilihan! Begitulah perasaannya semasa awal PKP. Ini kerana hanya pergerakan saja yang dikawal, namun aktiviti utama perlu diteruskan. Konsep bekerja dari rumah diperkenalkan. Urusan bank dengan hutang piutang tetap perlu dilunaskan.

Guru tadika, Sekolah Kebangsaan dan Menengah sehinggalah ke Pensyarah IPT walau tiada pengalaman dan latihan mencukupi sebelumnya, tiada alasan sempat disuarakan. Ini kerana tugas mendidik dan memperkenalkan seawal huruf ABC dan nombor 123 tetap perlu diteruskan. Termasuk kuliah statistik, rekabentuk dan sains sukan misalnya turut perlu diteruskan secara maya. Pelbagai gelagat dapat disaksikan. Kadangkala lucu dan meletihkan, malah sering juga sedikit mengecewakan apabila hasilnya kurang memberangsangkan.

Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perdana Menteri bertarikh 28 April 2022, berhubung laporan survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan capaian isi rumah kepada internet menunjukkan peningkatan kepada 95.5 peratus pada tahun 2021 berbanding 91.7 peratus pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus.

Capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus pada tahun 2021 ketika kemuncak PdPR dijalankan. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan internet isi rumah.

Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran atas talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus formal atas talian meningkat kepada 29.9 peratus (2021) daripada 18.0 peratus pada tahun sebelumnya. Manakala peratusan individu yang merujuk laman web untuk pembelajaran formal seperti Wikipedia dan Ensiklopedia pula telah meningkat daripada 40.3 peratus pada 2020 kepada 59.0 peratus pada 2021.

Dalam laporan sama kepada penggunaan internet, peratusan individu yang menggunakan komputer meningkat kepada 83.5 peratus pada 2021 (2020:80.0%). Peratusan individu yang menggunakan telefon bimbit turut meningkat kepada 98.7 peratus (2020:98.2%). Situasi ini menjelaskan bahawa penggunaan teknologi digital dan komunikasi menjadi satu kemestian seiring dengan senario semasa. Ia menjadi semakin pesat apabila negara memasuki fasa endemik serta pemulihan ekonomi.

Fenomena teknologi pendidikan digital masa kini

Teknologi digital telah memberikan impak yang besar terhadap kehidupan manusia dalam banyak aspek. Boleh dikatakan bahawa peningkatan dalam penggunaan teknologi digital merupakan salah satu hikmah terbesar endemik COVID-19. Dalam era revolusi 4.0 ini, teknologi digital berkembang pesat dan menjadi sebahagian penting kehidupan sehari-hari. Dengan kecanggihan teknologi digital semasa, kita dapat berkomunikasi secara berkesan dan interaktif dengan siapa saja dan di mana jua.

Namun, kepesatan teknologi digital juga memberikan perspektif yang berbeza bagi kebanyakan kita. Terutama dalam hal memahami bagaimana teknologi digital bekerja dan bagaimana ia dapat digunakan secara bijak terutamanya dalam aspek pendidikan. Pada dasarnya, teknologi digital dan komunikasi dapat digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan, namun baik atau buruknya bergantung kepada penggunaannya.

Kini kaedah pembelajaran teradun, hibrid, “flipped”, gamifikasi dan pelbagai lagi pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang mengintegrasikan teknologi pendidikan digital giat dilaksanakan. Kaedah-kaedah ini bersesuaian dengan perkembangan dan keperluan pendidikan era revolusi 4.0 dengan kelas dan kuliah secara maya, bukan lagi suatu yang asing.

Kuliah dan tutorial secara segerak (synchronous) dalam talian menggunakan platform telesidang seperti google meet, zoom dan webex, menjadi selesa dan akrab.

Meskipun pada peringkat awal, guru berhadapan masalah untuk memastikan keterlibatan pelajar. Kini, pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Web 4.0 seperti Canva, Mentimeter, Quizlet, Padlet, augmented reality dan banyak lagi yang menyokong penglibatan aktif dan kolaboratif pelajar serta dapat memberi pengalaman pembelajaran imersif maya.

Penggunaan platform Learning Management System (LMS) dan Content Management System (CMS) seperti google classroom, microsoft teams, Edmodo, mahupun moodle juga telah ditambah baik dan direka bentuk khas mengikut keperluan institusi menjadikan pengurusan pembelajaran secara teradun lebih berkesan.

Melalui penggunaan LMS, pengurusan rekod pelajar juga bertambah baik. Tiada lagi guru perlu memanggil nama murid satu persatu untuk mengesahkan kehadiran. Hanya dengan mengimbas QR Code atau menggunakan google attendance, rekod kehadiran semuanya disimpan dengan selamat.

Selain itu, banyak fail dan kertas dapat dijimatkan apabila kaedah penghantaran tugasan dilaksanakan secara dalam talian yang turut bersifat mesra dan bijak pengguna. Tiada lagi kertas-kertas tugasan yang terhimpun, hanya perlukan fail maya atau folder simpanan tugasan.

Kaedah semakan dan penandaan pelbagai tugasan dan peperiksaan turut menjadi mudah. Bentuk tugasan juga dihasilkan dalam pelbagai media yang lebih kreatif, disesuaikan dengan objektif pembelajaran sesuatu kursus atau subjek.

Pembentangan tugasan secara dalam talian juga menjadi lebih kemas, jelas dan interaktif bukan sahaja antara pelajar dan pensyarah atau guru, malah sesama rakan pelajar turut berinteraksi dengan baik. Apatah lagi dengan generasi anak-anak sekarang yang lebih pantas dalam mengadaptasi penggunaan teknologi.

Bukan sahaja para guru yang berusaha menghasilkan kandungan digital seperti persembahan multimedia dan video untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran, malah para pelajar juga terkehadapan dalam menghasilkan kandungan digital mereka sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

Malah, kanak-kanak seawal umur sembilan tahun pun telah bijak menyunting video anime kegemaran sendiri dengan menggunakan aplikasi CapCut menerusi telefon pintar.

Perkembangan dan penerapan teknologi digital dalam pendidikan ini berupaya meningkatkan kemahiran abad ke-21 pelajar atau lebih dikenali sebagai 4K iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis melalui pembelajaran berpusatkan pelajar.

Terkini, perkembangan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligent) dilihat akan mengubah lanskap pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan dan kehidupan seharian.

Teknologi berasaskan pembelajaran mesin (machine learning) ini mampu menjadikan pembelajaran mahupun tugasan harian lebih personal dan efektif. Menggunakan aplikasi tertentu, contohnya ChatGPT, pelajar boleh mendapatkan bantuan untuk menghasilkan karangan, membuat ulasan, mahupun mencipta lirik lagu dalam masa yang singkat. Namun, pada masa yang sama, teknologi ini dilihat mampu menggugat kualiti pembelajaran sekiranya tidak diterap dengan bijak.

Fahami etika

Dalam keghairahan meneroka dan memanfaatkan teknologi digital dan komunikasi seseorang individu bagaimanapun perlu berhati-hati dan peka dengan pelbagai isu semasa. Kefahaman terhadap etika, undang-undang dan tatacara dalam menggunakan teknologi digital perlu menjadi perhatian utama.

Aspek keselamatan dan privasi diri sendiri dan orang lain wajar diutamakan. Penggunaan bahasa yang sopan, tidak mengeksploitasi informasi peribadi orang lain dan perlu peka terhadap isu-isu perpaduan dan toleransi beragama.

Penggunaan telefon pintar untuk merakam pelbagai kejadian, secara bersembunyi atau terang-terangan juga membawa implikasi besar. Kamera digital ini seringkali disalah guna. Ada yang menjadikannya sebagai bahan untuk memeras ugut, dikongsi tanpa keperluan hingga menjadi tular dan boleh menimbulkan fitnah, hasutan, ancaman malah menghuru-harakan keluarga dan masyarakat. Isu-isu ini turut melibatkan sistem pendidikan, tenaga pengajar dan pelajar.

Perlu diketahui bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa memantau perkembangan semasa teknologi pendidikan dan kandungan media digital. Pelbagai Akta Komunikasi dan Multimedia digubal dan dilaksanakan demi menjaga kepentingan semua pihak.

Dengan memahami dan menguasai teknologi digital dan komunikasi, kita dapat memperluas jaringan sosial, pendidikan dan profesional dengan bijaksana, santun dan berhemah. Ia selaras dengan salah satu hasrat Kementerian Komunikasi dan Digital yang mengarah kepada pemerkasaan literasi digital dalam kalangan masyarakat Malaysia Madani.

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS dan DR. SITI NAZUAR SAILIN - Pensyarah Kanan, Teknologi Pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan, UUM

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu