SAUDARA PENGARANG
Perbincangan mengenai pembangunan mampan menjadi hangat setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Sustainable Development Goals (SDGs) pada September 2015. Sebanyak 162 negara, termasuk Malaysia, telah bersetuju menerima agenda tersebut yang bertujuan menoktahkan kemiskinan, melindungi planet dan memastikan kesejahteraan untuk semua menjelang 2030.
Pada tahun 2019, menurut SDG Index, Malaysia di posisi ke-68 daripada 162 negara di dunia yang komited dengan agenda tersebut.
Elemen kemampanan tersebut juga menjadi teras utama visi dan kerangka pembangunan Malaysia Madani yang umumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 19 Januari 2023. Selain daripada kemampanan, teras lain termasuk kesejahteraan, daya cipta (inovasi), hormat, keyakinan dan ihsan.
Kemampanan (sustainable) menurut PBB, dalam konteks SDGs, adalah keupayaan untuk memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menjelaskan konsep kemampanan dalam blueprint Malaysia Madani mengambil kira kepelbagaian budaya, kaum, agama dan struktur masyarakat Malaysia, sumber – sumber bumi di Malaysia serta semua bentuk kehidupan di Malaysia.
Dalam erti kata lain, kemampanan yang beliau sarankan adalah lebih holistik dan saling berkait mengambil kira setiap sisi kehidupan masyarakat Malaysia.
Beliau menulis,“Selaras dengan kedudukan manusia sebagai khalifah beramanah untuk mengelola alam yang luas ini, tanggungjawab murni buat memastikan kesejahteraan hidup semua makhluk di bumi harus menjadi prinsip utama dalam kerangka besar Madani.
Kekayaan sumber asli negara serta kepelbagaian flora haruslah di pelihara. Kebajikan haiwan harus terbela sementara segala bentuk penganiayaan mesti di hentikan…. Dan lebih daripada itu, kita ingin wujudkan kemampanan masyarakat, pembangunan bandar dan luar bandar, kepelbagaian budaya dan kekayaan warisan, demokrasi serta kesejahteraan ekonomi dan psikologi rakyat.”
Antara inisiatif yang boleh di laksanakan bagi membangunkan sebuah negara mampan adalah:
Memupuk Pertumbuhan Ekonomi Mampan
Pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk pembangunan mampan, tetapi ia harus dicapai dengan cara yang mampan dari segi alam sekitar dan sosial. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan ekonomi yang melibatkan perkongsian, pemajakan, penggunaan semula, pembaikan, membaik pulih dan mengitar semula bahan dan produk sedia ada untuk selama mana mungkin. Ia juga boleh di capai dengan pelaburan dalam infrastruktur mampan, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, dan menyokong teknologi hijau.
Menangani Ketidaksamaan Sosial
Ketidaksamaan sosial boleh menjadi penghalang kepada pembangunan mampan. Untuk membangunkan negara yang mampan, adalah penting untuk menangani isu seperti kemiskinan, akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, ketidaksamaan jantina dan pengecualian sosial.
Menggalakkan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan
Penggunaan dan pengeluaran mampan melibatkan pengurangan penggunaan sumber asli, mengurangkan sisa, dan menggalakkan pengeluaran dan corak penggunaan yang bertanggungjawab. Ini boleh dicapai melalui dasar yang memberi insentif kepada amalan mampan, seperti pelabelan mesra alam sekitar dan pembelian produk dan perkhidmatan yang memberi kesan negatif minimum kepada alam sekitar.
Memastikan Perlindungan Alam Sekitar
Perlindungan alam sekitar adalah penting untuk pembangunan mampan. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, melindungi biodiversiti, dan menggalakkan pertanian dan amalan perhutanan yang mampan.
Menggalakkan Pengangkutan Mampan
Pengangkutan mampan melibatkan mempromosikan mod pengangkutan rendah karbon, seperti berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam. Ini boleh membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan kualiti udara. Memupuk Komuniti LestariKomuniti mampan melibatkan menggalakkan perpaduan sosial, mengurangkan kemiskinan, menggalakkan perumahan mampan, dan menggalakkan kewarganegaraan aktif. Ini boleh dicapai dengan menggalakkan penglibatan masyarakat, menyokong ekonomi tempatan, dan menggalakkan perancangan bandar yang mampan.
Secara keseluruhannya, membangunkan negara yang mampan memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu yang mengambil kira faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ini memerlukan kepimpinan yang kukuh, dasar yang berkesan, dan penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan individu.
PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.