fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan: Serlah potensi ketika latihan industri

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Bekerja dalam bidang yang setara dengan bidang pengajian semasa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah antara impian dan matlamat graduan seusai menerima diploma, ijazah pertama mahupun di peringkat lebih tinggi iaitu sarjana atau PhD. 

Namun keadaan ini perlu dilalui dengan persaingan sangat besar, dan perlu ditambah nilai dengan ketrampilan, kredibiliti dan potensi diri yang diyakini oleh majikan.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaporkan bagi tahun 2021; kadar kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 85.5% iaitu sedikit peningkatan  (1.1%) berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu graduan dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan merupakan kelompok yang merekodkan kebolehpasaran tertinggi iaitu sebanyak 88.6%, diikuti bidang sains, matematik dan komputer iaitu 87.2%.

Menariknya graduan lulusan Politeknik dan Kolej Komuniti merekodkan kadar kebolehpasaran jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 93.7% dan 94.8% berbanding graduan Universiti Awam iaitu sebanyak 88.2%.

Situasi ini memberi sedikit gambaran bahawa graduan yang mempunyai kemahiran khusus dan berasaskan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah lebih tinggi  pasaran kerjanya (berdasarkan laporan sama, kebolehpasaran graduan TVET adalah sebanyak 88.0%).

Bagaimanapun graduan pelbagai bidang lain tetap mempunyai peluang untuk sama-sama menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara dengan kesediaan ‘tambah nilai’ keterampilan diri.

Fahami kehendak pasaran kerja

Kesediaan untuk belajar berterusan, menerima teguran dan pandangan,  menerima tugas dengan penuh tanggungjawab dan cepat melaksanakannya adalah antara keutamaan majikan masa kini. Apatah lagi sekiranya seseorang itu boleh melaksanakan kerja secara multifungsi.

Para graduan sewajarnya mengambil berat dan peka dengan  persekitaran baharu pasaran kerja yang memerlukan sumber insan yang cekap, berkemahiran teknologi digital dan pantas dalam membuat tindakan dengan pemantauan minimum.

Penerapan nilai tambah ini sebenarnya bermula semasa latihan industri yang menjadi prasyarat utama bagi kebanyakan program untuk melengkapkan pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda.

Seringkali kita dengar bahawa latihan industri atau praktikal adalah platform terbaik  meletakkan ‘sebelah kaki’ graduan dalam pasaran kerja sebenar.

Ini benar! Latihan industri adalah jambatan untuk menyerlah potensi diri, fokus mengaplikasi teori dan pengetahuan asas di universiti kepada penghasilan kerja untuk mencapai standard diperlukan oleh organisasi berkaitan.

Lambat? Tertinggal!

Tempoh masa menjalani latihan industri bergantung kepada program pengajian diambil selaras dengan jumlah jam kredit ditetapkan oleh pihak universiti dan KPT.

Ada sebahagiannya menjalani latihan selama tiga bulan, empat bulan malah ada yang sehingga enam bulan.

Dalam tempoh ini, terdapat beberapa strategi yang seharusnya diambil peluang sebaik-baiknya oleh pelatih untuk memastikan majikan atau penyelia industri melihat kewujudan (visibility) dan keistimewaan mereka.

Berdasarkan pemerhatian teliti penulis yang terlibat sebagai penyelia akademik, hasil pertemuan dan perbincangan dengan penyelia industri, terdapat tiga perkara utama yang menjadi tumpuan majikan dalam mengenal pasti keterampilan (competency) pelatih dalam menjalankan tugasan yang diberikan.


(Foto hiasan/Bernama)

1. Kemahiran berkomunikasi

Kemahiran berkomunikasi menjadi asas utama kepada keserasian bekerja dalam tempoh yang ditetapkan. Berkomunikasi tidak saja dengan penyelia yang memberikan tugasan dan menilai, malahan komunikasi dengan rakan sekerja dan pelanggan, sama ada berkaitan kerja atau sekadar sapaan hormat antara satu sama lain. Kemahiran berkomunikasi ini juga akan menjadikan persekitaran kerja yang harmoni dan mengembirakan.

Kelemahan berkomunikasi atau paling teruk hanya duduk bersendirian dan menunggu tugasan diberikan  akan mengakibatkan pelatih rasa ‘terbiar’, lesu dan tidak proaktif. Situasi itu jika berlarutan lebih dua minggu, akan menyebabkan pelatih sendiri akan hilang motivasi dan rasa terpinggir. 

Implikasinya, majikan akan melihat pelatih sebagai  tidak berminat dengan latihan, tiada keyakinan diri, tidak boleh menjalankan tugasan dan tiada ciri istimewa untuk disenarai pendek sebagai bakal pekerja yang berpotensi.

2. Displin, komitmen dan kecekapan

Bukan saja majikan, malah dalam kebanyakan situasi kita sering melihat aspek displin dan komitmen sebagai penanda aras kepada peribadi seseorang. Setiap organisasi memiliki peraturan dan tata urus kerja yang berbeza berdasarkan matlamat organisasi. Maka adalah penting seseorang pelatih mematuhi displin yang ditetapkan sebagai satu bukti komitmen terhadap kerja yang diamanahkan.

Displin dan komitmen ini sering dikaitkan dengan ketepatan masa, hasil kerja yang baik, pematuhan prosedur kerja, kesungguhan dan kecekapan dalam menjalankan tugas dan penampilan personaliti yang bersesuaian. Ciri ini menjadi kriteria utama pemilihan pekerja untuk jangka masa panjang.

Menariknya, hasil perbincangan penulis mendapati majikan dengan yakin dan berbangga menyatakan bahawa pelatih akan terus diserap sebagai pekerja sebaik selesai latihan industri dengan gaji lulusan sarjana muda walaupun belum mendapat transkrip penuh atau berkonvokesyen. Faktor displin, komitmen dan kecekapan yang menyerlah menjadi tarikan dan kepercayaan utama majikan.

Nah! Inilah contoh pelatih yang memanfaatkan latihan industri untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja yang kian mencabar. Fokus kepada potensi diri dan tidak membuang masa dengan menganggap latihan industri sebagai sesi pengajian yang terpaksa diikuti.

3. Kemahiran menggunakan teknologi digital

Tidak dapat dinafikan keperluan teknologi digital yang mempengaruhi kondusi pasaran serta ekonomi Malaysia dan antarabangsa, pelatih yang mampu, mahir dan cekap menggunakan teknologi digital menjadi aset berharga.

Kebanyakan industri seperti media, kawalan keselamatan, kewangan dan perbankkan, malah pengurusan sumber manusia dan industri halal sangat berkait rapat dengan sistem, perisian dan teknologi digital semasa. Oleh kerana masyarakat hari ini adalah masyarakat berteknologi maka penyedia kandungan dan perkhidmatan perlu lebih pantas dan sentiasa mengemas kini pengetahuan dan kemahiran teknologi.

Perkhidmatan kawalan keselamatan elektronik yang kian berkembang dan mempunyai permintaan tinggi misalnya, memerlukan kepakaran pekerja yang baik dalam pemantauan sistem keselamatan pejabat atau bangunan kediaman.

Selari dengan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Februari 2023,  bilangan penduduk Malaysia yang bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit; dan pentadbiran dan khidmat sokongan.

Menariknya kini penjual ikan di pasar pun tidak bergantung harap kepada pelanggan yang datang membeli, namun mereka telah meningkatkan kaedah penawaran jualannya melalui siaran langsung di Facebook dan Instagram.

Realitinya juga; peniaga Bazar Ramadan pun kini selesa mempamerkan QrCode atau nombor akaun  di atas meja jualan kuih muih, tanpa risau aliran tunai keuntungan jualannya. Para pembeli digital pun tidak lagi canggung menggunakan pelbagai aplikasi kewangan bagi tujuan pembayaran. Tidak lagi risau tiada wang tunai di tangan.

Jika begini fenomenanya, maka sewajarnyalah graduan dekad ini perlu lebih terampil dalam penggunaan teknologi digital bagi mewujudkan persaingan sihat selaras dengan pemulihan ekonomi negara yang perlu berlaku dengan lebih cepat.

Tanpa meminggirkan aspek keselamatan dan jurang celik digital antara kelompok masyarakat yang masih perlu diambil perhatian oleh individu dan kerajaan. Kesedaran perlu ditingkatkan dengan pendedahan dan pendidikan yang berterusan.

Dalam usaha menjayakan masyarakat Malaysia Madani, sudah pasti aspek ihsan dan ketakwaan kepada Allah menjadi tiang kukuh ketamadunan sumber insan yang dihasratkan. Ini kerana sumber insan yang beradab tinggi, dan saling menghormati, faham perbezaan agama dan budaya akan membetuk persekitaran kerja dan negara yang harmoni. Sudah pasti ia juga perlu diasaskan dengan gandingan ilmu, iman dan amal dari pendidikan yang sistematik.

Semoga angka 591,900 penganggur di Malaysia sehingga Februari 2023 seperti yang laporan media baru-baru ini; akan terus menurun selaras dengan pelbagai usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan.

Diharap juga trend kadar penduduk yang bekerja sendiri malah membuka peluang pekerjaan  juga terus meningkat sejajar peningkatan literasi teknologi rakyat Malaysia melalui pelbagai sokongan dan insentif kerajaan serta syarikat-syarikat korporat atau GLC.

Graduan baharu perlu giat dan kreatif dalam mencipta pekerjaan (bukan mengharap pekerjaan) dengan menteladani kemunculan usahawan-usahawan teknologi digital yang berpendidikan tinggi yang kini turut menjadi inspirasi masyarakat. 

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, KUIS.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu