fb fb fb fb fb

Raya mengejut? Penetapan ada hikmah tersendiri

Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

SAUDARA PENGARANG

Sejak zaman Rasulillah (SAW) tarikh permulaan puasa dan hari raya kekal menjadi rahsia; ditentukan pada hari ke-29 malam 30 Syaban atau hari ke-29 malam 30 Ramadan dengan melihat anak bulan ketika terbenamnya matahari.

Sekiranya bulan kelihatan maka keesokkannya adalah permulaan puasa atau raya. Jika bulan tidak dapat dilihat disebabkan terlindung oleh awan maka digenapkan Syaban 30 hari atau Ramadhan 30 hari.

Ia berdasarkan Hadis Nabi (SAW) riwayat Bukhari dan Muslim.

                                  صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُمِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا العَدَدَ

Berpuasalah kamu kerana melihatnya (bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Maka sekiranya terlindung pada kamu oleh awan maka sempurnakanlah bilangan (30)".

Berpandukan ilmu astronomi kedudukan bulan pada waktu terbenamnya matahari pada hari ke-29 Syaban atau Ramadan telah dapat dihisab dan diketahui sama ada kemungkinan dapat dilihat atau tidak.

Apabila diketahui ia berkemungkinan dapat dilihat maka tinggal lagi ketika cerapan dibuat adakah bulan boleh dilihat atau terlindung oleh awan?

Keadaan inilah yang membawa kepada perbezaan tarikh permulaan puasa dan raya antara negara-negara umat Islam samada yang sama pada tempat terbitnya bulan dari sudut geografi atau tak sama disebabkan jarak dan masa yang berbeza.

Perbezaan ini adalah dengan hikmah tersirat yang dikehendaki oleh Allah.

Dalam pengurusan pentadbiran semasa keputusan untuk pengumumam rasmi puasa dan raya diserahkan kepada pihak berwajib setelah proses cerapan dibuat di seluruh negara.

Justeru, tidak berbangkit puasa atau raya mengejut kerana sememangnya umat Islam telah terlatih dan bersedia dengan amalan penentuan puasa atau raya dibuat sebegitu pada malam ke-30 sejak dahulu dengan hikmah tersendiri yang dikehendaki oleh Allah.

Tinggal lagi dari sudut pengurusan dan pentadbiran negara.

Dengan cuti awal persekolahan pada tahun ini bermula Rabu, 19 April 2023 sebagaimana diumumkan oleh Menteri Pendidikan iaitu hari ke-28 Ramadan ia memudahkan pengurusan rakyat yang secara tradisinya pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

PENULIS DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu