SAUDARA PENGARANG
Rasanya baru sahaja artikel berkenaan dengan “Membeli untuk Tong Sampah” diterbitkan. Kini, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam diseluruh dunia bakal menyambut hari kemenangan, menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.
Selain Ramadan, Aidilfitri juga amat dinantikan saban tahun. Ibaratnya, pada hari kemenangan itu membuatkan yang jauh didekatkan dan yang dekat dieratkan.
Di Malaysia, sambutan Aidilfitri ini disambut oleh segenap lapisan masyarakat dengan tidak mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan mana-mana kaum dengan penuh gilang gemilang.
Mana tidaknya, pada hari itulah ahli keluarga akan berkumpul, bertemu sanak saudara, mengunjungi jiran tetangga dan sahabat handai. Segala cerita pada 365 hari yang lalu diringkas dan dicerita pada aktiviti kunjung mengunjung yang penuh ceria, gembira dan sememangnya memecah suasana hening yang lain dari kebiasaan.
Selain amalan kunjung mengunjung, terdapat satu lagi amalan yang wajib berlaku semasa Aidilfitri iaitu sesi bermaaf-maafan. Sepanjang Syawal, amalan bermaaf-maafan sememangnya akan dilaksanakan sepenuh jiwa dengan rasa keinsafan.
Pada ketika itu dapat dilihat air mata akan berguguran sebagai tanda betapa seseorang itu benar-benar mahu memohon kemaafan dan diampun segala kesalahan yang telah dilakukan.
Perlu diketahui bahawa dosa dengan manusia sangatlah berat jika tidak dimaafkan oleh orang tersebut. Sabda Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW:
"Barang siapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya". [Hadis Riwayat Tirmizi]
Inilah antara hikmah Allah SWT menganugerahkan Aidilfitri kepada para hamba-Nya agar kita semua saling bermaaf-maafan, berbaik sangka, membuang ego diri dan sentiasa menyayangi sesama insan.
Bagaimanapun, dalam keghairahan menyambut Aildilfitri dan seusai kita memohon dan menerima kemaafan, harus kita ingat untuk terus bersikap sederhana dalam segenap perkara.
Ketika kita leka bercerita dan bertanya khabar, jangan sesekali membuka akaun dosa yang baharu. Harus kita peka dengan keadaan sekeliling agar tiada perasaan yang kembali terluka. Tidak perlu bercakap perkara yang tiada faedah. Seperti perihal yang mampu mengungkap kisah duka lara.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai anak-anak muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya masing-masing seakan kurang senang apabila soal jodoh mahupun zuriat dipersoal ketika mana semua orang bergembira menyambut hari raya.
Sebenarnya, perkara ini tidak perlu dijadikan satu perkara yang negatif. Janganlah terlalu sensitif.
Kadang-kala soalan-soalan “cepumas” sebegini adalah soalan-soalan pembuka bicara. Tidak perlu menjawab soalan sebegitu dengan nada yang angkuh mahupun menjengkelkan. Sahutlah dengan mesra.
Kita harus percaya setiap daripada kita dipertemu kerana ada sebabnya. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita itu bersebab. Tiada yang sia-sia. Allah datangkan mereka sama ada untuk menguji kita, mengubah kita atau memberi peringatan kepada kita.
Namun, ini tidak bermakna kita bebas untuk bertanya apa sahaja yang kita mahu. Kita juga harus menjaga sensitiviti seseorang itu. Budi bahasa dan adab tidak boleh dijual beli. Ia sesuatu yang sangat luhur dan terbit daripada hati sanubari seseorang.
Sepatutnya masa senggat itu digunakan sepenuhnya untuk melepas rindu dan membina memori indah yang boleh disemat dalam ingatan sampai bila-bila.
Selain itu antara kesantunan bahasa dan adab yang perlu kita amalkan ialah dengan tidak mempertikaikan jumlah duit raya yang diberi. Kepada ibu bapa, berpesanlah kepada anak-anak untuk tidak meminta-minta duit raya semasa sesi kunjung mengunjung.
Hal ini kerana, masih ramai orang berada pada fasa yang agak sulit dan sempit. Ada yang mampu dan ada yang kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Jamahlah hidangan yang disediakan dengan penuh rasa kesyukuran.
Perlu juga diingatkan kepada anak-anak untuk tidak membuka sampul duit raya didepan sang pemberi. Khuatir jika nilai yang diberi dipertikai oleh anak-anak. Contohnya “alaaa… seringgit je…?” Ungkapan ini kadangkala boleh menimbulkan rasa segan dan malu oleh insan yang memberi jika didengari oleh orang lain.
Selain itu, sikap membuka sampul duit raya didepan sang pemberi juga akan membuatkan kanak-kanak ini membuat perbandingan jumlah yang diberi. Ini adalah kelakuan yang tidak sihat dan tidak boleh dipanjangkan.
Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi, berpada-pada dalam berbelanja. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan bebankan diri. Sebelum Ramadan melabuhkan tirainya, jangan lupa untuk membayar zakat. Ini adalah penting kerana tujuan zakat ini ialah untuk memberi makanan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan mencukupkan keperluan mereka.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Shah Alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.