SAUDARA PENGARANG
Dalam era pendidikan futuristik yang serba mencabar ini, keperluan menyediakan modul digital semakin menjadi keutamaan.
Modul digital berasaskan penyelesaian masalah atau ‘problem-based learning’ (PBL) misalnya, memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, dengan mengadaptasi kehendak pelajar dan pendidik dalam arus perubahan teknologi yang begitu pantas.
Modul digital berasaskan PBL berperanan bukan sekadar sebagai medium pembelajaran, tetapi juga sebagai alat yang membantu pelajar menguasai kemahiran kritikal seperti analisis, penyelesaian masalah dan pemikiran kreatif.
Penyelesaian Berasaskan Masalah
Salah satu kelebihan utama modul digital berasaskan PBL ini adalah keupayaannya dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar didorong agar berfikir secara kendiri dan dilatih bekerjasama dengan rakan bagi merungkai masalah bersifat autentik yang berkait rapat dengan dunia sebenar. Ini memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan relevan.
Contohnya, pelajar yang didedahkan dengan pembelajaran melalui modul digital berasaskan PBL bagi subjek Metodologi Penyelidikan akan lebih bersedia menghadapi cabaran penyelidikan sebenar.
Proses mencari data, menganalisis maklumat dan seterusnya membentangkan dapatan dengan penuh yakin adalah ditekankan. Pengalaman ini menyediakan ilmu yang mencukupi kepada pelajar untuk menjadi penyelidik yang lebih cekap dan inovatif.
Penyediaan modul digital adalah salah satu usaha menyesuaikan pendidikan dengan perubahan teknologi yang serba pantas. Pada era yang didorong oleh kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendidik perlu mencari cara bagi memastikan agar pembelajaran tetap relevan dan menarik.
Perubahan ke arah kebaikan ini seiring dengan Firma Allah dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra’d, 13:11)
Modul digital yang interaktif, seperti menggunakan simulasi atau video pendek, boleh membantu mengekalkan perhatian pelajar dan mempercepatkan pemahaman terhadap konsep-konsep penting yang dipelajari.
Contohnya, video pendek berdurasi 3-5 minit yang menjelaskan teknik menganalisis data boleh menjadi alat yang berkesan untuk pelajar memahami proses penyelidikan dengan lebih mudah.
Pembelajaran Fleksibel dan Inklusif
Modul digital memberikan peluang pembelajaran yang fleksibel dan inklusif. Pelajar boleh mengakses bahan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Dalam konteks PBL, fleksibiliti ini penting kerana ia membolehkan pelajar bekerjasama dalam kumpulan secara maya menggunakan platfom seperti ‘Google Classroom’ untuk berbincang dan berkongsi idea.
Dengan ini, pelajar tidak terhad oleh batasan geografi atau masa, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka.
Modul digital berasaskan PBL menyumbang kepada peningkatan motivasi pelajar. Apabila pelajar diberikan masalah sebenar untuk diselesaikan, mereka lebih terdorong untuk mencari penyelesaian dan memahami aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari.
Sebagai contoh, modul digital Metodologi Penyelidikan boleh merangkumi kajian kes yang mencerminkan isu penyelidikan semasa, seperti penggunaan data besar (big data) dalam analisis sosial. Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja memahami teori tetapi juga berupaya mengaplikasikan teori tersebut dalam konteks dunia sebenar.
Cabaran dan Impak
Di sebalik semua kelebihan ini, cabaran tetap wujud. Salah satu cabaran utama adalah memastikan modul digital yang dibangunkan benar-benar efektif dan sesuai dengan keperluan pelajar.
Reka bentuk modul mesti mengambil kira pelbagai gaya pembelajaran pelajar dan menyediakan kerangka atau panduan yang mencukupi untuk membantu pelajar yang mungkin kurang mahir dalam menggunakan teknologi.
Selain itu, pendidik juga perlu memastikan bahawa modul digital ini selaras dengan objektif pembelajaran dan ‘standard’ kurikulum. Kemajuan dalam teknologi, khususnya AI, turut menawarkan peluang besar dalam pembangunan modul digital.
AI boleh digunakan untuk mempersonalisasikan pengalaman pembelajaran pelajar, seperti memberikan cadangan bahan tambahan berdasarkan kemajuan dan prestasi pelajar dalam modul.
Dalam konteks Metodologi Penyelidikan misalnya, AI boleh membantu pelajar mendapatkan artikel jurnal berkaitan kajian dan mensinstesiskan maklumat dengan lebih cekap. Ini bukan sahaja mempercepatkan proses pembelajaran tetapi juga meningkatkan keyakinan pelajar dalam menjalankan tugas penyelidikan.
Modul sebegini membolehkan pendidik menumpukan lebih banyak masa membimbing pelajar dalam aspek-aspek kritikal seperti pemikiran aras tinggi dan refleksi. Pendekatan PBL amat sesuai apabila pendidik berperanan sebagai fasilitator atau pemudahcara dan bukan sekadar penyampai maklumat.
Modul digital membolehkan pendidik menyediakan bahan yang lebih dinamik dan interaktif sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran mereka.
Kesimpulannya, penyediaan modul digital berasaskan PBL dalam pendidikan futuristik adalah suatu keperluan. Modul ini bukan sahaja memperbaiki kualiti pengajaran dan pembelajaran tetapi juga menyediakan ruang pembelajaran yang bermakna dan relevan dengan dunia sebenar.
Walaupun terdapat cabaran dalam pembangunan dan pelaksanaannya, manfaat yang ditawarkan sangat banyak. Dengan sokongan teknologi canggih seperti AI, modul digital berpotensi untuk mentransformasi pendidikan dan melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.
PENULIS DR. NORZIAH OTHMAN merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.