fb fb fb fb fb

Kriteria pemilihan platform e-dagang dalam kalangan mahasiswa

Foto RTM

SAUDARA PENGARANG

Budaya membeli-belah dalam talian sudah menjadi satu gaya hidup kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia terutama golongan muda pada hari ini. Perubahan gaya membeli-belah ini, didorong oleh kemajuan teknologi digital dan juga kewujudan pelbagai platform e-dagang menawarkan produk serta perkhidmatan kepada pengguna.

Kemunculan internet mengubah sistem dan model pemasaran tradisional apabila ia menjadi satu ruang pasaran tempat berlakunya pertukaran maklumat, barangan dan perkhidmatan melibatkan penjual serta pembeli tanpa batasan masa dan geografi.

Budaya membeli-belah secara dalam talian

Membeli-belah secara dalam talian menjadi pilihan utama pada masa kini kerana beberapa faktor. Antaranya, ia sangat memudahkan pengguna kerana mereka boleh membeli-belah tanpa mengira masa selain mempunyai pilihan produk lebih banyak yang ditawarkan oleh platform-platform e-dagang.

Faktor lain adalah adanya kemudahan teknologi di Malaysia seperti kadar penembusan Internet yang tinggi, penggunaan meluas gajet dan telefon pintar, pilihan pembayaran perbankan dalam talian yang moden dan adanya kepelbagaian aplikasi membeli-belah popular dalam talian.

Bagi entiti perniagaan pula, majoriti telah mempunyai laman web atau beralih ke platform e-dagang untuk mengurangkan kos operasi dan senario ini mewujudkan begitu banyak pilihan kepada pengguna dari segi penawaran produk, perkhidmatan dan sebagainya. Barangan elektrik, pakaian dan fesyen, keperluan harian dan lain-lain kini boleh diperoleh menerusi pembelian secara dalam talian.

Pengguna tidak lagi perlu mengunjungi kedai-kedai fizikal bagi mendapatkan barang keperluan mereka. Disebabkan kos operasi menjadi lebih rendah, kebanyakan pemilik perniagaan dalam talian mampu memberikan potongan harga kepada pengguna menyebabkan e-dagang menjadi pilihan utama pengguna.

Perkembangan sektor e-dagang turut meningkatkan permintaan terhadap perniagaan khidmat penghantaran. Di Malaysia, banyak syarikat-syarikat pengangkutan dan penghantaran barangan muncul bagi memenuhi keperluan sektor e-dagang ini.

Kualiti perkhidmatan penghantaran ini menambahkan keyakinan pengguna kepada model perniagaan secara dalam talian. Penghantaran produk menjadi lebih pantas dengan adanya perkhidmatan penghantaran sekaligus memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus melakukan pembelian secara dalam talian.

Pengaruh media sosial turut menyumbang kepada perkembangan pesat e-dagang di negara ini. Pada hari ini, hampir semua platform media sosial berintegrasi dengan sektor e-dagang dan pengguna boleh membuat pembelian secara langsung menggunakan akaun media sosial mereka.

Peranan pempengaruh juga dilihat mempunyai peranan dalam menggalakkan pengguna untuk membeli-belah secara dalam talian apabila mereka aktif mempromosi sesuatu jenama atau barangan.

Faktor seterusnya adalah peranan kerajaan sendiri yang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjana ekonomi baharu melalui Internet dan membangunkan sektor ekonomi digital. Inisiatif-inisiatif ini berhasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Sehubungan itu, artikel ini akan membincangkan tentang kriteria pemilihan platform e-dagang khusus dalam kalangan mahasiswa dengan melihat kepada aspek kepercayaan mahasiswa terhadap platform e-dagang, niat membeli-belah pelajar universiti serta strategi platform e-dagang untuk kekal relevan dalam pasaran.

Kepercayaan mahasiswa terhadap platform e-dagang

Aspek kepercayaan memainkan peranan penting bagi pengalaman membeli-belah secara dalam talian. Sifatnya yang maya menyebabkan pengguna bergantung kepada ciri-ciri antara muka digital (interface) untuk membuat keputusan pembelian.

Sesuatu platform e-dagang perlu melaksanakan strategi untuk mewujudkan kepercayaan dalam kalangan mahasiswa supaya golongan itu menjadikan platform mereka sebagai pilihan utama untuk membeli-belah secara dalam talian. Selain itu, ciri-ciri interaktif yang disediakan perlulah memenuhi keperluan unik golongan mahasiswa agar kepercayaan dapat dibina dengan kukuh.

Merujuk kepada perkara itu, aspek pertama yang perlu diberi perhatian adalah keselamatan transaksi. Platform e-dagang perlu menyediakan sistem yang selamat untuk tujuan pembayaran atau sebarang transaksi melibatkan kewangan. Ketika ancaman penipuan siber begitu berleluasa, keupayaan sesebuah platform e-dagang menyediakan sistem pembayaran selamat dapat membina kepercayaan tinggi kepada mahasiswa untuk menggunakan platform bagi tujuan membeli-belah. 

Pada masa, menjamin keselamatan data peribadi dan risiko kehilangan wang. Contoh terbaik adalah sistem ShopeePay yang mempunyai ciri keselamatan tambahan telah menambah kepercayaan mahasiswa untuk menggunakan platform e-dagang Shopee.

Elemen kedua yang dapat menyumbang kepada peningkatan kepercayaan mahasiswa kepada platform e-dagang adalah penyediaan ruang maklum balas pelanggan terdahulu yang telus dan boleh diakses oleh mahasiswa serta pengguna.

Majoriti pelajar universiti dan pengguna sangat bergantung kepada ulasan dan penilaian pelanggan terdahulu untuk memudahkan mereka menilai kualtiti produk dan kebolehpercayaan terhadap penjual. Pengalaman pengguna lain yang dikongsi secara telus dapat membantu mahasiswa membuat keputusan untuk membeli-belah di sesuatu platform e-dagang.

Perkara ketiga yang perlu diberi perhatian oleh platform e-dagang adalah menyediakan saluran komunikasi secara langsung pengguna dengan penjual. Ciri ini sangat penting dan dapat memberi nilai tambah yang sangat dihargai pengguna. Saluran komunikasi itu membolehkan mahasiswa dan pengguna bertanyakan pelbagai soalan kepada penjual tentang produk dan sebagainya.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan dan keyakinan mahasiswa kepada platform e-dagang tetapi memberikan pengalaman membeli-belah lebih peribadi dan interaktif. Apabila berjaya mendapatkan maklumat mengenai produk-produk, mahasiswa atau pengguna lain lebih yakin untuk membuat pembelian terutama berkaitan produk yang memerlukan penjelasan terperinci.

Selain itu, kredibiliti sesebuah platform e-dagang turut memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dengan mahasiswa. Pelaksanaan dasar pemulangan barang selepas pembelian yang fleksibel misalnya dapat meningkatkan kredibiliti platform e-dagang. Sistem penghantaran cekap juga menjadi salah satu kriteria yang mampu memberi kesan kepada aspek kredibiliti ini.

Menerusi kajian, mahasiswa didapati sangat menghargai dasar pemulangan barang dan penghantaran yang cekap sesuatu platform e-dagang dan sekaligus meningkatkan kepercayaan mereka kepada platform e-dagang dan penjual. Ini kerana, pengguna diberikan satu jaminan tambahan jika tidak berpuas hati dengan sesuatu pembelian.

Perkara terakhir yang dapat meningkatkan kepercayaan mahasiswa untuk membeli-belah secara dalam talian di platform e-dagang adalah melibatkan ciri-ciri antara muka, rekaan intuitif dan sejauh mana platform itu mesra pengguna.

Platform yang mudah diakses oleh mahasiswa, antara muka mudah difahami dan jelas, membantu pengguna melayari platform tanpa sebarang kesukaran. Elemen ini dapat penarik pengguna baharu dan memastikan mereka kekal menggunakan sesuatu platform e-dagang itu untuk membeli-belah secara dalam talian.

Secara keseluruhannya, kepercayaan pelajar universiti terhadap sesuatu platform e-dagang adalah dibina melalui gabungan aspek keselamatan, kredibiliti dan pengalaman yang baik ketika membeli-belah secara dalam talian.

Setiap platform e-dagang perlu berusaha menambahbaik kemudahan yang dapat memenuhi keperluan mahasiswa dan memahami setiap kebimbangan mereka ketika membeli-belah secara dalam talian. Dengan cara itu, sesebuah platform e-dagang dapat membina asas kepercayaan yang kukuh dengan pelanggan tetapi menetapkan satu standard dalam industri e-dagang.

Niat membeli-belah dalam kalangan mahasiswa

Niat membeli-belah dalam kalangan pelajar universiti didorong oleh bagaimana sesebuah platform e-dagang dapat memenuhi keperluan mereka dari segi kepelbagaian barangan, harga produk kompetitif, penawaran promosi, harga diskaun dan manfaat yang ditawarkan kepada mereka.

Bagi mahasiswa, jika mereka boleh menikmati penjimatan tambahan menerusi skim-skim ditawarkan oleh platform e-dagang, dapat meningkatkan lagi kecenderungan untuk membeli-belah di platform tersebut.

Selain itu, keupayaan sesuatu platform e-dagang menawarkan pelbagai kategori produk merangkumi barangan keperluan harian sehinggalah peralatan elektronik dapat menarik perhatian mahasiswa untuk membeli-belah di sesebuah platform.

Contohnya, jika sesuatu platform itu dapat menyediakan kepelbagaian produk di bawah satu platform, ia dapat meningkatkan minat mereka untuk melakukan pembelian. Ini kerana, produk lengkap yang ditawarkan di bawah satu platform dapat menjimatkan masa dan usaha pelajar universiti bagi mendapatkan produk diperlukan mereka.

Soal kemudahan akses turut menyumbang kepada niat membeli-belah dalam kalangan mahasiswa. Penyediaan aplikasi khusus mampu memberikan pengalaman membeli-belah yang lancar kepada pengguna, di mana mereka dapat melayari, membandingkan harga, menilai kualiti produk dan sebagainya hanya menggunakan telefon pintar mereka. Aspek fleksibiliti yang ditawarkan ini sangat digemari oleh mahasiswa.

Penyediaan perkhidmatan penghantaran barang pantas dan cekap juga menjadi ciri penting untuk meningkatkan niat membeli-belah kepada mahasiswa. Platform e-dagang yang memahami keperluan menghantar barang kepada pembeli dengan segera dan mempunyai rangkaian logistik yang lengkap dapat memastikan produk sampai ke tangan pengguna dalam tempoh singkat akan meningkatkan kepuasan pengguna. Kesannya, mahasiswa akan setia kepada platform e-dagang tersebut kerana ia sangat boleh dipercayai.

Rumusannya, niat membeli-belah dalam kalangan mahasiswa bergantung kepada gabungan pelbagai faktor iaitu harga kompetitif, kepelbagaian pilihan produk, kemudahan akses dan penghantaran yang pantas. Elemen-elemen ini memainkan peranan membentuk tingkah laku membeli-belah dalam kalangan pelajar universiti.

Strategi platform e-dagang kekal kompetitif

Sesebuah platform e-dagang berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan dalam pasaran dan saling berlumba bagi menjadi platform paling utama kepada pengguna. Mereka perlu sentiasa melaksanakan strategi-strategi inovatif untuk meningkatkan lagi pengalaman pengguna.

Salah satu pendekatan yang boleh dilaksana adalah menerapkan elemen kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dan apa juga teknologi terkini yang dapat memberi manfaat kepada pengguna. Antara contoh penggunaan AI adalah menyediakan saranan peribadi yang relevan kepada pengguna berdasarkan tingkah laku membeli-belah mereka. Menerusi teknologi ini, platform e-dagang boleh membantu mahasiswa mendapatkan produk sesuai dengan keperluan mereka dengan lebih cepat dan cekap.

Sesebuah platform e-dagang yang aktif mengadakan kempen promosi bukan sahaja dapat menarik pelanggan baharu tetapi juga menggalakkan pembelian berulang. Kempen agresif ini sering disertai dengan tawaran diskaun besar-besaran, penghantaran percuma dan hadiah eksklusif menjadikannya sentiasa dinantikan oleh mahasiswa.

Terdapat juga platform e-dagang yang memasukkan elemen gamifikasi (gamification) seperti permainan dalam aplikasi yang menawarkan mata ganjaran atau diskaun tambahan turut meningkatkan interaksi pengguna dengan platform e-dagang. Bagi mahasiswa yang majoritinya generasi muda, mudah tertarik kepada elemen-elemen gamifikasi yang interaktif.

Setiap platform e-dagang perlu sentiasa meningkatkan perkhidmatan saluran komunikasi langsung melibatkan pembeli dan penjual bagi tujuan mengekalkan keyakinan pengguna kepada platform mereka. Selain itu, penyediaan pusat khidmat pelanggan secara dalam talian yang responsif akan memberi impak yang signifikan kepada usaha meningkatkan keyakinan pengguna untuk membeli-belah secara dalam talian. Dengan adanya perkhidmatan ini, semua masalah atau isu berkaitan pengalaman membeli-belah secara dalam talian dapat diselesaikan dengan cepat.

Menerusi pelaksanaan strategi ini, ia bukan sahaja dapat menarik pengguna baharu tetapi juga mengekalkan kesetiaan pelanggan sedia ada. Impaknya, industri e-dagang negara akan terus berkembang menjadi satu pasaran yang kompetitif dan dinamik.

PENULIS ZAURIDAH ABDUL HAMID merupakan Pensyarah Kanan Program Teknologi Media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD