SAUDARA PENGARANG
Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi digital yang pesat, mencipta dan melahirkan graduan holistik menjadi semakin penting dalam membentuk masa depan negara dan graduan itu sendiri.
Graduan holistik bukan sekadar individu yang cemerlang dalam akademik, tetapi mereka yang mampu mengimbangi pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi cabaran dunia sebenar. Persoalannya, bagaimana graduan holistik dapat diwujudkan dan sejauh mana pentingnya keseimbangan kesepaduan antara pengetahuan dan kemahiran ini?
Keperluan graduan holistik
Graduan holistik diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat yang semakin kompleks. Industri masa kini bukan sahaja mencari individu yang mahir dalam bidang tertentu, tetapi juga mereka yang mempunyai keupayaan untuk beradaptasi, berfikir secara kritis, dan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Selain itu, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan etika juga menjadi komponen penting dalam diri graduan holistik. Sebagai contoh, seorang jurutera bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan mendalam tentang teori kejuruteraan, tetapi juga berkemahiran dalam berkomunikasi dengan berkesan dalam pasukan, berinteraksi dengan pelanggan, dan memahami aspek etika kerja dan nilai-nilai insaniah. Graduan yang hanya menguasai teori tanpa kemahiran tambahan akan sukar untuk bersaing dalam pasaran kerja masa kini yang dinamik dan mencabar.
Pengetahuan sebagai teras utama
Sememangnya pengetahuan merupakan asas penting kepada pembangunan seseorang graduan. Pengetahuan akademik mendalam dalam bidang pengkhususan mereka memberi kelebihan dalam memahami teori dan konsep yang menjadi tunjang kepada sesuatu profesion. Di institusi pengajian tinggi, pengetahuan ini disampaikan melalui kurikulum yang sistematik dan komprehensif dan tentunya akan sentiasa diselaraskan dengan keperluan industri semasa. Bagaimanapun, pengetahuan akademik semata-mata tidak mencukupi. Graduan perlu mampu mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi dan kondisi sebenar.
Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, pelajar bukan sahaja perlu memahami teori anatomi manusia tetapi juga harus menguasai kemahiran klinikal untuk merawat pesakit dengan berkesan. Oleh itu, pengetahuan perlu diterjemahkan kepada tindakan melalui kemahiran praktikal dan teknikal mengikut situasi dan kondisi yang dihadapi dan tidak hanya terbelenggu oleh teori.
Kemahiran sebagai pemangkin kejayaan
Kemahiran merangkumi pelbagai aspek, termasuk kemahiran teknikal, insaniah, dan digital. Dalam dunia yang serba digital ini, kemahiran teknologi dan digital menjadi antara keutamaan. Graduan yang tidak celik teknologi berisiko ketinggalan dalam persaingan global. Kemahiran insaniah pula memainkan peranan besar dalam membentuk hubungan interpersonal yang harmoni, membangun penjemaan diri atau personal branding dan jati diri.
Dalam konteks pekerjaan, kemahiran berkomunikasi dengan baik, bekerja dalam pasukan, dan memimpin adalah aspek yang tidak boleh diabaikan. Tambahan pula, kemahiran menyelesaikan masalah atau problem solver dan pemikiran kritis membolehkan graduan mencari solusi inovatif kreatif bagi setiap cabaran yang dihadapi. Perlu difahami juga bahawa majikan hari ini mengutamakan graduan yang mempunyai keseimbangan antara kemahiran teknikal dan insaniah. Individu yang mampu menguasai kedua-dua aspek ini akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dan memenuhi keperluan organisasi terkini.
Keseimbangan pengetahuan dan kemahiran
Bagi menghasilkan graduan holistik diidamkan, maka keseimbangan antara pengetahuan dan kemahiran perlu diberikan penekanan dan diambil perhatin secara serius. Terutamanya dalam pengintegrasian nilai-nilai dan keagamaan yang jitu kepada setiap pengetahuan dan kemahiran. Institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan graduan mereka tidak hanya bergantung pada pengetahuan akademik semata-mata tetapi juga dibekalkan dengan kemahiran relevan dan adaptif dengan keperluan semasa.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, seperti latihan industri, projek komuniti, dan simulasi dunia sebenar, dapat membantu graduan mengaplikasikan pengetahuan dipelajari di bilik kuliah. Selain itu, kursus tambahan seperti pengurusan masa, kepimpinan, dan teknologi digital dapat melengkapkan graduan dengan kemahiran insaniah yang diperlukan masa kini.
Cabaran dan penyelesaian
Walaupun usaha melahirkan graduan holistik semakin diberi perhatian, terdapat beberapa cabaran perlu diatasi. Antaranya ialah ketidakseimbangan dalam kurikulum yang terlalu berat kepada teori tanpa ruang untuk penguasaan kemahiran. Selain itu, sikap pelajar yang cenderung memfokuskan kepada keputusan peperiksaan juga menjadi penghalang kepada pembentukan graduan holistik seperti dihasratkan.
Untuk mengatasi cabaran ini, kolaboratif dan persefahaman antara institusi pengajian tinggi dan industri, penanaman nilai murni dan kefahaman agama perlu diperkukuh. Program latihan bersama industri, seminar serta bengkel kemahiran dan pembangunan sakhsiah diri boleh memberikan pendedahan kepada pelajar tentang realiti dunia pekerjaan dan sosial sebenar. Pada masa sama, kesedaran pelajar tentang kepentingan kemahiran insaniah dan nilai murni ini juga perlu ditingkatkan melalui bimbingan dan pementoran yang berkesan.
Kesimpulan
Gaduan holistik adalah aset penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara. Keseimbangan antara pengetahuan, kemahiran dan nilai murni perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, pelajar, dan industri. Dengan pengetahuan yang mantap dan kemahiran yang relevan, graduan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan pasaran kerjaya tetapi juga berupaya menjadi pemimpin dan agen perubahan dalam masyarakat dan negara.
Menjadi impian dan harapan kita bersama agar institusi pendidikan terus komited dalam usaha melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi pengetahuan, kemahiran dan nilai ini. Graduan seperti inilah yang akan menjadi nadi kepada kejayaan dan kemajuan negara pada masa hadapan.
PENULIS RUSLI ABDUL RONI merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.