SAUDARAPENGARANG
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan satu insiden seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) telah dimalukan, ditendang di bahagian kepala, dan dilemparkan mi goreng di khalayak ramai. Persoalan yang mungkin bermain di minda kita semua: Di manakah akhlak, budi bahasa, belas dan empati mereka yang terlibat dalam mencemuh, mengaib dan memalukan individu tersebut?
Walaupun individu tersebut mungkin hilang percaturan pada awal tindakanya, namun adakah tendangan, cacian dan penghinaan itu mencerminkan nilai-nilai yang ingin diterapkan dalam jiwa? Di manakah nilai-nilai murni dan adab individu terlibat dalam perlakuan tersebut?
Sikap yang ditunjukkan ini kemungkinan besar berpunca daripada emosi panas baran dan mudah hilang kawalan dalam sesuatu tindakan. Panas baran merujuk kepada sikap seseorang, terlalu mudah marah dan melenting. Individu yang panas baran sering melafazkan tutur kata kasar dan menunjukkan tingkah laku agresif.
Kerap kali masyarakat dihidangkan dengan laporan berita berkaitan pergaduhan atau salah faham yang berpunca daripada panas baran. Istilah ‘darah panas’ atau panas baran ini merujuk kepada ketidakupayaan mengawal emosi semasa marah. Individu sebegini sangat sensitif; baru dicuit bahu sudah hendak marah, baru bercakap sedikit sudah menarik muka.
Walaupun ada yang tidak mengekspresikan kemarahan mereka melalui teriakan atau makian, namun reaksi mereka jelas menunjukkan sifat seorang yang pemarah. Kemarahan ini juga sering diluahkan dalam bentuk perlakuan kasar atau cacian terhadap orang lain.
Selain kes OKU tersebut, pernah juga dilaporkan satu kejadian melibatkan seorang penganggur mencederakan isterinya dengan sebilah pisau. Kejadian ini berpunca daripada sikap suka melenting dan ‘naik tangan’ terhadap pasangan. Berdasarkan pemerhatian, sebenarnya banyak kes kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran, malah ada kes tragis yang turut berakhir dengan kematian.
Akar permasalahan sikap agresif dan panas baran ini sering berkait dengan kesihatan mental yang tidak stabil. Kesukaran mengawal emosi dan tekanan hidup boleh mencetuskan tingkah laku agresif yang merugikan diri sendiri dan memberi kesan kepada ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.
Sebenarnya, perlakuan panas baran boleh diwarisi melalui pembelajaran sosial anak-anak yang membesar dalam keluarga panas baran. Anak-anak lebih cenderung meniru perlakuan tersebut. Dalam teori tingkah laku, ia dipanggil ‘modeling’.
Walaupun pada mulanya mereka berasa takut, lama-kelamaan mereka menjadi terikut-ikut. Ini menghasilkan kitaran keganasan atau ‘vicious cycle’, di mana percubaan menyelesaikan satu masalah mewujudkan masalah baharu yang membawa kita kembali kepada situasi asal.
Elak panas baran kuasai diri
Dalam menangani permasalahan ini, pendekatan holistik amat diperlukan. Intervensi psikologi, sokongan kesihatan mental dan bantuan kaunselor atau pakar profesional adalah sangat penting.
Usaha pencegahan juga memainkan peranan utama dalam memberikan pemahaman yang lebih baik tentang keperibadian diri dan tahap kesihatan mental. Justeru, teknik 3R boleh menjadi panduan yang berkesan.
Teknik 3R (‘retract’, ‘rethink’ dan ‘respond’) sebenarnya mampu membantu mengawal perasaan dengan lebih baik. ‘Retract’ bermaksud berundur seketika daripada punca kemarahan, memberi ruang untuk mendapatkan jarak emosi dan mengelakkan tindakan impulsif. ‘Rethink’ pula bermakna berfikir semula tentang isu sebenar dan mencari penyelesaian efektif. Akhir sekali, ‘respond’ merujuk kepada gaya bertindak yang lebih waras dan terkawal.
Prinsip 90-10 juga boleh diamalkan, di mana 90 peratus adalah keadaan boleh dikawal, manakala 10 peratus adalah di luar kawalan kita. Kita perlu mendidik diri untuk sentiasa berfikir positif. Sebelum bertindak, pertimbangkan sama ada perkara tersebut berada dalam kawalan kita atau tidak.
Dalam kes OKU tersebut, sekiranya ia di luar kawalan, ia tergolong dalam 10 peratus perkara yang tidak boleh dikawal. Lebih baik bermuhasabah diri dan memahami punca sebelum bertindak melulu.
Lawan kepada sifat panas baran adalah penyayang. Oleh itu, amat penting untuk kita memupuk kelembutan dan kasih sayang dalam diri. Dalam ajaran Islam, "Apabila salah seorang daripada kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk, kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)
Diharapkan saranan langkah-langkah holistik ini dapat mengatasi sikap panas baran melampau, sekali gus memutuskan kitaran keganasan yang boleh membahayakan generasi akan datang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Timbalan Dekan Ijazah Dasar/Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.