fb fb fb fb fb

Cabaran dan harapan usahawan mendepani Maqasid Syariah

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Maqasid Syariah, yang bertujuan untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, menjadi asas penting kepada kelangsungan kehidupan dan kesejahteraan umat manusia. Namun dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran, usahawan Muslim dihadapkan dengan dilema besar antara mengejar keuntungan dan mematuhi prinsip Maqasid Syariah. Memahami dan mengaplikasikan prinsip ini dalam perniagaan sering kali menjadi cabaran besar yang memerlukan komitmen, ilmu dan kesedaran yang mendalam.

Antara Realiti dan Tuntutan Syariah

Pematuhan kepada hukum syariah sering kali menjadi cabaran apabila berhadapan dengan tekanan pasaran. Kejujuran, sebagai salah satu nilai utama dalam perniagaan berlandaskan syariah, sering kali teruji dalam suasana perniagaan yang kompetitif.

Usahawan sering kali berhadapan dengan kekeliruan tentang maksud sebenar dan aplikasi Maqasid Syariah. Kekurangan kefahaman ini membawa kepada keputusan perniagaan yang tidak selaras dengan prinsip syariah, walaupun niat mereka baik.

Dalam usaha mengejar keuntungan, terdapat cabaran untuk menyeimbangkan keperluan perniagaan dengan pematuhan kepada prinsip syariah. Tekanan ekonomi memaksa usahawan mengabaikan nilai-nilai syariah demi kelangsungan perniagaan mereka.

Allah SWT menekankan kepada hambaNya tentang keperluan memilih rezeki halal dan keberkatan dalam kehidupan. "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya." (Surah Al-Baqarah, 2:172)

Walaupun cabaran dihadapi adalah sangat besar, terdapat segelintir usahawan Muslim berjaya mengatasi rintangan ini dengan pelbagai langkah kreatif dan berkesan. Usahawan berjaya sering kali menetapkan garis panduan lebih jelas tentang pematuhan kepada syariah. Ini termasuk mematuhi standard halal, mengelakkan riba dan memastikan semua transaksi bebas daripada unsur penipuan.

Peranan keluarga dalam memberikan sokongan moral dan motivasi kepada usahawan sangat penting. Dalam banyak kes, keluarga menjadi pendorong utama kepada usahawan untuk kekal berpegang kepada prinsip syariah meskipun berhadapan dengan tekanan pasaran.

Institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan patuh syariah memainkan peranan besar dalam membantu usahawan Muslim. Melalui pembiayaan bebas riba dan sokongan teknikal, usahawan dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih yakin dan terjamin.

Penerimaan usahawan terhadap prinsip Maqasid Syariah dikenal pasti sebagai asas utama dalam memastikan kelestarian perniagaan berlandaskan syariah. Tanpa penerimaan ini, segala usaha untuk mematuhi syariah akan menjadi sia-sia.

Selain itu, usahawan juga perlu memiliki kesedaran akan pentingnya Maqasid Syariah dan bagaimana ia dapat memberikan keberkatan dalam perniagaan mereka. Kefahaman mendalam tentang prinsip-prinsip ini membantu mereka membuat keputusan tepat dalam pelbagai situasi.

Komitmen untuk beralih kepada amalan yang selaras dengan syariah memerlukan usaha berterusan, termasuk menimba ilmu dan mendapatkan bimbingan daripada pihak berkuasa atau berautoriti.

Peranan Pendidikan dan Institusi dalam Meningkatkan Kesedaran

Pendidikan berterusan dan lebih mendalam diperlukan bagi melahirkan kefahaman tentang aplikasi dan peranan Maqasid Syariah. Institusi agama dan kerajaan harus berganding bahu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya usahawan Muslim terhadap kepentingan Maqasid Syariah.

Kempen kesedaran, latihan dan sokongan teknikal perlu diberikan secara konsisten. Modul pendidikan yang komprehensif tentang Maqasid Syariah perlu diperkenalkan, bukan sahaja di peringkat institusi pengajian tinggi, tetapi juga melalui program latihan untuk usahawan.

Menuju Kelestarian Perniagaan Berasaskan Syariah

Dalam menggapai kelestarian perniagaan, usahawan Muslim perlu melihat Maqasid Syariah sebagai panduan utama dalam membuat keputusan. Dengan kefahaman yang mendalam dan sokongan yang kukuh daripada pelbagai pihak, harapan untuk melihat lebih banyak perniagaan berlandaskan syariah dapat direalisasikan.

Perjuangan ini bukan hanya bertumpu kepada keuntungan dunia, tetapi juga keberkatan yang akan memberikan manfaat berpanjangan kepada umat Islam secara keseluruhan.

Sememangnya, usahawan Muslim berdepan banyak cabaran besar dalam menyeimbangkan kelangsungan perniagaan dengan pematuhan kepada prinsip Maqasid Syariah. Namun dengan penerimaan, kefahaman dan komitmen tinggi, serta sokongan dari institusi agama dan kerajaan, cabaran tersebut boleh diatasi.

Hakikatnya, Maqasid Syariah bukan sahaja kunci kepada keberkatan tetapi juga asas kepada kelestarian perniagaan yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan agama. Kejayaan dalam mengaplikasikan prinsip ini bukan sahaja akan mengangkat martabat usahawan Muslim tetapi juga menjadi contoh kepada dunia tentang keindahan Islam dalam aspek ekonomi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI