fb fb fb fb fb

Dari rumah ke masjid: Adab dan sokongan untuk anak autistik

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Anak-anak autistik mempunyai keperluan unik yang memerlukan pendekatan khas, lebih-lebih lagi apabila melibatkan suasana di tempat ibadah seperti masjid. Sebagai ruang yang penuh dengan keberkatan dan kedamaian, masjid seharusnya menjadi tempat yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.

Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis daripada Abu Qatadah R.anhu beliau berkata:

“Maksudnya: Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/276).

Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

"Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat). Riwayat al-Bukhari (666) & Muslim (723)

Namun, pengalaman ke masjid bagi keluarga dengan anak kecil atau lebih-lebih lagi bersama anak istimewa ini kadangkala mencabar jika tidak disertai dengan persediaan yang rapi dan sokongan komuniti yang baik.

Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD), adalah keadaan perkembangan yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi sosial dan memahami dunia sekeliling. Tanda-tanda autisme berbeza-beza dari seorang individu ke individu yang lain, tetapi kesedaran dan pemahaman orang awam terhadap ciri-ciri autisme adalah penting untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan menyokong.

Panduan mengenali autisme :

1) Memahami interaksi sosial anak autistik
Salah satu tanda utama autisme adalah kesukaran dalam berinteraksi sosial. Individu autistik mungkin kurang membuat hubungan mata, tidak memberi reaksi apabila namanya dipanggil, atau tidak menunjukkan minat untuk bermain dengan rakan sebaya.

Mereka juga sukar memahami isyarat sosial seperti ekspresi muka atau nada suara, menyebabkan mereka kelihatan tidak responsif dalam situasi sosial. Perkara ini mungkin disalah tafsir sebagai kurang sopan atau tidak peduli, sedangkan ia sebenarnya berpunca daripada perbezaan cara mereka memahami dunia.

2) Perhatikan cara mereka berkomunikasi
Kanak-kanak autistik sering mengalami kelewatan dalam perkembangan bahasa. Ada yang bercakap lambat, ada pula yang tidak bercakap langsung. Bagi sesetengah individu, komunikasi mereka mungkin terhad kepada mengulang perkataan atau frasa tanpa konteks, dikenali sebagai echolalia.

Selain itu, mereka juga mungkin menggunakan isyarat, seperti menarik tangan orang dewasa, untuk menunjukkan keperluan mereka. Orang awam yang peka terhadap ciri ini boleh memberikan ruang kepada individu autistik untuk berkomunikasi dengan cara yang mereka selesa.

3) Tingkah laku berulang dan ketertiban rutin
Tingkah laku berulang adalah ciri umum autisme. Contohnya, seorang kanak-kanak autisme mungkin mengatur objek dalam barisan atau melakukan pergerakan berulang seperti melambaikan tangan.

Mereka juga sering bergantung kepada rutin yang tetap dan boleh menjadi cemas apabila jadual atau persekitaran mereka berubah secara tiba-tiba. Orang awam boleh membantu dengan tidak mengganggu rutin mereka dan memberi masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

4) Sensitiviti sensori yang berlebihan
Kanak-kanak autistik sering menunjukkan sensitiviti sensori yang luar biasa. Bunyi bising, cahaya terang, atau tekstur tertentu dalam pakaian dan makanan boleh menyebabkan mereka berasa tidak selesa.

5) Cara bermain yang berbeza
Kanak-kanak autistik biasanya bermain dengan cara yang berbeza daripada kanak-kanak lain. Mereka mungkin lebih suka bermain bersendirian atau menunjukkan minat mendalam terhadap bahagian tertentu objek, seperti roda kereta mainan.

Bukannya bermain secara tradisional, mereka cenderung menumpukan perhatian kepada aspek tertentu yang menarik minat mereka. Orang awam boleh menyokong dengan menghormati cara unik mereka bermain dan tidak memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dengan norma permainan biasa.

Persediaan ke masjid bermula dari rumah

Persediaan untuk membawa anak autistik ke masjid bermula dari rumah. Ibu bapa perlu memahami keperluan anak dan mengurus jangkaan sebelum melangkah ke masjid. Konsep masjid boleh diperkenalkan secara perlahan melalui cerita, video, atau permainan yang menyeronokkan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menunjukkan video azan atau solat berjemaah untuk membantu anak memahami suasana masjid.

Selain itu, latihan rutin juga penting. Anak boleh diajak untuk memakai pakaian solat atau telekung sebagai persediaan mental dan fizikal. Dalam proses ini, kesabaran dan pujian adalah kunci. Anak autistik biasanya lebih responsif kepada pendekatan yang lembut dan positif, yang memberi mereka rasa selesa dan selamat.

Adab dan Latihan di Masjid

Adab di masjid adalah aspek penting yang perlu diajar kepada anak autistik. Walaupun pemahaman mereka mungkin berbeza daripada kanak-kanak lain, mereka tetap boleh belajar menghormati jamaah lain dengan pendekatan yang sesuai. Ibu bapa boleh melatih anak untuk bercakap dengan suara perlahan dan mengelakkan berlari-lari di dalam masjid melalui simulasi situasi di rumah.

Namun begitu, bukan semua situasi boleh dijangka. Oleh itu, membawa alat sokongan seperti mainan sensori, fon telinga untuk mengurangkan bunyi, atau makanan ringan boleh membantu anak mengurus kecemasan mereka. Ibu bapa juga perlu peka kepada tanda-tanda anak mula berasa tidak selesa dan bersedia untuk mengambil tindakan segera, seperti membawa anak ke ruang yang lebih tenang.

Sokongan komuniti di masjid

Sokongan daripada komuniti masjid amat penting untuk memastikan masjid menjadi tempat yang mesra autisme. Imam dan jawatankuasa masjid boleh memainkan peranan dengan menyediakan ruang khas untuk anak-anak yang memerlukan perhatian lebih, seperti bilik tenang atau sudut bermain.

Selain itu, masyarakat juga perlu dididik untuk lebih memahami keperluan anak autistik dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak.

Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibu bapa, pihak masjid serta kanak-kanak itu sendiri agar tiada stigma atau salah faham terhadap tingkah laku mereka sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak kelihatan cemas atau sukar mengawal emosinya komuniti masjid boleh membantu dengan menunjukkan kesabaran dan memberi ruang kepada penjaga mereka untuk menguruskan situasi.

Program-program khas untuk kanak-kanak autistik di masjid, seperti kelas seni Islamik atau aktiviti berkumpulan yang santai, boleh membantu anak-anak ini merasa diterima. Sokongan sukarelawan juga boleh dimanfaatkan untuk membantu ibu bapa mengurus anak mereka ketika berada di masjid.

Menuju masjid mesra Autisme

Langkah-langkah ke arah masjid yang mesra autisme bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak istimewa, tetapi juga memperkayakan keharmonian masyarakat. Dengan sokongan ibu bapa, komuniti dan pengurusan masjid, setiap anak, termasuk anak autisme, dapat merasai ketenangan dan keberkatan ketika berada di rumah Allah.

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu :
Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.

Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.

Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:

"Maksudnya: Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang. Surah al-Nur (36)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn Abbas R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini yang mana beliau berkata: Allah S.W.T melarang perbuatan lagha (sesuatu yang sia-sia dan melalaikan) di dalamnya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/62)

Melalui pendekatan inklusif ini, masjid dapat menjadi tempat untuk semua, tanpa mengira keupayaan. Oleh itu, "Dari Rumah ke Masjid: Adab dan Sokongan untuk Anak Autistik" bukan sahaja mengajar kita untuk bersabar dan memahami, tetapi juga membuka pintu kepada peluang mendidik anak-anak ini dalam suasana yang penuh kasih sayang dan kemuliaan. Santunilah anak-anak kecil dan saling menghormatilah sesama yang tua. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

"Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.
Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad (358)

Mengurus anak kecil di masjid merupakan cabaran bagi ibu bapa, namun ia juga peluang untuk mendidik mereka tentang kepentingan masjid sejak usia muda. Melalui perancangan dan pendekatan yang betul, ibu bapa dapat memastikan suasana masjid kekal tenang dan anak-anak mendapat pengalaman positif.

Akhirnya, pengalaman anak di masjid perlu dijadikan sesuatu yang menyeronokkan. Selepas lawatan ke masjid, ibu bapa boleh menceritakan kisah menarik tentang nabi atau memberi ganjaran kecil sebagai dorongan. Aktiviti bersama rakan sebaya di masjid juga boleh membantu anak merasa lebih seronok dan selesa.

Kesimpulannya, mengurus anak kecil atau anak autistik di masjid memerlukan kesabaran, kreativiti dan kerjasama antara ibu bapa dan komuniti masjid dengan pendekatan yang bijaksana, anak-anak bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan suasana masjid, tetapi juga membina rasa cinta terhadap rumah Allah sejak usia muda.

PENULIS NORSAADAH DIN @ MOHAMAD NASIRUDIN merupakan pensyarah di Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor, Ketua Biro Muslimat Masjid al-Azhar Universiti Islam Selangor, Penasihat Persatuan Pengusaha dan Pengasuh TASKA Hulu Langat dan Pengasas TASKA Seri Annajah dan TADIKA Annajah Bestari.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ROSLINA BINTI DIN