SAUDARA PENGARANG
Tanggal 10 April 1912 masyarakat dunia menyaksikan kejadian tenggelamnya kapal RMS Titanic yang membawa seramai 2,209 penumpang dengan hanya 20 buah bot penyelamat. Walaupun menerima banyak amaran mengenai kewujudan aisberg di kawasan laluan kapal tersebut, kapten kapal meneruskan pelayaran dengan kelajuan penuh.
Sikap optimis melampau dalam kalangan anak kapal bahawa 'Titanic' adalah kapal yang tidak akan tenggelam kerana reka bentuk dan teknologi yang canggih juga menyebabkan mereka tidak memberi perhatian terhadap sebarang tanda amaran. Amaran seorang pegawai keselamatan, Maurice Clarke supaya kapal dibekalkan dengan lebih banyak bot penyelamat juga diabaikan.
Akibatnya, kapal yang dianggap kebal bencana itu akhirnya ditelan Lautan Pasifik dalam masa kurang tiga jam, mengorbankan lebih 1,500 nyawa. Ini adalah apa yang berlaku pada lebih satu abad yang lalu. Sikap dan respons masyarakat merupakan kunci utama dalam menentukan implikasi bencana terhadap kehidupan mereka.
Ketika ini negara kita dilanda 'pesta banjir' tahunan yang telah dianggap 'biasa' oleh masyarakat. Ianya dianggap biasa kerana ia pasti berlaku pada setiap hujung tahun, dan setiap kali itu jugalah penduduk terjejas banjir ini dapat menangani situasi ini dengan cara tersendiri.
Pengalaman berulang ini juga menjadikan penduduk terjejas banjir pasrah dan reda menjadikan mereka leka terhadap risiko dan bahaya yang menanti. Mereka beranggapan bahawa mereka telah pun memahami pola fenomena ini memandangkan ia sering berlaku meskipun perubahan iklim telah meningkatkan intensiti dan frekuensi banjir di beberapa kawasan.
Menurut statistik, seramai 235,706 orang daripada 68,868 keluarga di sembilan negeri terjejas dan ia adalah angka tertinggi dicatatkan semenjak Monsun Timur Laut 2014/2015. Ada golongan yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan kerana takut rumah mereka dimasuki pencuri.
Ada yang membenarkan anak-anak mereka mandi dengan air banjir dengan anggapan ianya sama seperti air sungai. Ada pula yang mengambil kesempatan berniaga makanan di hadapan rumah dengan meletakkan meja hidangan di dalam air banjir dengan anggapan hidangan tersebut akan terselamat daripada air banjir tetapi culas terhadap kuman yang bakal bertandang.
Kecenderungan manusia untuk menganggap sesuatu situasi yang berulang sebagai perkara biasa atau tidak berbahaya ini merupakan satu bias kognitif bawah kategori 'bias normalisasi'. Bias jenis ini membuatkan manusia lebih cenderung bertindak mengikut kebiasaan berbanding mengenal pasti risiko secara kritikal dan bertindak berdasarkan bukti.
Seorang penulis dari Amerika, David McRaney dalam buku beliau bertajuk 'Big Weather' menyatakan bahawa apabila sesuatu bencana alam berlaku, manusia tidak akan segera berpindah, malah mereka akan berteriak dan menjerit ketakutan. Mereka lebih cenderung untuk bertanyakan orang sekeliling atau teman rapat yang mereka percayai walaupun maklumat boleh didapati melalui media komunikasi utama.
Ini menyebabkan mereka gagal mengenal pasti risiko yang bakal mereka hadapi dan bertindak dengan lebih cepat. Ini juga yang berlaku semasa musim banjir di negara kita. Sikap ambil mudah ini mengundang risiko pelbagai penyakit bawaan air seperti dijangkiti kuman cholera dan salmonella.
Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebanyak 10, 272 kes penyakit bawaan air di PPS di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak. Ia berikutan kekurangan bekalan air bersih untuk digunakan penduduk terjejas banjir. Selain keperluan sebagai air minuman, bekalan air bersih juga diperlukan untuk penjagaan kesihatan kendiri dan memasak makanan.
Dalam menghadapi gelombang kedua banjir pada musim ini, pelbagai langkah berjaga-jaga perlu dilakukan pihak terlibat dalam menangani risiko berulang. Antaranya adalah dengan menyediakan pek dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan, dokumen bank dan insurans.
Untuk pesakit-pesakit yang berisiko tinggi, pastikan ubat-ubatan penting dimasukkan ke dalam beg khas yang mudah dicapai semasa menyelamatkan diri nanti. Pihak berwajib boleh membuat persediaan bekalan air bersih untuk penduduk terjejas banjir ditempatkan di kawasan berhampiran pusat pemindahan sementara dan kawasan berisiko banjir.
Ini dapat mengelakkan pelbagai penyakit bawaan air melalui sanitasi dan juga pengendalian makanan. Akhir sekali, proses komunikasi yang berkesan dalam kalangan mangsa banjir dan pihak-pihak terlibat amat penting bagi memastikan sebarang maklumat dapat disampaikan dengan berkesan terutama dalam meningkatkan kesedaran risiko banjir dalam kalangan masyarakat.
PENULIS DR. NOR AISHAH ABDULLAH merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.