SAUDARA PENGARANG
Dunia globalisasi alaf baharu kian mencabar. Dunia yang dahulunya fantasi kini menjadi realiti. Sedar atau tidak, kini kita berada dalam cengkaman dunia digital yang sememangnya dapat memuntahkan maklumat dalam sekelip mata. Segala yang kita inginkan atau barangkali yang tidak kita inginkan, semuanya tersedia di hujung jari melalui pencarian dalam laman web atau melalui dalam talian media sosial seperti Instagram, Tiktok, Twitter dan pelbagai lagi.
Lebih hebat lagi, kini, melalui rangkaian media sosial, ia membolehkan kita menggali maklumat dengan hanya memasukkan kata kunci dalam ruangan carian, dan akhirnya akan memberikan kita akses kepada 1001 informasi dalam beberapa detik. Sungguh menakjubkan!
Dalam dunia digital serba canggih ini, aliran maklumat berlaku dengan cepat dan mudah. Namun, kesan sampingan daripada kelajuan penyebaran maklumat ini adalah “kemudahan” yang diberikan kepada segelintir individu tanpa rasa tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat palsu di media sosial. Motif serta keuntungan daripada tindakan tidak bermoral itu masih menjadi tanda tanya yang amat besar.
Mengapa mereka sanggup berkelakuan sedemikian? Amat mendukacitakan apabila masih ada segelintir masyarakat yang menganggap penyebaran fitnah sebagai satu norma kehidupan dan perkara biasa yang dipandang enteng. Seakan menjadi sesuatu keadaan yang tidak terelakkan dalam rutin harian. Oleh itu, perkara ini menuntut kita untuk lebih berhati-hati dan kritis dalam menyaring maklumat yang masuk ke dalam genggaman kita.
Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, isu ini adalah sesuatu yang memerlukan perhatian serius dan tindakkan sewajarnya. Oleh itu, adalah penting untuk mencegahnya kerana ia berpotensi merosakkan integriti negara. Jika kesan terhadap negara terlalu umum, maka, bermungkinan satu tindakan berat sebelah daripada pihak berkuasa perlu dilaksana termasuk peningkatan kawalan dan peraturan terhadap media sosial atau platform digital sebagai usaha untuk membendung isu penyebaran berita palsu dan fitnah ini.
Tidak mustahil pengawalan ini akan terjadi jika ianya sukar dibendung. Jika difikirkan sejenak, maklumat palsu yang disebarkan dengan niat memecah belah atau menghasut boleh menyebabkan ketegangan sosial dan konflik di kalangan masyarakat. Hal ini dapat merosakkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
Sedar atau tidak, sebenarnya ramai individu yang mengalami tekanan emosi dan masalah mental sehingga terjerumus dalam kancah bunuh diri dek kerana kecaman dan fitnah yang tersebar melalui rangkaian tersebut. Ini adalah perkara yang perlu ditekankan kepada masyarakat bahawa menyebarkan maklumat palsu atau fitnah adalah tindakan tidak bermoral dan tidak patut dijadikan contoh.
Seperti yang kita sedia maklum, penyebaran maklumat palsu bukanlah disebabkan oleh kesilapan individu tunggal semata-mata. Malah, ia merupakan suatu proses penyebaran yang bersifat "berantai". Ia bermula dengan individu yang menulis dan memuat naik berita palsu, diikuti oleh mereka yang tidak bersungguh-sungguh membaca atau suka menambah cerita dan kemudiannya mengulas dengan menulis kisah baharu.
Selanjutnya, mereka yang mudah terpedaya tanpa melakukan penyiasatan akan menyebarkan maklumat tersebut dengan mudah dan cepat melalui pelbagai aplikasi atau kepada individu lain. Kesannya, apabila seseorang individu itu menjadi sasaran fitnah atau maklumat palsu, maka individu tersebut boleh menghadapi kehilangan reputasi yang serius. Proses pemulihan reputasi ini pula memerlukan masa yang lama.
Menyedari hakikat ini, sekumpulan pelajar komunikasi dari program MC243, Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam mengambil satu inisiatif untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan dengan literasi media. Ini amat penting dalam mendidik dan mendedahkan kepada masyarakat untuk membezakan maklumat yang sahih daripada kandungan yang dimanipulasi, dan mencipta sebuah komuniti yang menitikberatkan keaslian maklumat yang mereka terima.
Menariknya, melalui program yang dinamakan sebagai HAPUSing ini akan dilaksana bersama-sama dengan komuniti terpilih dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pusat Komuniti Desa Bukit Kapar di Klang, Selangor, yang terdiri daripada golongan wanita yang berusia 30 hingga 50 tahun.
Namun masyarakat maya juga boleh turut serta dengan mendapatkan info-info berkenaan fitnah dan literasi media yang tersedia melalui capaian media sosial (Instagram atau Tiktok) @onesaidsociety.
PENULIS ALLAYSIA PETRUS & DR MOHD YUSOF ZULKEFLI, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.