SAUDARA PENGARANG
Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan, di Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini yang menghimpunkan lebih 400 pemimpin dan perwakilan negara-negara Islam membincang, membedah isu kritikal konflik Palestin-Israel disamping menilai tahap solidariti dalam kalangan negara-negara Islam mengharungi pelbagai cabaran ekonomi, politik dan sosial yang membelenggu umat Islam hari ini.
Dalam hal ini, kita dapat melihat bagaimana agenda barat mengukuhkan kempen Islamofobia yang menabur nilai prejudis terhadap Islam menerusi kandungan media yang mengecam sebilangan negara-negara Islam kononnya bersekongkol dengan agenda keganasan.
Pada hari ini, kita dapat memerhatikan bahawa terdapat ketidakseimbangan jumlah liputan media yang disebabkan oleh lambakan saluran-saluran media asing barat yang mendukung sentimen Islamofobia meresap ke dalam pemikiran masyarakat dunia.
Contohnya, dalam situasi Palestin-Israel yang sedang bergolak, kebanyakan media-media barat mengambil kesempatan memanipulasi maklumat berita dengan menyebar luas dan mengukuhkan agenda Islamofobia dalam kalangan penduduk dunia supaya bersimpati dengan tindakan Israel yang kononnya berjuang untuk "melindungi" keselamatan negaranya.
Sentimen anti-Islam ini diperhebatkan apabila banyak kandungan maklumat dan kandungan media penyiaran menyelitkan sentimen-sentimen negatif untuk memesongkan akidah, pemikiran dan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam berbanding usaha untuk mengembalikan fakta peranan Islam dan kedudukan masyarakat Islam yang realti.
Contohnya, insiden keganasan di Christchurch suatu ketika dahulu dilabelkan media-media asing sebagai ancaman kepada pengaruh Islam yang kuat di New Zealand dan memberi amaran kepada negara-negara Eropah untuk menumpaskan dakwah Islamisasi di benua tersebut.
Kelancangan media barat melancarkan kempen Islamofobia juga dikatakan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap masalah-masalah politik dan sosioekonomi yang berlaku ke atas negara-negara barat, khususnya berdepan dengan masalah perdagangan Amerika-China, penguasaan Asia Barat ke atas harga minyak mentah dan isu persempadanan Palestin-Israel.
Tidak cukup dengan itu, media barat mempromosikan budaya songsang 'lesbian, gay, biseksual dan transgender' (LGBT) yang cuba untuk memesongkan akibah umat Islam untuk menyokong dasar liberalisasi yang mengancam amalan Islam dalam kalangan umat Islam hari ini.
Hal ini haruslah ditangani dengan pragmatik dan bijaksana oleh pengamal media Islam menerusi kaedah:
• Memperbanyakkan kandungan-kandungan media yang dapat menangkis ancaman-ancaman Islamofobia secara agresif dengan memaparkan lebih banyak nilai-nilai murni dalam Islam menerusi portal-portal, penerbitan dan rangkaian media penyiaran Islam.
• Mewujudkan penyatuan dan kerjasama strategik dalam kalangan rangkaian media Islam menerusi program-program maklumat dan penyiaran yang boleh menyuburkan dakwah Islamiah yang komprehensif untuk memastikan bahawa ancaman Islamofobia media barat tidak dapat menembusi pemikiran masyarakat dunia.
Hal ini boleh dilaksanakan dengan menyerapkan pemahaman positif mengenai Islam menerusi pendidikan literasi media yang menggunakan pendekatan yang mudah difahami serta menganjurkan rangkaian dialog-dialog pemikiran Islam di arena antarabangsa.
• Dasar pemerkasaan pendidikan Islam yang diperkukuhkan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion berkaitan dengan hal ehwal Islam. Ini boleh dijadikan teras pendidikan dakwah Islam yang dicontohi kepada umat Islam dan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.
Dasar ini seharusnya diterjemahkan menerusi kepelbagaian maklumat dalam portal atau rangkaian media penyiaran di negara ini menerusi suatu pendekatan penyampaian mesej yang mudah difahami oleh masyarakat di negara ini.
Dalam erti kata lain, media di negara ini haruslah berusaha untuk menerapkan konsep 'Tabayyun' dalam setiap penayangan kandungan media supaya ia dapat diterap dan dihayati dalam kalangan rakyat Malaysia, sejajar dengan prinsip yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
• Penglibatan dan penguatkuasaan kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara komprehensif dalam mengawal penyebaran kandungan-kandungan media yang berunsur Islamofobia ini haruslah dikendalikan dengan berkesan.
Foto hiasan
Terdapat kes yang dilakukan sesetengah media dengan terbuka untuk membahaskan polemik disebalik pertikaian hukum Islam dan mengajak rakyat bertoleransi dalam hal ini. Keterlibatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang didalangi kepentingan tertentu dengan memperbesarkan isu-isu agama akan mendorong kepada penerapan persepsi negatif Islam dalam kalangan masyarakat di negara ini.
• Penapisan maklumat berteraskan konsep Islam dan menyanggah pemikiran terpesong media barat terhadap Islam harus dikuatkuasakan dalam kalangan pengamal-pengamal rangkaian media di negara ini. Suatu mekanisme penapisan maklumat berteraskan mekanisme pengawalseliaan kendiri (self-regulation) dalam kalangan para pengamal media di negara ini juga harus menekankan pengawalan penyebaran sentimen anti-Islam dipaparkan dalam media Internet, mahupun rangkaian media penyiaran seperti HBO, MAX (Cinemax), STAR Movies, Netflix dan sebagainya. Tidak terkecuali rangkaian aplikasi permainan Internet yang popular dalam kalangan anak-anak muda hari ini.
Masyarakat seharusnya dididik untuk tidak terpengaruh dengan ancaman berita-berita palsu atau kandungan-kandungan yang boleh memesongkan imej Islam dipropagandakan oleh rangkaian media barat.
Pada masa yang sama, media diingatkan bahawa peranan penyebaran maklumat adalah tanggungjawab bersama yang harus dipikul dan diawasi oleh masyarakat. Dengan kaedah sedemikian, media dan masyarakat akan saling memastikan bahawa peranan memelihara pendedahan amalan agama Islam itu dipraktikkan dengan jujur dan berdedikasi.
Dalam konteks global, penularan dakyah media Islamofobia tidak dapat dilaksanakan sekiranya tiada suatu kesepakatan dalam kalangan semua negara Islam untuk bersungguh-sungguh menyelesaikan konflik ini dengan menyemarakkan lebih banyak kandungan peranan Islam dengan kaedah pragmatik, bijaksana dan tidak terpengaruh dengan sentimen yang boleh menimbulkan kebencian agama dan etnik.
Fungsi media Islam seharusnya berfokuskan kepada kefahaman dan penyebaran mesej Islam yang berkesan kepada masyarakat dunia supaya imej dan reputasi peranan Islam terpelihara dan disanjung tinggi.
PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.