SAUDARA PENGARANG
Berdasarkan statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), sejumlah 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di seluruh negara. Ini disahkan daripada rekod pendaftaran dalam sistem eKasih dan golongan ini diklasifikasikan sebagai golongan miskin dan miskin tegar. Turut direkodkan di dalam sistem ini, adalah peringkat umur mereka berada di antara 15-60 tahun.
Merujuk data, umur semuda 15 tahun telah diberikan status miskin dan miskin tegar. Ternyata golongan umur muda seperti ini mewarisi status kemiskinan daripada keluarga mereka sendiri. Sekirannya komuniti ini tidak ada inisiatif atau tidak dapat keluar daripada lingkungan miskin tegar, secara automatik generasi penyambung akan mewarisi status ini dan berlanjutan ke generasi seterusnya.
Namun, disebalik mewarisi status miskin tegar daripada ibubapa, anak-anak muda ini seharusnya mempunyai keinginan untuk keluar daripada status miskin tegar. Mereka mempunyai pilihan sendiri sama ada ingin terus kekal ataupun berusaha untuk keluar daripada status kemiskinan.
Status miskin tegar dan miskin mutlak diukur menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan atau PGK. PGK ini merujuk kepada jumlah pendapatan bulanan isi rumah yang diperlukan untuk memenuhi keperluan optimum minimum makanan dan bukan makanan bagi membolehkan setiap ahli isi rumah menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.
Definisi miskin tegar merujuk kepada nilai PGK pada tahun 2022 yang dinyatakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin selaku Ketua Perangkawan Malaysia adalah kurang RM1,198 manakala miskin mutlak ialah pendapatan kurang daripada RM2,589. Ia berdasarkan survei pendapatan, perbelanjanaan isi rumah dan kemudahan asas yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) lima kali setahun.
Jumlah miskin tegar pada hari ini saban hari terus meningkat terutama sekali di kawasan-kawasan bandar, di mana taraf hidup mereka lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Komuniti miskin tegar bandar ini juga terpaksa menghadapi dan menanggung nilai perbelajanjaan harian yang tinggi seperti kos tempat tinggal, kos makanan dan kos ke tempat kerja demi kelangsungan hidup mereka.
Sebagai contoh, untuk mereka keluar bekerja menggunakan motorsikal pada setiap hari sekurang-kurangnya mereka memerlukan modal RM5 untuk mengisi minyak petrol dan RM20 untuk makan. Membawa jumlah keseluruhan modal harian sebanyak RM550 selama 22 hari bekerja dalam sebulan.
Jika pendapatan bulanan yang diperolehi adalah RM1,200, ia hanya berbaki RM650 sahaja untuk perbelanjaan selebihnya seperti bayaran sewa rumah, bil telefon, internet, elektrik, air dan keperluan peribadi yang lain. Belum dikira lagi perbelanjaan semasa hari tidak bekerja (sabtu dan ahad) atau keluar bercuti sekali sekala.
Sekiranya pendapatan bulanan yang diperolehi tidak dirancang dengan baik, modal harian untuk ke tempat kerja pun tidak akan mencukupi. Ini akan menjejaskan kehadiran mereka ke tempat kerja yang tujuan utamanya adalah demi untuk mendapatkan gaji bulanan tersebut.
Signifikan dengan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti beras, telur dan gula secara tidak langsung memerlukan setiap individu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran dalam pengurusan kewangan. Celik kewangan atau kini lebih dikenali sebagai literasi kewangan mampu membantu seseorang individu yang berstatus miskin tegar keluar daripada lingkungan miskin tegar.
Sekiranya pada peringkat sekolah menengah pendedahan kepada literasi kewangan ini diterapkan kepada pelajar, mereka lebih bersedia untuk menghadapi dunia sebenar dalam merancang kewangan mereka pada masa akan datang. Nilai tambah yang boleh di bawa oleh pelajar ini juga mampu membantu keluarga mereka yang berstatus miskin tegar untuk merancang dengan lebih baik atau sekurang-kurangnya mempunyai kesedaran.
Bagi anak-anak yang lebih kecil daripada keluarga miskin tegar pula, tidak dinafikan ilmu atau asas pendidikan awal adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya anak-anak ini dipersiapkan dengan asas kebolehan membaca, menulis dan mengira.
Jika terdapat kesedaran ini daripada ibubapa, jaminan terhadap masalah keciciran dalam pembelajaran dapat diatasi seterusnya ada inisiatif untuk keluar dari lingkungan miskin tegar. Bagaimanapun, realitinya masih ada ibubapa daripada golongan miskin tegar ini enggan menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan kekangan masa untuk menjaga anak-anak yang lebih kecil di rumah.
Ada di anatara mereka memilih untuk membiarkan anak-anak yang lebih besar menjaga anak-anak yang lebih kecil di rumah dan mereka keluar untuk bekerja. Pada pandangan mereka, dengan tidak menghantar anak ke sekolah perbelanjaan harian mereka lebih menjimatkan dan mereka dapat keluar mencari pendapatan keluarga.
Jika situasi ini terus berlaku, status miskin tegar ini akan terus diwarisi dari generasi ke generasi. Komuniti ini juga terus hidup dan bergantung dengan bantuan subsidi kerajaan dan sumbangan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam program pembasmian kemiskinan.
Program-program intervensi kerajaan
Mentaliti sebegini seharusnya berubah, walaupun ianya kelihatan sukar dan mustahil. Dengan itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif berbentuk program untuk menoktahkan kemiskinan ini supaya ianya tidak diwarisi oleh generasi seterusnya seperti contoh, Program Bina Insan (PBI).
Program ini merupakan program peningkatan jati diri dan pembinaan sahsiah golongan sasar miskin tegar dan miskin luar bandar khususnya di kalangan golongan muda untuk lebih bertanggungjawab dan merubah minda agar kurang kebergantungan kepada bantuan atau subsidi kerajaan serta mengurangkan keciciran pendidikan golongan sasar yang dilaksanakan melalui penganjuran kursus dan aktiviti latihan.
Bawah Tema 2 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) - Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti, program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) diteruskan khusus bagi strategi dalam pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan masyarakat di luar bandar dan juga di bandar.
Antara program SPKR lain yang diperkenalkan bukan dalam bentuk bantuan kewangan dan bersesuaian dengan konteks menoktahkan kemiskinan dalam keluarga miskin tegar adalah seperti: Program Latihan Kemahiran Dan Kerjaya (PLKK); Program Peningkatan Pendapatan (PPP); dan Program Komuniti Sejahtera (PKS).
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula ada diperkenalkan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) khusus kepada isi rumah di kawasan bandar dari golongan purata pendapatan isi rumah berpendapatan 40% terendah (dirujuk sebagai B40) yang berstatus warganegara dan status kemiskinan yang telah disahkan dalam Sistem eKasih.
Program ini juga selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030. Program ini bertujuan menyediakan tempat kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni bagi menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti dan sejahtera.
Antara program yang berkaitan adalah Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dengan sasaran untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan kumpulan sasar supaya mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan keluar dari kemiskinan. Skop latihan bagi Program PEKB ini merangkumi:-
i. Program Pembangunan Minda Insan
ii. Program Latihan Kemahiran
iii. Program Celik Kewangan
iv. Program Bina Upaya
v. Program Promosi dan Pemasaran.
Selain itu, suri rumah yang berdaftar dengan eKasih juga layak memohon bantuan di bawah skim i-Suri KWSP. Dengan caruman serendah RM5 sebulan atau RM60 setahun, suri rumah boleh mendapat insentif RM480 setahun daripada kerajaan bawah skim ini.
eKasih merupakan pangkalan data yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang mengandungi data tentang isi rumah miskin dan miskin tegar. Data eKasih juga digunakan oleh kementerian atau agensi yang memberi bantuan melalui program-program pembasmian kemiskinan.
eKasih mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula dari profail individu, program atau bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program atau bantuan yang diterima.
Peranan dan tanggungjawab
Untuk berhijrah dari kondisi sebuah keluarga yang berstatus miskin tegar ini kepada status yang lebih stabil diakui bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dengan pelbagai pilihan kerjaya yang ada pada masa kini dan pelbagai usaha serta langkah intervensi daripada pihak kerajaan yang telah dinyatakan, ianya tidaklah mustahil.
Dengan harapan, masyarakat lebih bersedia dan dilengkapi dengan sokongan asas yang kuat seterusnya dapat keluar daripada zon miskin tegar dan menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, setiap inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini adalah merupakan peluang, ianya tetap bergantung kepada pilihan dalam membuat keputusan. Pilihan kerjaya yang lebih baik ke arah kerjaya berpendapatan tinggi juga merupakan satu pilihan.
Perbezaan motivasi diri yang kuat dalam keinginan untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu yang boleh mengeluarkan golongan ini dari status miskin tegar, menjadi faktor ukuran kejayaan transformasi sesebuah komuniti. Tetapi, sekiranya mereka berasa selesa dengan gaya hidup semasa. Iaitu dengan terus bergantung hidup kepada subsidi kerajaan dan ihsan sumbangan daripada masyarakat, kitaran hidup miskin tegar ini akan berterusan diwarisi dari generasi ke generasi.
Semuanya perlu bermula dari rumah, di mana peranan dan tanggungjawab ibu bapa perlu dimainkan dengan baik dan betul. Pentingnya kesedaran terhadap asas pendidikan awal di peringkat sekolah seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira, kemahiran literasi maklumat dalam aspek kewangan juga penting kepada setiap individu kerana ia boleh membantu seseorang dalam membuat penilaian seterusnya membuat keputusan dengan lebih baik.
Selain itu, kemahiran bekerja seperti asas pengendalian komputer dan kemahiran teknikal berkaitan TVET juga akan menjamin kebolehpasaran dalam mendapatkan pekerjaan bagi generasi muda dalam keluarga miskin tegar. Tidak lupa, aspek modal insan juga menjadi harapan untuk diterapkan kepada golongan ini pada peringkat awal lagi. Ianya boleh membentuk peribadi individu yang berperibadi tinggi dan menjadi faktor dorongan untuk mengubah masa depan mereka sendiri ke tahap yang lebin baik.
PENULIS DR. SAMSUL FARID SAMSUDDIN adalah Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.