fb fb fb fb fb

Isu 3R penting elak perbalahan berpanjangan

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Apa yang dimaksudkan dengan isu 3R? Mengapa kerajaan memberi amaran, tentang bahaya mengeksploitasi isu 3R?

Adakah netizen, orang politik dan orang muda tahu implikasi penyebaran isu 3R? Bukankah masyarakat bebas memberi pendapat mereka? Jadi, apa masalahnya?

Dari sudut pandang penulis, isu 3R boleh dilihat dalam konteks kerukunan masyarakat kita. Konsep yang disepakati secara umum dan perlu dijaga.

3R berkisar tentang isu agama, bangsa dan institusi diraja. Ia dibentuk mengambil huruf awalan daripada perkataan bahasa Inggeris Religion, Race dan Royal.

Sebab itulah, apabila berbicara tentang isu-isu itu, ia perlu diangkat bersama dengan suatu disiplin ilmu, supaya masyarakat tidak terjerat dengan perbuatan adu domba, kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan negara.

Sesungguhnya semua orang bebas memberi dan berbeza pendapat. Ia suatu lumrah dalam hidup bermasyarakat. Kerajaan tidak pernah menghalang orang menyalurkan pandangan. Tetapi perselisihan itu tidak seharusnya menjerumus kita ke lembah perbalahan berpanjangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganjurkan agar kita dapat menerapkan budaya bersedia bersetuju dan tidak bersetuju dalam suasana penuh hikmah dan kebijaksanaan. Tangani perbezaan dengan baik, dengan penuh adab dan susila, seperti dianjurkan dalam Islam dan budaya timur orang kita.

Dalam menebak nasihat dianjurkan, wacana sedemikian jelas menuntut perdebatan di ruang awam bukan dengan cara saling bertukar kata-kata kesat dan cacian. Sebaliknya berlandaskan pemikiran wajar dan hujah berfakta. Apa lagi dalam hal berkait agama, bangsa dan institusi diraja yang menjadi tiang seri negara.

Masalahnya, dalam konteks perbincangan isu 3R, ia selalunya tersasar. Baik di laman maya, pentas politik kecil atau besar. Alasan diberi kononnya ia hak untuk memartabatkan Rukun Negara. Tetapi hakikat, medan seumpama itu sering dan akan disalah guna.

Perbincangan awam yang berbaur hasutan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana berisiko merosakkan keamanan. Sebab itu kerajaan perlu memberi kata dua agar semua pihak tidak menyentuh isu-isu provokatif melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.


Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan 
Kerajaan Perpaduan pada 11 Julai lalu; memberi amaran semua pemimpin politik berhenti memainkan isu 3R

Kerajaan punya tanggungjawab menjaga keharmonian rakyat. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dikehendaki memantau dan mengambil tindakan jika ia boleh mencetuskan kegusaran masyarakat. Apa lagi menjelang PRU DUN Ke-15 pada 12 Ogos ini yang melibatkan enam negeri.

Dalam hal ini, orang awam, terutama netizen perlu menerapkan pemikiran kritis semasa menilai mawduk perbincangan awam yang sensitif. Teliti semua isu dengan mata hati bukan emosi. Jika ia bersifat mencetuskan perpecahan, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama penyedia platform media sosial boleh membantu menurunkan kandungan yang melanggar kesalahan.

Polis Diraja Malaysia boleh mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kemungkinan pada masa depan pula, pihak yang mempermainkan isu 3R juga boleh dihukum denda. Cadangan memperkenalkan akta baharu dalam undang-undang sivil, dapat memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin.

Kesan penyalahgunaan isu 3R boleh mengundang persepsi salah tentang kebenaran sesuatu perkara itu dalam kalangan masyarakat. Usah bebankan kami dengan sebarang andaian tidak tepat. Kalau untuk kempen PRU DUN ke-15 nanti, apa kata parti politik berkempen bagi menurunkan kos sara hidup tinggi.

Ulasan berita ini disediakan oleh Affendi Abdul Karim, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu