SAUDARA PENGARANG
Lebih tujuh bulan Malaysia menyaksikan perubahan pucuk pimpinan kerajaan memerintah. Suatu fenomena yang mencipta kejutan, kegelisahan dan keresahan parti-parti politik dan rakyat di negara ini untuk memenangi hasrat rakyat yang dahagakan ketelusan pentadbiran dan kemakmuran negara.
Bermula daripada transformasi institusi parlimen sehinggalah pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar baharu Kerajaan Madani yang menyaksikan pelbagai insentif dan bantuan diberikan oleh Kerajaan kepada rakyat bagi mengharungi dilema kegawatan ekonomi.
Ini termasuklah pengawalan harga barangan dan pemeliharaan kos sara hidup rakyat yang terhimpit akibat masalah ekonomi dunia yang menyebabkan Malaysia terpaksa merasai "bahang" kemerosotan nilai ringgit, kenaikan harga barang dan sebagainya.
Boleh dikatakan dasar-dasar baharu ini merupakan perubahan-perubahan radikal yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani PH-BN untuk menrealisasikan menifesto politik dan mengamalkan dasar keterbukaan dengan mewujudkan ikatan persefahaman di antara parti-parti yang bernauang bawah payung Kerajaan Perpaduan ini. Tidak terkecuali isu kebebasan media yang dijanjikan untuk dilaksanakan sepenuhnya selepas memenangi PRU ke-15 yang lalu.
Janji Kerajaan Madani untuk memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menyalurkan maklumat dan memperluaskan peranan media menyalurkan maklumat telus kepada rakyat adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan. Cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan juga penyemakan semula Akta Anti Berita Tidak Benar dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk mewujudkan persekitaran media yang bebas menyalur maklumat berwibawa kepada rakyat dan kerajaan.
Rakyat akan menikmati kebebasan memperoleh maklumat daripada saluran media, khususnya media cetak, penyiaran dan media siber pada bila-bila masa menjangkaui sempadan geografi.
Ia bertepatan dengan perluasan teknologi komunikasi digital yang menguasai pasaran media dunia, lebih-lebih lagi di Malaysia. Rata-ratanya kelompok pengguna tegar teknologi ini pula terdiri daripada kalangan anak-anak muda yang mengambil kesempatan untuk menguasai ilmu ICT untuk memudah dan menceriakan kehidupan mereka.
Peraturan-peraturan media 'lapuk' yang disifatkan bermotifkan kepentingan politik semata-mata haruslah dilihat lebih adil, iaitu memberikan rakyat pilihan untuk memperoleh maklumat yang adil kepada semua pengguna.
Penguatkuasaan peraturan-peraturan dalam kebanyakan akta media seperti ini disifatkan memberi tekanan kepada pihak media untuk bersikap objektif dalam pemberitaan maklumat dan semua media arus perdana harus bertindak memihak kepada agenda politik suatu masa lalu.
Ini menyebabkan ranking media terjejas dan tidak digemari oleh majoriti rakyat di negara ini. Apatah lagi pengaruh media arus perdana harus menyaingi kehebatan teknologi media siber yang menjadi pilihan rakyat memperoleh maklumat pantas, lebih sensasi dan tidak memihak mana-mana agenda politik pada masa sekarang.
Kebanyakan golongan generasi muda di negara ini telah menganggap bahawa dunia media siber adalah harapan masa depan mereka untuk menyaingi ledakan kandungan maklumat yang berlaku pada hari ini.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ledakan maklumat ini telah mengubah budaya dan pemikiran anak-anak muda di negara kita. Pengaruh kandungan siber telah merangsang pemikiran dan perlakuan mereka untuk meneroka lebih banyak ilmu maklumat dari serata pelusuk negara dunia. Inilah yang dikatakan "teknologi di hujung jari".
Dalam keghairahan mencipta fenomena kebebasan bermaklumat ini, sering kali kita lupa tidak semua maklumat yang kita peroleh tersebut adalah daripada kandungan yang boleh dipercayai atau berkredibiliti tinggi.
Suatu sistem pengawalan selia kandungan media harus diperkenalkan kepada golongan pengguna supaya mereka tidak terpengaruh dengan kandungan-kandungan jelik atau bersifat fitnah dan penipuan.
Dalam mengharungi cabaran ini, penubuhan Majlis Media Kebangsaan dilihat memberikan nafas baharu kepada industri media untuk mengemudi hala tuju bidang itu dan memperkasa peranan media dengan lebih efektif kepada masyarakat. Ia juga akan memberikan manfaat kepada pengguna media di negara ini sebab mereka akan dilindungi oleh peraturan-peraturan media yang akan mengawal, mengekang dan menentukan cita rasa mereka, khususnya generasi muda di negara ini.
Bertepatanlah dengan semangat membimbing pengguna media untuk sentiasa peka terhadap kandungan media yang mereka nikmati setiap hari. Sampai masanya masyarakat kita akan memilih kandungan media yang memberikan manfaat kepada mereka atau sebaliknya.
Disamping itu juga cadangan penubuhan Majlis Media Kebangsaan ini diharapkan dapat menaikkan martabat media di negara ini untuk berfungsi dengan lebih baik, menyalurkan maklumat berita lebih berobjektif dan berintegrasi. Dengan tidak secara langsung pelaksanaan institusi ini juga akan memperlihat media arus perdana menyaingi penguasaan media alternatif yang menggunakan platform media sosial untuk mempengaruhi minda pengguna media.
Sudah pasti pihak pengurusan media berasa lega apabila kerajaan bertindak untik memberi kebebasan kepada media memainkan peranan lebih besar yang berpuluh tahun diimpiankan mereka.
Penubuhan Majlis Media Kebangsaan belum menjadi kenyataan lagi, namun begitu beberapa cabaran dan pendekatan harus diambil kira bagi memastikan bahawa kebebasan media benar-benar manjadi suatu kenyataan dan bukannya suatu impian yang tidak tertunai, antaranya ialah:-
- Menggalakkan lebih banyak penglibatan masyarakat dalam kempen-kempen memilih bahan kandungan media yang berfaedah;
- Menyalurkan penjelasan isu-isu dan maklumat yang tepat kepada masyarakat menerusi saluran media supaya dapat diyakini oleh para pengguna media;
- Mengiktiraf dan menghargai para pengguna media dalam kalangan generasi muda untuk memberikan mereka lebih banyak ruang menggunakan media untuk berkreatif dan mencipta pelbagai produk media yang inovatif,bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pentas global;
- Menggalakkan lebih banyak kandungan maklumat tempatan yang dapat memenuhi sistem maklumat media yang memberi penekanan kepada mekanisme pemberitaan maklumat kepada aspek sayangkan negara dan pemeliharaan keharmonian kaum di negara ini;
- Pendidikan penggunaan media berhemah dan efektif perlu dibangunkan dari peringkat prapersekolahan hinggalah ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (ITP).
Justeru, sekiranya Kerajaan masih meneruskan usaha untuk menubuhkan Majlis Media Kebangsaan, ia haruslah mengambil kira pendekatan yang boleh memberi harapan baru kepada industri media untuk menyemarakkan lagi penglibatan masyarakat terhadap aktiviti-aktiviti media yang berfaedah kepada mereka.
Lantaran itu juga, para pengguna media, khususnya generasi muda pula diharapkan akan terdidik dengan kesedaran penggunaan media dengan lebih cekap, tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan anasir-anasir kandungan media, lebih bertanggungjawab terhadap apa sahaja kandungan media yang dinikmati atau disalurkan kepada orang lain serta mencetuskan fenomena dayacipta kreativiti yang tinggi menghasilkan kandungan media yang amat bersesuaian dengan keperluan mereka.
Akhirnya kita mengharapkan akan menjulang nama Malaysia sebagai hab teknologi maklumat media yang disegani di rantau ini.
PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.