fb fb fb fb fb

Aspirasi penjelmaan IPT sebagai hab pendidikan tinggi di Asia

(Foto hiasan/BERNAMA)

SAUDARA PENGARANG

Bermulalah musim kemasukan semester baharu untuk calon-calon mahasiswa menempa ilmu di menara gading. Jumlah bilangan pengambilan pelajar tempatan yang semakin meningkat jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan tinggi negara masih mendapat pengiktirafan besar dalam kalangan generasi muda.

Mereka turut menaruh ribuan harapan untuk berjaya menempa diri mereka dalam alam pekerjaan nanti. Lebih-lebih lagi dengan menjelmanya suatu harapan reformasi dalam Malaysia Madani yang dipimpini oleh Kerajaan Perpaduan.

Generasi muda hari ini masih berpaksikan keyakinan mereka mahu sistem pendidikan tinggi yang mereka jalani ini boleh menyumbang kepada kualiti dan keberkesanan memperoleh pekerjaan sekali gus boleh menyara hidup mereka kelak.

Saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk melihat lebih banyak mahasiswa dibimbing untuk berkolaborasi dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas mereka tamat pengajian kelak.

Pendekatan itu termasuklah menjalinkan kerjasama bersepadu dengan pihak industri dalam pendidikan, pengajaran dan penyelidikan serta memastikan kurikulum pendidikan mengikut kehendak pasaran pekerjaan graduan.

Suatu perubahan radikal dalam sistem pendidikan tinggi hari ini harus dijelmakan untuk membantu meningkatkan kualiti pengajaran dalam kelas dan memberi lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk meneroka kebolehan, bakat dan kemahiran mereka, sepanjang pengajian mereka di IPT.

Pendekatan radikal yang dicadangkan tersebut ialah memansuh mana-mana kursus pengajian yang tidak bersesuaian atau tidak relevan dalam pasaran masa kini. Di samping itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengikuti kursus-kursus pengajian sampingan yang boleh memberi nilai tambah kepada kualiti keperibadian atau kerjaya yang mereka akan ceburi selepas bergraduat nanti.

Strategi Datuk Seri Khaled untuk menilai kembali Dasar Pengajian Tinggi baru-baru ini telah menunjukkan kesungguhan kerajaan menjadikan usaha untuk merealisasikan pendidikan tinggi negara setanding dengan negara-negara maju, atau setidak-tidaknya menjadi hab pendidikan di Asia akan menjadi suatu kenyataan kelak.

Tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memendekkan program pengajian empat tahun kepada tiga tahun dan menawarkan mahasiswa kursus-kursus berkaitan dengan bidang pengajian mereka, merupakan suatu langkah bijak.

Ini memberikan peluang kepada mahasiswa bergraduat awal dan menerobosi peluang pekerjaan di luar bagi mengelak kelompangan pekerjaan yang sering menjadi masalah kepada industri.

Langkah KPT mengehadkan tempoh pembelajaran di kampus bagi mahasiswa baharu juga merupakan suatu strategi yang boleh memberi manfaat kepada mahasiswa yang terbelenggu dengan masalah yuran pengajian dan penginapan dalam kampus.

Dalam pada itu juga, KPT melihat bahawa lebih banyak manfaat sekiranya pada tempoh-tempoh tertentu pendidikan di IPT boleh diterjemahkan kepada saluran teknologi maklumat (pendidikan dalam talian) yang semakin meluas dipraktikkan di luar negara.

Pendekatan ini juga akan mengundang lebih ramai calon-calon mahasiswa dari luar negara untuk meneruskan pengajian mereka di Malaysia dan mengangkat martabat kualiti pendidikan tinggi negara ke tahap lebih tinggi di pentas global.

Pendekatan berstrategik ini juga membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk merancang dan menilai kurikulum pengajian mereka supaya selari dengan kehendak dan keperluan pelajar sebelum mereka melangkah ke dunia pekerjaan kelak.

Dalam erti kata lain, mahasiswa bebas memilih bentuk pengajian mengikut keserasian mereka dan tidak bergantung kepada sktruktur kurikulum yang telah ditentukan semasa mereka berada di IPT.

Contohnya, seorang graduan dalam kalangan pengajian sains boleh memilih pekerjaan dalam bidang kulinari atau komunikasi yang dia minati tanpa terikat dengan bidang pengajian sains yang mereka jalani di IPT dahulu.

Dalam hal ini, dorongan dan sokongan daripada keluarga amat penting bagi membantu graduan menjalani pekerjaan mereka mengikut acuan cita rasa mereka. Kesedaran ibu bapa terhadap pengembangan bakat dan kemahiran mahasiswa akan membantu anak-anak mereka menjalani bidang kerjaya yang mereka pilih dan dapat membangunkan bakat mereka untuk bergerak maju lebih jauh pada masa hadapan.

Fenomena ini sudah menjadi kelaziman di negara-negara maju dan menyaksikan ribuan pemimpin-pemimpin industri terkenal dan berjaya lebih cenderung memilih bakat dan kemahiran mereka berbanding dengan bidang pengajian mereka semasa mereka berada di IPT.

Bagi mahasiswa pula, kebebasan meneroka ilmu sepanjang berada di IPT nanti harus dibekalkan dengan sikap tanggungjawab.

Mahasiswa disaran meneroka lebih banyak cabang ilmu dan praktis yang boleh membantu mereka memperoleh ilmu kepengurusan diri dan peningkatan kualiti keperibadian untuk dijadikan modal menghadapi temuduga pekerjaan kelak tanpa bergantung sepenuhnya kepada prestasi akedemik semata-mata.

Bakat dalam kepengurusan keusahawanan dan kesukarelawanan merupakan antara elemen-elemen yang boleh membantu mahasiswa mendekatkan diri mereka dalam dunia perniagaan dan menyumbang bakti kepada komuniti.

Perlu diingatkan bahawa segulung ijazah hanyalah merupakan asas atau platform untuk membolehkan mahasiswa bersedia menghadapi cabaran kerjaya mereka. Pengisian terhadap pengajian mereka itu sebenarnya suatu pengalaman berharga untuk menggalas kematangan pemikiran mereka. Inilah yang akan menyumbang kepada nilai kebolehpasaran graduan yang lebih baik.

(Foto hiasan)

Mahasiswa perlu mengambil inisitatif mewujudkan lebih banyak program-program peningkatan diri yang lebih kreatif dan inovatif bagi melatih mereka bersikap lebih pragmatik apabila menghadapi cabaran dan kemampuan membuat keputusan rasional apabila berdepan dengan isu atau krisis.

Selain daripada melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran komunikasi dan keperibadian, mahasiswa juga harus bersedia menyemai sikap berdikari, berfikiran lebih holistik dan terbuka ketika menghadapi cabaran.

Mahasiswa tidak perlu 'melatah' apabila menghadapi situasi yang mencabar fikiran dan keperibadian mereka. Sebaliknya mereka harus mencari jalan penyelesaian dengan berbincang dengan rakan-rakan dan pensyarah apa juga dilema atau masalah dihadapi mereka.

Perkongsian pengalaman tersebut akan memberikan lebih banyak ruang untuk mahasiswa berfikir dengan lebih matang. Kebolehan mahasiswa berinteraksi dengan pelbagai situasi terutamanya melibatkan aspek sosial, politik, keagamaan yang tular di media massa akan membentuk nilai keperibadian  seseorang individu untuk berfikiran lebih mantap dan lebih jauh ke hadapan untuk meneliti setiap isu tersebut dengan lebih seimbang.

Ketelusan dan keikhlasan dalam memperkasakan bakat sedia ada untuk dijelmakan dalam program-program berfaedah di IPT, akan dapat memacu mahasiswa menjadi lebih progresif dan memahami keperluan dunia kemasyarakatan dan kerjaya mereka apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan nanti.

Hal ini boleh dilaksanakan dengan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa mempraktikkan ilmu dipelajari mereka; diterjemahkan kepada program-program atau kegiatan baharu di IPT mengikut kebolehan dan bakat masing-masing. Antaranya mengadakan pertunjukan, pameran, persembahan atau apa sahaja yang memberi manfaat kepada mahasiswa pihak IPT mahupun masyarakat luar.

Apa yang penting bagi institusi pendidikan dan masyarakat ialah melahirkan para graduan yang bukan sahaja boleh menonjolkan diri mereka dalam lapangan akedemik, tetapi yang diharapkan mereka dapat menyelami hasrat masyarakat untuk memanfaatkan bakat dan pengalaman semasa di menara gading untuk membantu bangsa dan negara melangkah maju mengisi hasrat kemerdekaan yang kita impikan bersama.

PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu