SAUDARA PENGARANG
Generasi muda memainkan peranan penting dalam mencorak kemajuan dan kelangsungan sesebuah negara. Generasi manusia juga sering dikategorikan berdasarkan tahun kelahiran, persekitaran budaya, dan perkembangan teknologi yang mempengaruhi cara hidup dan pemikiran mereka. Boleh dikatakan semakin maju teknologi, semakin berbeza cara hidup, komunikasi, dan gaya kerja sesebuah generasi.
Dunia telah mengkelaskan generasi dengan pelbagai terma antaranya generasi baby boomers (lahir sekitar tahun 1946–1964), generasi X (1965–1980), generasi Y atau Milenial (1981–1996), generasi Z (1997–2012) generasi Alpha (lahir selepas 2013) dan yang terkini disebut sebagai generasi beta (2025 dan seterusnya)
Siapakah Generasi Beta?
Generasi beta merupakan generasi yang lahir selepas tahun 2025 dan mereka ini dikenali sebagai generasi yang membesar dengan dunia digital serta dengan persekitaran berteknologi. Seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknolgi sezamannya, karaktor-karaktor generasi ini terbentuk hasil dari persekitaran yang wujud merangkumi era revolusi industri dengan teknologi seperti Artificial Intelligence (AI), realiti maya (VR) dan Internet of Things (IoT).
Generasi beta juga dikenali sebagai generasi yang sangat terbuka dan terdedah kepada teknologi pintar (smart devices) dan automasi. Mereka yang tergolong dalam generasi ini dijangka akan menjadi generasi paling berpendidikan fleksibel, justeru menjadikan mereka generasi yang berisiko menghadapi cabaran ketagihan skrin dan kehilangan berkomunikasi secara langsung.
Risiko ini hadir disebabkan oleh pengaruh utama iaitu evolusi teknologi pintar yang pantas, ekosistem digital yang semakin baik dan perubahan akibat pandemik COVID-19.
Berdasarkan karaktor tersebut, boleh dikatakan ciri-ciri utama generasi beta adalah generasi yang terbiasa dengan akses teknologi sejak kecil, membesar dengan orientasikan digital dan sosial media. Serta mempunyai pendedahan dan mendapat akses kepada isu global seperti perubahan iklim, kepelbagaian budaya dan keadilan sosial.
Meskipun generasi ini mendapat akses yang mudah terhadap persekitaran global dan tanpa sempadan, generasi ini memerlukan kaedah yang sesuai dan berseni untuk disantuni. Hal ini adalah penting memandang generasi ini juga dikenali sebagai generasi fragile dan mungkin terdapat jurang dalam memahami dan beradaptasi terhadap teknologi dengan generasi terdahulu.
Peranan Wanita Menyantuni Generasi Beta
Walaupun generasi ini menikmati pelbagai kebaikan dan kelebihan terhadap pendedahan meluas teknologi, mereka juga adalah golongan yang berisiko berhadapan dengan tekanan sosial dalam talian seperti siber bully dan isu keseimbangan hidup.
Justeru, wanita memainkan peranan penting sebagai ibu, pendidik, dan pemimpin dalam menyantuni generasi beta. Pepatah lama ada menyebut, "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia," menggambarkan betapa besarnya pengaruh wanita dalam mencorakkan masa depan. Antara peranan wanita dalam menyantuni generasi beta ialah:
Ibu adalah Madrasah pertama
Pepatah "Ibu adalah madrasah pertama" menekankan peranan ibu sebagai pendidik utama dalam membentuk asas kehidupan anak. Dalam konteks menyantuni generasi beta, ibu berperanan penting dan dominan dalam membimbing anak-anak untuk menghadapi cabaran dunia digital.
Sebagai madrasah pertama, ibu tidak hanya mengajar nilai moral dan emosi, tetapi juga memastikan anak-anak menggunakan teknologi dengan bijak, menjaga keseimbangan antara dunia maya dan nyata dan memahami adab dan etika di alam maya.
Watak dan sifat keibuan yang penuh kasih sayang dan perhatian membantu membentuk perwatakan dan kesejahteraan mental generasi beta, memastikan generasi ini membesar tumbuh dengan nilai positif dalam persekitaran yang serba canggih.
Wanita Sebagai Pendidik
Sebagai pendidik, wanita bukan sahaja menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga membentuk perwatakan, disiplin, dan empati anak-anak. Dalam konteks generasi beta, wanita sebagai pendidik bertanggungjawab untuk mengajar kemahiran yang relevan dengan zaman digital, seperti literasi digital, pemikiran kritikal, dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Di samping itu, wanita yang menjadi pendidik juga memainkan peranan dalam mendidik generasi beta tentang keseimbangan antara dunia maya dan dunia nyata. Mereka membantu generasi muda mengatasi cabaran seperti ketagihan skrin, tekanan sosial dalam talian, dan kekurangan komunikasi bersemuka.
Dengan pendekatan yang penuh kasih sayang dan kesedaran terhadap persekitaran digital, wanita sebagai pendidik boleh membimbing generasi beta untuk menjadi individu yang seimbang, bijak teknologi, dan berakhlak mulia. Selain peranan wanita sebagai guru dalam memberikan kemahiran kritikal seperti pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan memupuk rasa empati dalam diri.
Wanita Sebagai Pemimpin Komuniti
Oleh kerana generasi ini membesar dalam situasi dan cabaran teknologi yang pesat, maka mereka memerlukan pendekatan kepimpinan yang unik. Keberadaan peranan wanita dilihat dapat memenuhi keperluan ini sekaliguskan melengkapkan ekosistem sokongan untuk ibu bapa, penjaga dan pendidik.
Kewujudan pemimpin dalam komuniti yang terdiri daripada wanita membolehkan golongan ini disantuni dengan lebih komprehensif memandangkan pemimpin wanita mempunyai daya kepimpinan yang lebih berfokus, dan menyeluruh terutama bagi menangani isu-isu kesejahteraan mental dikalangan generasi beta yang perlu diatasi dengan lemah lembut dan berhikmah.
Sebagai Teladan untuk Keseimbangan Hidup
Dunia kini tidak pernah kekurangan contoh tokoh wanita yang berjaya sebagai teladan dalam mencapai keseimbangan hidup, baik dari segi kerjaya mahupun kehidupan peribadi. Setanding dengan kaum lelaki, golongan wanita semakin dilihat mampu memberi inspirasi dan contoh kejayaan kepada generasi beta.
Di negara kita sendiri, ramai ikon wanita yang menyerlah dalam pelbagai bidang. Contohnya, Dato’ Nicol David, yang diiktiraf sebagai ratu squash dunia, menjadi lambang kegigihan dan disiplin dalam sukan.
Neelofa, yang berjaya membina empayar perniagaan sendiri, membuka mata masyarakat tentang potensi wanita dalam dunia keusahawanan. Tidak dilupakan, Dato’ Siti Nurhaliza, penghibur tersohor yang tetap teguh berada di puncak industri hiburan.
Bukti-bukti kejayaan wanita ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja berperanan besar dalam masyarakat, tetapi juga menjadi sumber inspirasi dan teladan yang baik untuk generasi akan datang. Golongan wanita terus memberi pengaruh penting, terutamanya kepada generasi beta yang bakal mewarisi dunia yang lebih mencabar.
Cabaran Menyantuni generasi beta
Seperti sedia maklum, generasi beta merupakan generasi yang sangat sensitif dengan persekitaran menjadikan mereka agak fragile dan dianggap tidak tahan lasak. Justeru bukanlah mudah bagi mereka untuk disantuni atau untuk difahami.
Generasi beta bakal membesar dalam dunia yang sangat berbeza iaitu dunia yang sarat dengan teknologi, media sosial, dan permainan dalam talian. Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh para wanita, terutamanya ibu, adalah pengaruh teknologi yang meluas.
Ketagihan skrin dan dunia maya boleh menjauhkan anak-anak dari realiti, menyebabkan mereka lebih fokus pada dunia digital berbanding interaksi sosial sebenar.
Ibu bapa, khususnya wanita, perlu memahami teknologi terkini agar mereka boleh membimbing anak-anak menggunakan teknologi dengan cara yang sihat dan seimbang.
Mengehadkan masa skrin, menetapkan peraturan penggunaan, serta menggalakkan aktiviti fizikal dan sosial adalah kunci utama dalam memastikan anak-anak tidak terperangkap dalam dunia digital yang keterlaluan.
Selain itu, tekanan sosial dan mental juga menjadi isu besar bagi generasi beta. Media sosial yang penuh dengan gambaran "kesempurnaan" sering kali menyebabkan perbandingan yang tidak sihat, mengakibatkan tekanan mental dan perasaan rendah diri.
Wanita berperanan besar dalam menyediakan ruang selamat untuk anak-anak mereka berkongsi perasaan dan emosi. Melalui komunikasi yang terbuka, anak-anak akan lebih mudah untuk meluahkan apa yang mereka rasakan, sekaligus mengurangkan kesan negatif tekanan sosial yang mereka hadapi.
Tidak ketinggalan, penyebaran maklumat palsu atau "fake news" juga menjadi ancaman besar dalam era digital ini. generasi beta yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat di internet perlu dibimbing agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.
Wanita sebagai pendidik boleh memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka untuk mengenal pasti maklumat yang sahih. Ini termasuk mengajar mereka cara memeriksa sumber berita, menggunakan laman web yang boleh dipercayai, dan berfikir secara kritikal sebelum menerima sebarang maklumat.
Dengan pendekatan yang bijak dan penuh kasih sayang, wanita mampu menjadi tunjang utama dalam membantu generasi beta mengharungi cabaran dunia digital, sekaligus membentuk generasi yang lebih berdaya saing dan seimbang.
Langkah Memperkasa Peranan Wanita Untuk Generasi Beta
1. Pendidikan Digital untuk Ibu Bapa
Untuk memastikan wanita dapat membimbing anak-anak mereka dalam dunia digital yang semakin kompleks, program pendidikan digital untuk ibu bapa sangat penting. Latihan ini dapat membantu ibu bapa memahami teknologi yang digunakan oleh generasi beta seperti aplikasi, media sosial, dan permainan dalam talian.
Dengan pengetahuan ini, wanita dapat mendidik anak-anak mereka tentang penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan beretika, serta membantu mereka memantau aktiviti dalam talian dengan lebih efektif.
2. Penglibatan Aktif dalam Komuniti
Wanita boleh memainkan peranan penting dengan terlibat secara aktif dalam komuniti mereka. Dengan menganjurkan bengkel, forum, atau kumpulan sokongan yang berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi oleh generasi beta.
Wanita boleh menjadi penggerak utama dalam meningkatkan kesedaran serta menyediakan ruang untuk perbincangan dan perkongsian pengalaman. Penglibatan ini bukan sahaja memberi sokongan kepada ibu bapa lain, tetapi juga membantu membentuk penyelesaian bersama dalam mendidik generasi baharu.
3. Kerjasama dengan Sekolah dan Institusi Pendidikan
Kerjasama antara wanita, pendidik, dan sekolah amat penting untuk memastikan anak-anak mendapat bimbingan yang konsisten dari semua pihak. Wanita boleh bekerjasama dengan guru dan institusi pendidikan untuk memastikan pendekatan yang seragam dalam membimbing anak-anak. Ini termasuk berbincang tentang isu teknologi, nilai moral, dan keseimbangan dalam penggunaan digital di rumah dan sekolah.
Dengan adanya usaha bersama, anak-anak akan lebih mudah memahami kepentingan keseimbangan antara dunia maya dan realiti serta membesar menjadi generasi yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
Langkah-langkah ini dapat membantu memperkasa peranan wanita dalam membentuk generasi beta yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan, di samping membina masyarakat yang lebih kuat dan saling menyokong.
Generasi beta adalah generasi masa depan dunia. Justeru, peranan wanita sangat penting dalam mencorakkan arah tuju mereka. Dalam dunia yang didorong oleh teknologi dan globalisasi, wanita tidak hanya menjadi penjaga dan pendidik, tetapi juga pemimpin yang mampu membimbing generasi ini ke arah yang lebih baik.
Dengan bimbingan yang tepat, wanita boleh membantu membina generasi yang bukan sahaja bijak teknologi malah berakhlak mulia, dan bersedia menghadapi cabaran global. Mereka juga dapat menjadi penggerak utama dalam memastikan generasi beta memiliki keseimbangan antara kecerdasan digital dan nilai-nilai kemanusiaan.
Oleh itu, penting untuk setiap wanita terus memperkasa diri mereka melalui pendidikan, penglibatan aktif dalam komuniti, dan kerjasama dengan institusi pendidikan.
Hanya dengan cara ini, wanita dapat menyantuni dan membimbing generasi masa depan ini dengan lebih berkesan, menjadikan mereka pemimpin dan individu yang beradab, berdaya saing, cekal, dan berwawasan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Fadilah Mat Nor
Pensyarah Jabatan Ekonomi & Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor
Junainah Idris
Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniaagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor