fb fb fb fb fb

Syaaban, memperbaiki catatan amal

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Bulan Syaaban sinonim dengan amalan bacaan Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib ketika malam Nisfu Syaaban. Amalan ini menjadi polemik tanpa noktah dalam kalangan agamawan; antara posisi amalan yang dikategorikan kepada bid’ah diterima atau ditolak. Sebahagian besar masyarakat menghidupkan amalan Nisfu Syaaban dengan amalan bacaan Yasin secara berjemaah dan sebahagian yang lain tidak mengamalkannya.

Di luar lingkaran perselisihan tersebut, asasnya terdapat hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang fakta bahawa catatan amalan manusia akan diangkat. Laporan aktiviti tahunan akan ditutup bagi setiap mukallaf pada bulan Syaaban dan lembaran baharu akan dibuka. Nabi Muhammad SAW rutin berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan lain. Ini dapat ditelusuri dalam teladan baginda. Daripada Aisyah RA berkata:

“Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, baginda mengemukakan alasan kenapa baginda cenderung berpuasa sunat yang banyak pada bulan Syaaban berbanding bulan lain. Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata:

Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Sya’ban?. Nabi SAW bersabda: Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. (HR al-Nasa’i)

Daripada hadis di atas, jelas disebut tentang catatan amal yang diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT. Nabi SAW sendiri yang dirinya suci daripada sebarang catatan maksiat dan dosa sangat mengharap agar catatan amal tahunan baginda ditutup dalam keadaan berpuasa. Selari dengan asas tersebut, catatan amal manusia termasuklah amalan yang baik dan buruk. Amalan yang baik membuahkan balasan pahala dan nikmat syurga, sebaliknya amalan yang buruk membuahkan balasan dosa dan azab neraka.

Dalam al-Qur’an, Allah SWT menegaskan dalam ayat 7-8, surah al-Zalzalah: Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Jadi tiap amalan manusia walau sekecil zarah juga mempunyai nilaian di sisi Allah SWT.

Dalam kehidupan harian, manusia tidak dapat lari dari dua hubungan utama, iaitu hablun minallah, yakni hubungan manusia dengan Allah SWT dan hablun minannas, yakni hubungan sesama manusia dan makhuk lain. Setiap hubungan hadir bersama dengan hak dan kewajipan. Dalam hubungan dengan Allah SWT, manusia ditaklifkan sebagai seorang hamba yang mana tugasnya adalah beribadah kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, ibadat dapat dibahagikan kepada dua, iaitu ibadat khusus dan ibadat umum.

Ibadat khusus merangkumi kewajipan untuk mendirikan solat fardu, berpuasa wajib pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji dan umrah ke Baitullah. Di samping ibadat yang wajib, manusia juga digalakkan dengan ibadat yang sunat seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dan seumpamanya. Dalam masa sama, setiap manusia dilarang untuk melanggari Batasan ditetapkan.

Manakala, dalam konteks ibadah umum, ia merangkumi amalan baik, dilakukan selari dengan tuntutan syarak dan ikhlas kerana Allah SWT. Ini termasuklah aktiviti harian manusia, mencari rezki dan nafkah dan seumpamanya. Selaras dengan itu, tiap manusia perlu memenuhi kewajipan yang difardukan dan menambah amalan-amalan sunat untuk memenuhi catatan amalan tahunannya. Sebaliknya menghindari setiap larangan yang bersifat dosa besar atau dosa kecil agar buku catatannya bersih daripada anasir dosa dan maksiat.

Sedangkan dalam hubungan sesama manusia dengan makhluk lain, ia dapat dilihat dalam taklifan manusia sebagai khalifah Allah SWT dalam membangunkan dan memakmurkan alam, sama ada alam yang sempit atau yang luas. Ia perlu dilakukan seiring dengan suruhan dan larangan Allah SWT. Dengan kata lain, ia dapat diterjemahkan dalam tafsiran muamalat.

Bagi peranan sebagai seorang khalifah dalam konteks mualamah bagi alam yang sempit, ia bermakna hubungan manusia dengan sesama manusia sekelilingnya. Ini termasuklah dunia rumahtangga, dunia kerjaya, dunia ilmu, dunia masyarakat dan sebagainya. Ia mencerminkan bagaimana seseorang bermuamalah dengan manusia yang lain di sekelilingnya dengan baik tanpa melakukan kezaliman, penipuan, kejahatan dan penganiayaan kepada orang lain. Semestinya sebagai khalifah, amanah ini dipikul dengan baik agar catatan amal juga baik.

Bagi peranan sebagai seorang khalifah yang bertanggungjawab dalam konteks muamalah bagi alam yang luas, ia bermakna hubungan manusia dengan alam sekeliling yang lebih besar. Ia termasuklah bagaimana manusia menjaga alam sekitarnya, tidak merosakkan, tidak mengeksploitasi berlebihan, tidak melakukan pencemaran alam, dan menjamin kelestarian alam yang terdapat berbagai makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuhan, sungai dan alam sekitar. Sebagai khalifah, tanggungjawab memakmurkan alam ini perlu dilaksanakan dengan sebaiknya agar tiap apa yang dilakukan dicatat sebagai baik.

Dengan itu, sebagai seorang khalifah bertanggungjawab dalam pembangunan dan kelestarian alam, manusia perlu menjaga hak sesama manusia dan hak dengan makhluk lain. Hak sesama manusia mesti dipenuhi agar catatan buku amal tahunan tidak ada kecacatan dan dosa. Ia merangkumi beberapa tindakan seperti melakukan perbuatan baik, membantu orang lain, menghubungkan silaturrahim di samping tidak melakukan ketidakadilan, pilih kasih, hasad dengki, sombong, mengumpat, batu api, fitnah dan seumpamanya.

Selari dengan itu, pastikanlah dalam jiwa kehambaan setiap manusia, terdapat jiwa seorang khalifah, dan sebaliknya dalam jiwa seorang khalifah, terdapat jiwa kehambaan agar catatan amal dipenuhi dengan amalan yang baik dan defisit daripada amalan buruk. Bulan Syaaban adalah bulan kelapan dalam kalender Hijrah, adalah bulan yang dimuliakan Allah dengan pensyariatan puasa sunat dan bulan diangkatnya catatan amal tahunan bagi setiap manusia.

Justeru, rebutlah peluang untuk menggandakan amalan baik dan hindarilah dosa dan maksiat agar buku catatan amal kita mempunyai skor yang baik khususnya semasa proses penutupan buku amal berlaku di samping lembaran baru dimulakan dengan catatan kebaikan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI