fb fb fb fb fb

Adab komunikasi semakin sirna, kurang hormat & sensitiviti?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era moden yang dipenuhi kemajuan teknologi, komunikasi menjadi penting dalam setiap hubungan, termasuk hubungan antara pelajar dan pensyarah di universiti.

Namun, isu komunikasi yang kurang berkesan semakin menimbulkan kebimbangan, terutama apabila kurangnya sensitiviti dan rasa hormat yang ketara dilihat dalam kalangan pelajar ketika berinteraksi dengan pensyarah. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan keharmonian malah boleh menimbulkan jurang emosi yang memberi kesan kepada kelancaran pembelajaran.

Pensyarah adalah individu yang memainkan peranan penting selepas guru sekolah dalam membentuk minda dan nilai-nilai pelajar. Dalam konteks universiti, hubungan yang positif dan saling menghormati antara pelajar dan pensyarah menjadi tunjang kepada proses pembelajaran yang berkesan. Namun, pengalaman menunjukkan bahawa semakin ramai pelajar masa kini kurang memberikan perhatian terhadap adab ketika berkomunikasi.

Sebagai contoh, dalam kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk tujuan penyampaian maklumat, tiada respons meskipun ucapan penghargaan daripada pelajar apabila pensyarah memuat naik maklumat penting. Tingkah laku ini bukan sahaja menampakkan sikap tidak endah, malah berupaya melukakan hati pensyarah yang telah berusaha keras  memastikan komunikasi berjalan dengan cara sepatutnya.

Kepentingan Komunikasi dalam Hubungan Pelajar - Pensyarah

Komunikasi bukan sekadar pertukaran maklumat, malah ia adalah alat penting yang membina kepercayaan, penghormatan dan persefahaman antara pelajar dan pensyarah. Dalam budaya masyarakat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai adab dan kesopanan, komunikasi beradab seharusnya menjadi suatu amalan. Namun, apabila pelajar gagal menunjukkan rasa hormat melalui komunikasi mereka, ia boleh mencerminkan krisis nilai yang lebih besar dalam kalangan generasi muda.

Komunikasi berkesan dan beradab membantu pelajar memahami keperluan pensyarah dan seterusnya memperkukuh hubungan yang harmoni. Sebaliknya, komunikasi yang hambar atau bersikap tidak peduli boleh mencetuskan salah faham, kekecewaan dan rasa kurang dihargai. Ia berupaya menjejaskan motivasi pensyarah untuk terus memberikan bimbingan secara ikhlas dan komited.

Komunikasi yang berkesan antara pensyarah dan pelajar secara tidak langsung meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Ia bukan sahaja membantu pelajar memahami isi kandungan subjek dengan lebih mendalam, malah membuka ruang untuk mereka mendapatkan bimbingan secara langsung. Pensyarah yang berkomunikasi secara positif dan bersifat terbuka mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Sebaliknya, komunikasi yang kurang baik boleh menyebabkan salah faham dan menjejaskan hubungan akademik yang seharusnya menjadi tunjang kejayaan pendidikan.

Komunikasi harmoni antara pensyarah dan pelajar membentuk asas kepercayaan dan rasa hormat-menghormati. Pelajar cenderung untuk lebih terbuka berkongsi cabaran akademik yang dihadapi. Melalui interaksi yang aktif, pensyarah dapat memberi panduan yang tepat, menyelesaikan masalah pelajar di samping membantu membentuk perkembangan insaniah mereka. Keupayaan pelajar untuk bertanya soalan, menyampaikan idea dengan jelas serta berdebat secara profesional adalah kemahiran yang sangat bernilai dalam dunia pekerjaan kelak.

Oleh itu, adalah penting untuk pensyarah dan pelajar sentiasa mengutamakan komunikasi yang sopan, jelas dan saling menghormati. Hanya melalui usaha bersama ini, keharmonian dalam hubungan akademik dapat dicapai, seterusnya melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Pengaruh Teknologi

Perkembangan teknologi, khususnya pengenalan aplikasi penghantaran maklumat seperti WhatsApp, mengubah cara pelajar dan pensyarah berkomunikasi. Meskipun ia memudahkan penyampaian maklumat, penggunaan bahasa yang terlalu santai, lambat memberikan maklum balas atau langsung tidak memberikan reaksi terhadap mesej daripada pensyarah adalah antara contoh bagaimana teknologi boleh merendahkan standard komunikasi beradab.

Kemudahan teknologi sepatutnya berupaya mempertingkattkan komunikasi berkesan dan seterusnya etika berkomunikasi dengan pensyarah. Dalam Islam, adab berkomunikasi diajarkan dengan jelas, termasuk nilai menghormati orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 86: "Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah menghitung segala sesuatu." Surah An-Nisa’, ayat 86.

Ayat ini mengajarkan prinsip asas dalam komunikasi iaitu saling menghormati dan memberikan respons yang baik terhadap usaha orang lain.

Implikasi Negatif Kekurangan Adab Komunikasi

Adab komunikasi merupakan asas kepada hubungan harmonis dalam masyarakat, organisasi mahupun institusi pendidikan. Namun, kekurangan adab komunikasi boleh membawa implikasi negatif yang serius, terutama dalam konteks hubungan sosial dan profesional. Dalam situasi harian, komunikasi yang tidak beradab, seperti penggunaan kata-kata kasar, nada suara tinggi atau sikap tidak menghormati, boleh mencetuskan salah faham dan konflik. Hal ini bukan sahaja merosakkan hubungan antara kedua belah pihak malahan berpotensi mencipta suasana tegang yang sukar diredakan.

Apabila pelajar tidak mengamalkan adab yang baik dalam komunikasi, implikasinya tidak hanya memberi kesan kepada hubungan interpersonal dengan pensyarah malah turut mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Pelajar yang kurang responsif terhadap mesej pensyarah mungkin ketinggalan maklumat penting berkaitan pembelajaran, tugasan atau peperiksaan. Sikap ‘acuh tidak acuh ‘ ini boleh menggugat imej mereka seterusnya mempengaruhi sokongan akademik yang mereka bakal terima.

Era digital juga turut menyumbang faktor kepada kekurangan adab komunikasi yang kini semakin ketara. Perkongsian mesej yang bersifat provokatif, sindiran atau fitnah tanpa segan silu dalam media sosial boleh mencetuskan ketegangan sosial. Sebagai contoh, penyebaran maklumat palsu atau komen negatif tanpa asas di platform dalam talian sama ada mesej tersebut ditujukan kepada pensyarah dan sebagainya boleh menyebabkan polarisasi pelajar, menghakis nilai etika dan merosakkan reputasi hubungan antara kedua belah pihak.

Kekurangan adab dalam komunikasi pelajar boleh menyebabkan rasa kecewa dan tekanan emosi terhadap pensyarah. Sebenarnya pensyarah suka dan merasa dihargai apabila pelajar sekurang-kurangnya memberikan ucapan “terima kasih” atau sekadar ‘emoji smiley‘ sebagai tanda bahawa mesej mereka diterima dan difahami. Jika tiada reaksi, memberikan petunjuk keliru sama ada adakah pelajar maklum, faham atau sebaliknya. Keadaan ini boleh menyebabkan pensyarah berkecil hati, yang mungkin membawa kepada hilangnya semangat untuk terus mendidik dengan sepenuh hati.

Meningkatkan Komunikasi Beradab

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam menangani masalah yang kelihatan kecil namun besar impaknya. Universiti boleh menganjurkan bengkel komunikasi berkesan sebagai sebahagian daripada agenda orientasi atau taaruf pelajar baharu. Pelajar perlu didedahkan kepada kepentingan adab berkomunikasi, termasuk penggunaan bahasa yang sopan, kepentingan memberi respons, tepati waktu dan menghargai usaha pensyarah.

Pensyarah juga boleh menggunakan pendekatan mendidik dan menegur pelajar secara berhemah sebelum memulakan kuliah. Sebagai contoh, pensyarah boleh berkongsi pengalaman peribadi mereka tentang bagaimana komunikasi yang baik membantu mereka membina hubungan profesional dan peribadi yang kukuh. Teguran yang berbentuk motivasi lebih berkesan berbanding teguran yang berbentuk kritikan langsung.

Budaya menghormati dan menghargai usaha orang lain perlu ditanam dalam setiap pelajar sejak dari sekolah. Pendidikan nilai dan moral harus diberikan penekanan bagi memastikan pelajar membesar dengan sikap yang baik seperti menghormati guru, pensyarah dan individu lain dalam kehidupan mereka. Usaha bersama melibatkan semua pihak ini dapat membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga unggul dalam nilai kemanusiaan.

Secara keseluruhannya, kekurangan adab komunikasi membawa kesan negatif yang meluas kepada hubungan interpersonal, keberkesanan organisasi dan keharmonian masyarakat. Justeru, penting untuk setiap individu mengamalkan nilai-nilai komunikasi yang beretika seperti sopan santun, empati dan rasa hormat dalam setiap interaksi mereka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

DR HAZLIN FALINA ROSLI
Dr. Hazlin Falina Rosli
Pensyarah Kanan/Timbalan Dekan
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI