fb fb fb fb fb

Belia harus bijak urus kewangan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Statistik kebankrapan di Malaysia menunjukkan bahawa belia merupakan kumpulan terbesar yang terjejas. Hampir 60% individu muflis berumur bawah 35 tahun. Situasi ini mencerminkan kelemahan golongan muda dalam menguruskan risiko kewangan.

Kebankrapan sering berlaku akibat pengaruh gaya hidup, penggunaan kad kredit yang tidak terkawal dan kekurangan celik kewangan. Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi juga keluarga dan ekonomi negara.

Penggunaan Kad Kredit Tidak Terkawal

Kad kredit kerap dianggap sebagai “wang mudah” oleh golongan muda. Penggunaan yang tidak dirancang, terutama untuk memenuhi kehendak mewah, menyebabkan belia terperangkap dalam hutang. Tambahan pula, kadar faedah tinggi sering tidak difahami sepenuhnya, mengakibatkan jumlah hutang yang meningkat.

Penggunaan kad kredit untuk membayar komitmen bulanan seperti sewa rumah atau perbelanjaan harian adalah sesuatu yang membimbangkan. Ini menunjukkan kelemahan dalam mengurus aliran tunai. Belia perlu memahami bahawa kad kredit adalah instrumen kewangan yang memerlukan disiplin tinggi dan perancangan terperinci.

Pinjaman Peribadi untuk Gaya Hidup

Ramai belia mengambil pinjaman peribadi untuk membeli gajet, kereta baharu atau membiayai kos majlis perkahwinan. Pinjaman ini meningkatkan beban kewangan bulanan, terutama apabila ia tidak diimbangi dengan pendapatan yang mencukupi.

Pinjaman mudah didapati melalui pelbagai institusi kewangan, tetapi belia sering gagal menilai kemampuan mereka untuk membuat pembayaran balik. Ini menyebabkan mereka terperangkap dalam lingkaran hutang. Sebelum membuat pinjaman, belia perlu menilai keperluan sebenar dan kesan jangka panjangnya.

Kurang Pengetahuan Pengurusan Risiko

Kebanyakan belia kurang memahami kepentingan menyediakan dana kecemasan atau mengambil perlindungan insurans. Situasi luar jangka seperti kehilangan pekerjaan atau pembiayaan kos perubatan luar jangka sering menjadi punca mereka berhutang. Pendidikan kewangan adalah kunci bagi mengelakkan masalah ini.

Pengurusan risiko melibatkan persediaan menghadapi kemungkinan buruk dalam kewangan. Dengan perancangan yang baik, belia boleh melindungi diri daripada tekanan kewangan. Ini termasuk menyediakan simpanan kecemasan dan memahami keperluan insurans perubatan serta insurans hayat.

Kepentingan Literasi Kewangan dalam Islam

Islam menekankan pengurusan kewangan. Firman Allah SWT: "...dan janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan..." (Surah Al-Isra’: 27)

Ayat ini mengingatkan kita tentang bahaya pembaziran dan pentingnya bersikap cermat dalam perbelanjaan. Celik kewangan dalam Islam bukan sekadar mengelakkan pembaziran tetapi juga melibatkan perancangan untuk masa depan.

Prinsip kewangan Islam menggalakkan pengurusan hutang yang bijak, pelaburan dalam instrumen yang patuh syariah dan penyediaan dana kecemasan. Ini membolehkan individu menguruskan rezeki mereka dengan cara yang diredai Allah SWT.

Langkah Bijak Mengelak Bankrap

Rekodkan Perbelanjaan Harian
Langkah pertama ke arah pengurusan kewangan yang baik adalah dengan merekodkan setiap pendapatan dan perbelanjaan setiap bulan. Dengan merekodkan perbelanjaan, belia dapat mengenal pasti kebocoran wang yang berlaku. Ini membantu mereka untuk membuat penyesuaian dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Tetapkan Belanjawan Bulanan
Belia disarankan untuk mengamalkan kaedah 50/30/20 untuk belanjawan. Bahagikan pendapatan kepada tiga kategori: 50% untuk keperluan asas, 30% untuk kehendak dan 20% untuk simpanan atau pelaburan. Rancangan belanjawan yang jelas memastikan belia dapat mengawal perbelanjaan mereka dengan berkesan.

Elak Hutang Tidak Perlu
Hutang adalah beban kewangan yang boleh menjadi ancaman besar jika tidak diurus dengan baik. Belia perlu mengelakkan hutang yang tidak perlu, seperti membeli barangan mewah secara ansuran. Jika memerlukan belia untuk berhutang, pastikan ia adalah untuk keperluan penting dan sesuai dengan kemampuan membuat pembayaran balik.

Cipta Dana Kecemasan
Dana kecemasan adalah perlindungan terbaik bagi menghadapi situasi luar jangka. Belia disarankan agar belajar menyimpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji sebagai dana kecemasan. Dana ini boleh digunakan ketika berhadapan dengan masalah kehilangan pekerjaan, kos perubatan tinggi atau perbelanjaan luar kawalan.

Mulakan Pelaburan Awal
Pelaburan adalah cara terbaik untuk membina kekayaan dalam jangka panjang. Belia boleh memulakan pelaburan kecil dalam instrumen seperti Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB), Tabung Haji atau dana unit amanah. Penting untuk memastikan pelaburan adalah patuh syariah dan sesuai dengan tahap risiko individu.

Pendidikan Kewangan untuk Generasi Muda
Pendidikan kewangan perlu dimulakan seawal mungkin. Mata pelajaran seperti "Asas Pengurusan Kewangan" boleh dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar. Ini membolehkan mereka memahami asas pengurusan kewangan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kempen celik kewangan seperti dianjurkan Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu diperkasakan. Program-program ini boleh membantu belia memahami konsep kewangan seperti pengurusan hutang, simpanan dan pelaburan. Pendidikan kewangan adalah pelaburan jangka panjang untuk generasi muda.

Masa Depan Lebih Stabil
Masalah kebankrapan dalam kalangan belia bukanlah isu yang tidak dapat diatasi. Dengan meningkatkan literasi kewangan dan mengamalkan prinsip pengurusan risiko, belia boleh mengurangkan risiko kebankrapan dan membina masa depan yang lebih cerah.

Firman Allah SWT: "...dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan..." (Surah Al-Maidah: 2)

Ayat ini mengingatkan kita untuk saling membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan bersama mengelak daripada perkara yang mengundang kepada kemudaratan.

Masa depan kewangan bergantung kepada keputusan hari ini. Rekodkan perbelanjaan, rancang belanjawan dan mulai melabur demi masa depan. Tindakan kecil hari ini akan membawa kepada kestabilan kewangan jangka panjang. Masa depan yang cerah bermula dengan langkah bijak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

HANARISMA IDAWATI
Hanarisma Idawati Abd Hanan
Pelajar PhD Perakaunan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI