fb fb fb fb fb

Ketepatan fakta dalam tesis penting untuk kredibiliti akademik?

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Setiap pelajar sarjana dan kedoktoran adalah wajib menulis tesis bagi melayakkan pelajar tersebut dianugerah ijazah sarjana dan kedoktoran. Tesis adalah satu penulisan akademik yang mengemukakan penyelidikan, hujah, dan penemuan berdasarkan kajian mendalam mengenai sesuatu topik.

Tesis merupakan sumbangan penting kepada ilmu pengetahuan kerana ia memperluaskan teori dan konsep sedia ada, mengukuhkan pemahaman dengan menambah dimensi baharu, serta mengisi jurang dalam kajian terdahulu melalui analisis mendalam dan data relevan. Ia juga menyediakan perspektif inovatif yang mencabar pemikiran tradisional untuk membuka ruang perbincangan intelektual yang lebih luas, mendorong perkembangan ilmu dinamik bagi menyelesaikan masalah dalam pelbagai bidang.

Selain itu, tesis juga memberi aplikasi praktikal yang menyumbang kepada penyelesaian masalah dalam industri dan masyarakat dengan memberi impak langsung, di mana dapatan menjadi panduan kepada pembuat dasar dan pengamal untuk membuat keputusan bijak berasaskan bukti, meningkatkan keberkesanan amalan, memastikan sumber digunakan optimum, menjadikan tesis bukan sahaja sumbangan akademik tetapi juga pemangkin perubahan positif.

Sebelum sesebuah tesis diluluskan oleh pihak universiti, ia melalui beberapa peringkat utama dimana peringkat akhir tesis dibentangkan dalam sesi dipanggil viva voce di hadapan panel pemeriksa (dalaman dan luar) untuk dinilai sama ada ia memenuhi standard akademik.

Jika terdapat ulasan atau cadangan, pelajar perlu membuat pembetulan dalam tempoh ditetapkan sebelum tesis disahkan oleh penyelia dan pemeriksa untuk kelulusan akhir oleh fakulti atau jawatankuasa siswazah. Akhir sekali, tesis yang diluluskan dihantar dalam format rasmi (cetakan dan digital), direkodkan dalam repositori akademik, dan pelajar layak menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen.

Jawatankuasa universiti dan para penilai akan menilai keaslian dan sumbangan penyelidikan yang memberikan nilai tambah kepada bidang ilmu melalui inovasi, teori baharu, atau penemuan signifikan yang mengisi jurang dalam literatur sedia ada, serta kejelasan objektif dan soalan penyelidikan yang relevan dengan permasalahan kajian.

Penulisan daripada kajian-kajian lepas dinilai untuk memastikan ia dilakukan secara kritis dan komprehensif dengan menggunakan sumber-sumber terkini, manakala metodologi penyelidikan dinilai untuk memastikan kaedah yang digunakan sesuai dan sistematik dengan justifikasi yang kukuh. Analisis data menjadi fokus utama untuk memastikan penggunaan kaedah yang sesuai, interpretasi logik, dan konsisten.

Struktur tesis perlu disusun jelas mengikut format, menggunakan bahasa akademik baik, serta rujukan gaya yang ditetapkan. Kepatuhan etika juga dinilai untuk memastikan penyelidikan bebas plagiat atau pelanggaran, termasuk mendapat kelulusan jika diperlukan.

Pertahanan viva voce dinilai melalui keupayaan pelajar membela hujah dengan yakin, memberi jawapan mendalam, dan mengaitkan penyelidikan dengan isu semasa. Jika semua kriteria dipenuhi dan pembetulan dilakukan, tesis akan diluluskan untuk ijazah.

Secara prinsipnya, sesebuah tesis yang telah diluluskan oleh universiti sepatutnya bebas daripada plagiat dan mengandungi fakta yang telah disahkan kebenarannya. Fakta dalam tesis disemak berdasarkan sumber akademik yang sahih seperti jurnal berindeks, buku ilmiah, dan laporan rasmi, di mana pemeriksa akan memastikan bahawa data yang digunakan adalah sahih dan analisisnya berasaskan metodologi yang betul. Ringkasnya, tesis yang diluluskan telah melalui proses penilaian akademik yang ketat.

Sekiranya tesis mengandungi fakta salah, kesannya berbeza bergantung pada tahap kesilapan dan impaknya terhadap penyelidikan. Jika kesilapan dikesan sebelum kelulusan, pemeriksa boleh meminta pembetulan terhadap tesis sebelum ia diluluskan, tetapi jika kesalahan fakta terlalu serius sehingga menjejaskan keseluruhan kajian, calon boleh gagal dalam sesi viva voce.

Calon perlu menjalankan penyelidikan tambahan atau mengulang kajian, dan jika kesilapan hanya dikesan selepas ijazah dianugerahkan, universiti boleh mengambil tindakan serius seperti menarik balik ijazah atau mengenakan sekatan akademik terhadap calon.

Tesis yang mengandungi fakta salah tidak hanya mencemarkan reputasi penulis tetapi juga institusi yang meluluskan tesis tersebut, kerana ketidakyakinan terhadap keabsahan kajian boleh menyebabkan penyelidik lain ragu terhadap keseluruhan bidang penyelidikan dan sumbangan intelektual yang dikemukakan.

Fakta salah dalam tesis juga boleh membawa kepada penyebaran maklumat tidak tepat dalam kajian lain yang merujuk tesis tersebut, dan jika tesis memberi cadangan dasar atau amalan industri berdasarkan fakta salah, ia boleh menyebabkan keputusan yang tidak tepat dalam aplikasi praktikal dunia sebenar.

Jika kesilapan fakta dalam tesis disebabkan oleh kecuaian serius, pemalsuan data, atau penipuan akademik, ia boleh dianggap sebagai salah laku penyelidikan yang melibatkan pelanggaran etika akademik dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Selain itu, jika tesis digunakan sebagai rujukan dalam dasar atau keputusan penting, kesilapan fakta juga boleh membawa implikasi undang-undang, terutamanya dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, atau kewangan, di mana kesan daripada maklumat yang tidak tepat boleh menyebabkan akibat serius.

Kesimpulannya, penting bagi pelajar, penyelia, dan pemeriksa untuk memastikan ketepatan fakta dalam tesis bagi mengelakkan kesan negatif kepada individu, institusi, dan bidang ilmu secara keseluruhan.

Kesahan fakta dalam tesis adalah tanggungjawab bersama beberapa pihak utama, termasuk pelajar sebagai penulis tesis yang bertanggungjawab memastikan setiap fakta yang dimasukkan adalah tepat, sahih, dan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah, Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI