fb fb fb fb fb

Berhati-hati guna produk herba kesihatan

Foto hiasan/Google

SAUDARA PENGARANG

Kesihatan adalah aset paling berharga dalam kehidupan manusia. Seiring dengan keinginan untuk meningkatkan kesejahteraan diri, banyak individu mengambil jalan pintas dengan mengkonsumsi produk herba kesihatan yang sering kali dikaitkan dengan pelbagai kebaikan kesihatan tanpa mempertimbangkan kesahihannya.

Dalam konteks ini, masyarakat harus lebih bijak dan berhati-hati untuk memastikan setiap produk yang digunakan adalah selamat, berkesan dan bebas daripada penipuan.

Malaysia adalah negara yang kaya dengan tumbuhan herba menyaksikan perkembangan pesat industri produk herba. Pelbagai produk berasaskan tumbuhan ubatan diiklankan sebagai pilihan penyelesaian kepada pelbagai masalah kesihatan.

Terdapat produk yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, malah mengatasi masalah kesihatan kompleks dengan hanya satu produk. Dakwaan yang kelihatan ‘ajaib’ ini sering kali menarik perhatian pengguna yang menginginkan penyelesaian segera.

Namun, ada produk yang tidak disokong oleh kajian saintifik yang kukuh. Sebaliknya, menggunakan hasil kajian umum terhadap bahan-bahan tertentu tanpa menjalankan penyelidikan khusus ke atas produk yang dijual.

Sebagai contoh, daun misai kucing dikatakan mempunyai kesan terhadap penyakit kencing manis, tetapi tidak semua produk yang mengandungi daun ini memberikan kesan sama. Ini bergantung kepada faktor seperti lokasi penanaman, usia tumbuhan, dan pemprosesan yang mempengaruhi keberkesanan produk itu.

Risiko Penyalahgunaan dan Kekeliruan Identiti

Antara isu lain yang sering timbul adalah kekeliruan dalam penggunaan nama dan identiti tumbuhan. Sebagai contoh, kunyit hitam dan halia hitam sering digunakan secara salah dalam pelabelan produk.

Terdapat produk dalam pasaran dilabelkan sebagai kopi kunyit hitam tetapi sebenarnya mengandungi halia hitam. Kekeliruan ini bukan sahaja mengelirukan pengguna, tetapi juga berpotensi mendatangkan bahaya kerana kedua-dua tumbuhan ini mempunyai komposisi kimia dan manfaat kesihatan erbeza.

Kunyit Hitam mengandungi metabolit seperti kamfor, germacrone, dan eucalyptol yang dikaitkan dengan sifat antioksidan dan anti-radang. Sebaliknya, Halia Hitam lebih dikenali dengan kandungan flavonoid seperti 5,7-dimethoxyflavone yang dikaitkan dengan kesan anti-obesiti dan pelindung jantung.

Jika pengguna mengambil produk yang salah untuk tujuan tertentu, ia bukan sahaja tidak memberikan manfaat tetapi juga boleh membawa kepada kesan sampingan lain. Jadi, penyelidikan saintifik memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan produk herba.

Terdapat kajian oleh penyelidik di Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi, Universiti Putra Malaysia bersama syarikat Berkat Curcuma Caesia Sdn. Bhd. berjaya membezakan secara saintifik antara kunyit hitam dan halia hitam.

Hasilnya, terdapt perbezaan antara kedua-dua herba itu seperti ciri-ciri fizikal, jalur ungu pada daun kunyit hitam dan bau kamfor pada rizomnya yang tiada pada halia hitam.

Pendekatan saintifik seperti ini penting untuk menetapkan standard kualiti dan ketelusan dalam industri produk herba. Pengeluar harus memastikan setiap produk mereka melalui proses pengesahan identiti tumbuhan, ujian toksisiti, dan keberkesanan sebelum dipasarkan.

Tindakan ini bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi juga meningkatkan kredibiliti produk tempatan di pasaran global.

Masyarakat mempunyai pilihan untuk mengambil produk herba yang berada di pasaran, namun terdapat beberapa panduan asas yang boleh diambil untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan produk herba yang digunakan seperti berikut:

  1. Semak Label Produk:
    Pastikan label produk mengandungi maklumat lengkap termasuk nama saintifik tumbuhan, bahan aktif, dan pengesahan pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  1. Cari Bukti Saintifik:
    Produk yang mendakwa manfaat kesihatan tertentu harus disokong oleh kajian saintifik yang diterbitkan. Elakkan produk dengan dakwaan yang terlalu baik untuk dipercayai tanpa bukti kukuh.
  1. Berhati-hati Tawaran Harga Murah:
    Produk herba berkualiti biasanya memerlukan kos yang tinggi untuk penyelidikan dan pengeluaran. Produk yang terlalu murah mungkin tidak menggunakan bahan yang berkualiti atau selamat.
  1. Rujuk Pakar Kesihatan:
    Sebelum mengambil sebarang produk herba, rujuk kepada doktor atau pakar kesihatan terutamanya jika anda mempunyai penyakit kronik atau sedang mengambil ubat lain.
  1. Kenali Risiko:
    Fahami bahawa herba juga mengandungi bahan kimia aktif yang boleh mendatangkan kesan sampingan. Penggunaan yang berlebihan atau salah boleh membahayakan kesihatan.

Herba sememangnya memiliki potensi besar sebagai ubatan tradisional, tetapi ia perlu melalui kajian saintifik yang teliti untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya. Jadi, kesedaran dan kebijaksanaan masyarakat adalah kunci utama untuk mengelakkan penipuan dan risiko kesihatan daripada konsumsi produk herba.

Dengan mengambil langkah berhati-hati dan mengutamakan maklumat yang sahih, masyarakat dapat memanfaatkan khazanah herba tempatan tanpa mengorbankan keselamatan dan kesihatan mereka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF CHM DR INTAN SAFINAR ISMAIL
Prof. ChM. Dr. Intan Safinar Ismail
Penyelidik Bersama
Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi
Universiti Putra Malaysia (UPM)|
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI