SAUDARA PENGARANG
Mendengar radio ketika dalam perjalanan ke tempat kerja boleh menjadi ‘kuliah lebuh raya’ yang menginsafkan, malah suatu refleksi kehidupan harian. Apatah lagi bila mendengar pengakuan seorang suami yang pernah berlaku curang dan sedang melalui saat-saat sukar memperbaiki hubungan dengan isterinya turut meruntun jiwa penulis sebagai pendengar.
Walaupun telah memutuskan hubungan dengan teman wanitanya namun konflik yang berlaku semakin kronik apabila si isteri memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah syariah. Sehinggakan pemanggil (suami) mengalami kemurungan termasuk berniat untuk membunuh diri. Laporan dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bagi tahun 2023 menunjukkan curang adalah antara penyumbang utama kepada perceraian pasangan Islam di Malaysia.KELUARGA
Dalam kalangan pasangan berusia 35 hingga 39 tahun, 56.2 peratus lelaki menyatakan mereka bercerai kerana tiada persefahaman dengan pasangan, diikuti faktor pasangan curang (11.8 peratus) dan campur tangan mertua atau ipar-duai (10 peratus). Dalam konteks ini, pasangan suami isteri perlu faham bahawa curang bukanlah suatu eksperimen atau perkara remeh. Kefahaman terhadap perundangan keluarga perlu menjadi perhatian.
Fasakh dari sudut perundangan Islam
Islam memandang serius terhadap hubungan suami isteri sebagai platform untuk survival ummah dan nilai ibadah di sisi Allah SWT. Bagaimanapun Islam turut menitikberatkan soal kesejahteraan dan keharmonian dalam hubungan sesama insan termasuk hubungan suami isteri. Islam turut mengecam sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan hubungan suami isteri oleh salah seorang pasangan sehingga membawa kemudaratan sama ada secara fizikal atau mental.
Ulama fiqh melihat kemudaratan berterusan yang dihadapi oleh mana-mana pasangan terutama isteri boleh menjadi alasan untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh. Walaupun Islam meletakkan suami sebagai pemegang kuasa talak (cerai), tidak bermakna isteri tidak mempunyai hak untuk menyelamatkan diri daripada ikatan perkahwinan yang memudaratkan.
Fasakh menjadi salah satu jalan keluar untuk melepaskan diri dari ikatan perkahwinan secara perintah yang dikeluarkan oleh hakim mahkamah syariah (tanpa lafaz talak suami) atas asas ‘darar’ atau kemudaratan yang berterusan. Bagaimanapun, kemudaratan tersebut hendaklah dibuktikan secara jelas melalui apa sahaja kaedah pembuktian (keterangan saksi atau keterangan pakar atau keterangan dokumen) bagi meyakinkan hakim bahawa kemudaratan yang maksimum telah berlaku supaya tuntutan fasakh boleh diluluskan oleh mahkamah.
Undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukkan hak suami atau isteri untuk menuntut fasakh atas alasan-alasan tertentu yang secara umumnya mengambil kira kemudaratan (darar) yang dihadapi oleh pasangan kesan perbuatan-perbuatan tertentu daripada pasangannya. Sebagai contoh, seksyen 53 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 membolehkan tuntutan fasakh melibatkan isu suami hilang atau meninggalkan isteri lebih dari setahun, kecuaian suami menunaikan tanggungjawab nafkah zahir atau batin mahupun pasangan berada dalam penjara.
Faktor kesihatan seperti penyakit yang boleh menjejaskan hubungan sebagai suami isteri seperti masalah alat kelamin, penyakit mental dan penyakit kusta misalnya juga terpakai dalam tuntutan ini. Apatah lagi perkahwinan paksa dan wujudnya penganiayaan terhadap suami atau isteri sama ada secara fizikal atau mental yang boleh dibuktikan. Peruntukan ini turut menyatakan maksud penganiayaan termasuklah ketidakadilan dalam poligami, menyalahgunakan harta isteri dan menghalang isteri menunaikan tanggunjawab sebagai orang Islam.
Tuntutan Fasakh Kerana Curang
Dalam undang-undang keluarga Islam, perlakuan curang adalah termasuk dalam terma ‘berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak’ dan sebarang perilaku yang memudaratkan isteri akibat dari perbuatan curang suami sehingga mengabaikan tanggungjawab utama sebagai suami dan ketua keluarga.
Maka curang boleh menjadi sebab tuntutan fasakh menurut undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Persoalannya adakah semata-mata dengan alasan curang mahkamah syariah akan terus membenarkan atau meluluskan tuntutan tersebut?
Perlu difahami dalam konteks sistem kehakiman Islam, hakim hanya akan membuatkan keputusan atau perintah selepas berpuas hati dengan hujah dan keterangan/pembuktian pihak yang menuntut. Maka mana-mana isteri yang berhasrat untuk memfailkan tuntutan fasakh dan mengharapkan kemenangan di pihaknya, dia atau melalui peguamnya perlu memastikan keterangan yang dikemukakan betul-betul kukuh.
Perlu dibuktikan kecurangan suami benar-benar wujud dan telah memudaratkan kehidupannya, menyeksa atau menganiayai kesejahteraan hidupnya secara fizikal dan mental serta bukti-bukti sokongan pakar melalui mana-mana laporan bertulis seperti laporan pakar psikiatri ataupun laporan polis sekiranya berlaku penganiayaan fizikal.
Oleh yang demikian, tuntutan fasakh boleh dianggap sebagai satu tuntutan yang sangat memerlukan pembuktian yang sangat kukuh kerana seseorang hakim tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan apa-apa permohonan berkaitan sehingga beliau betul-betul berpuashati bahawa isu curang yang dikemukakan betul-betul terbukti menyiksa jiwa dan raga seorang isteri.
Sekiranya penganiayaan atau kemudaratan tersebut berjaya dibuktikan maka tuntutan fasakh boleh diluluskan dengan syarat si isteri mesti berani dan kuat mendapatkan bantuan dari mana-mana saluran yang boleh memberi nasihat dan khidmat runding cara secara sah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Azizah Mohd Rapini
Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam
Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Islam Selangor