fb fb fb fb fb

Taat isteri yang bersyarat

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Dalam Islam, ketaatan seorang isteri kepada suami adalah bersyarat, bukan mutlak. Isteri wajib mentaati perintah suami selagi ia tidak bercanggah dengan syarak dan sesuai dengan kemampuannya.

Sebaliknya, apabila suami meminta sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama atau melibatkan maksiat, isteri tidak wajib mematuhi perintah tersebut dan tidak dianggap berdosa jika menolak. Namun, tidak semua memahami konsep ini dengan tepat. Salah faham terhadap ketaatan sering berlaku, baik di pihak suami mahupun isteri.

Sebahagian suami beranggapan ketaatan isteri adalah mutlak tanpa mengambil kira syarat dan batasan yang ditetapkan dalam Islam. Mereka mudah melabelkan isteri yang tidak menurut perintah sebagai derhaka.

Ada isteri pula yang takut dianggap nusyuz walaupun berada dalam situasi yang membahayakan keselamatan diri. Ada isteri yang terus bertahan dalam hubungan berisiko tinggi seperti penderaan fizikal, emosi dan mental.

Ketakutan dilabel sebagai nusyuz menyebabkan mereka enggan bertindak menyelamatkan diri walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan. Dalam situasi ini, pemahaman yang salah terhadap konsep taat hanya akan menambahkan penderitaan dan menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Dalam hubungan perkahwinan, kedua-dua pihak perlu memahami bahawa perkahwinan bertujuan membawa manfaat bersama. Suami sebagai pemimpin rumah tangga bukan sekadar memiliki hak untuk ditaati tetapi juga memikul tanggungjawab besar untuk melindungi serta menjaga kebajikan isteri dan keluarga.

Sekiranya berlaku keganasan rumah tangga, isteri tidak perlu takut untuk meminta bantuan pihak luar. Langkah-langkah seperti memaklumkan ahli keluarga, membuat laporan polis atau mendapatkan pemeriksaan di hospital adalah tindakan wajar untuk melindungi diri dan mengumpul bukti penderaan.

Perasaan bimbang kerana akan memalukan pasangan, takut kepada stigma masyarakat atau risau terhadap masa depan anak-anak perlu diketepikan buat sementara. Apa yang paling utama adalah memastikan keselamatan diri terlebih dahulu sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Rasulullah SAW Sebagai Teladan

Rasulullah SAW merupakan teladan terbaik dalam memimpin rumah tangga. Baginda tidak pernah menggunakan kekerasan untuk memaksa isteri mentaatinya, apatah lagi melabel mereka sebagai derhaka atau nusyuz.

Meskipun kadangkala isteri menyakiti baginda melalui perkataan atau perbuatan, Rasulullah SAW tetap mengutamakan kasih sayang, empati dan kebijaksanaan dalam menghadapi situasi tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya nilai-nilai ini dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Ketaatan isteri kepada suami tetap menjadi kewajiban tetapi ia perlu dijalankan dalam suasana tolak ansur dan saling menghormati.

Suami tidak boleh menyalahgunakan kedudukannya sebagai pemimpin untuk memaksa isteri memenuhi segala kehendaknya tanpa mengambil kira batas syarak dan kemampuan isteri. Isteri pula harus memahami ketaatan ini sebagai satu tanggungjawab yang membawa kebaikan bersama.

Maka mendalami ilmu rumah tangga melalui kursus, bahan bacaan atau khidmat nasihat pakar adalah langkah yang sangat digalakkan. Perkahwinan yang harmoni bukan hanya datang daripada ketaatan tetapi juga usaha bersama untuk saling memahami, menghormati dan melindungi. Dengan ini, rumah tangga yang bahagia dan diredai Allah SWT dapat dibina.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NUR FAEZAH MUSTHAPAR

Nur Faezah Musthapar
Penyelidik, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM