fb fb fb fb fb

Baik & buruk ikan ‘alien’

Foto hiasan RTM

Ikan alien sekilas pandang

“Diberi betis, nak peha, kini mereka membanjiri sistem sungai dan tasik pula!”

Itulah fenomena yang berlaku di sungai dan tasik seluruh negara, yang sedang dibanjiri “ikan alien atau ikan pendatang”. Ramai kalangan pencinta alam, selain persatuan dan kumpulan persendirian menyatakan kebimbangan terhadap kebanjiran ikan alien ini.

Contohnya seperti ikan keli Afrika, ikan bandaraya, ikan baung ekor merah, ikan peacock bass dan banyak lagi. Kesemua ikan alien berasal dari negara luar, dan bukannya ikan tempatan atau asli dari Malaysia.

Kebanyakannya di import dari negara seperti Amerika Selatan, Afrika, dan Thailand, sebagai ikan hiasan, dan ada juga yang di bawa masuk sebagai ikan ternakan akuakultur. 

Masalah berlaku apabila ikan hiasan membesar dan pemilik tidak lagi mahu membelanya. Maka, ikan hiasan ini dilepaskan ke dalam parit, sungai, dan tasik. Begitu juga dengan ikan ternakan akuakultur, apabila berlaku banjir, kolam serta sangkar ternakan melimpah keluar dan pecah. Beribu ikan alien terlepas ke perairan negara.

Kesannya amatlah dahsyat. Di sesetengah tempat, hanya ikan alien sahaja yang boleh ditemui. Ikan tempatan atau ikan asli, sudah tidak lagi dijumpai. Ikan tempatan atau ikan asli ini termasuklah ikan lapam sungai, ikan haruan, ikan toman, ikan keli kampung, dan banyak lagi. Ikan ikan asli kini diancam kepupusan!

Kajian pemancing terhadap ikan alien

“Apakah pendapat pemancing tentang ikan alien? Ada spesies yang menjadi kegemaran mereka?”

Satu kajian telah dijalankan untuk mengukur tahap “kegemaran pemancing” terhadap 16 spesies ikan alien. Seramai 132 pemancing telah menjawab soalan kajian ini.

Enam belas ikan alien ini termasuklah: ikan keli Afrika, ikan tilapia merah, ikan tilapia hitam, ikan mayan, ikan kap atau koi, ikan peacock bass butterfly, ikan peacock bass temensis, ikan patin Siam, ikan patin Chaophraya, ikan bandaraya, ikan arapaima, ikan largemouth bass, ikan baung ekor merah, ikan pacu, ikan rohu, dan ikan catla.  

Tiga respon dapat dikumpulkan, iaitu pertama, ikan alien yang “tidak digemari” pemancing adalah ikan bandaraya. Kedua, ikan alien “sederhana digemari” pemancing adalah ikan mayan, ikan koi, ikan pacu, ikan rohu, dan ikan catla. Selebihnya, ikan-ikan tersebut temasuk dalam respon ketiga, iaitu menjadi “kegemaran pemancing”.

Malah dalam banyak-banyak ikan alien ini, tiga spesies kelihatan penting bagi pemancing iaitu ikan tilapia, ikan peacock bass, dan ikan patin (termasuklah patin Siam dan patin Chaophraya).

Mungkin ikan-ikan ini penting kerana daya “melawan” atau “tarikan” mereka. Selain itu, mungkin juga kerana “nilai” ikan tersebut, iaitu mudah untuk dijual dan enak untuk dijadikan lauk santapan malam.

Justeru, walaupun dikatakan ikan alien banyak mendatangkan mudarat kepada ekosistem, ikan-ikan ini tetap mendapat tempat serta mempunyai kepentingan kepada pemancing.

Pengurusan berkesan ikan alien

Apa yang boleh dilakukan, jika ada pemancing yang suka dengan ikan alien?”

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membentuk pengetahuan dan kesedaran jitu tentang “ikan alien” dalam kalangan rakyat.

Lebih banyak kempen dan program kesedaran perlu dilaksanakan. Ini boleh dilaksanakan oleh agensi yang mengurus sumber perikanan, universiti tempatan, selain pihak NGO dan pihak berkepentingan yang lain.

Selain itu, pengetahuan tentang kewujudan ikan alien ini masih rendah dalam kalangan rakyat. Apa spesiesnya? Apa mudaratnya? Apa yang perlu dilakukan apabila tertangkap ikan alien?

Strategi mampan serta peruntukan besar diperlukan. Ini terutama dalam menjalankan program, aktiviti serta kempen bagi mengeluarkan ikan alien dari perairan negara.

Sebagai contoh, kempen yang dijalankan oleh agensi kerajaan baru-baru ini, dalam menggalakkan tangkapan “ikan bandaraya” dan “ikan baung ekor merah”, dengan membayar sejumlah bayaran bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap, haruslah dipuji.

Kempen sebegini harus diperluaskan ke seluruh negara serta melibatkan spesies ikan alien yang lain juga.

Selain itu, Amalan “Tangkap-dan-Simpan” (atau “Catch-and-Keep”) boleh dijadikan sebagai solusi bagi kebanjiran ikan alien. Ini terutamanya dalam kalangan pemancing yang memancing di perairan semulajadi negara. Mereka perlu tangkap dan simpan ikan alien yang telah dipancing. 

Kawalan import ikan alien juga perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Kebenaran hanya diberikan kepada pengimport yang benar-benar mematuhi piawaian biosekuriti yang telah ditetapkan. 

Ini kerana, jika “larangan terus” dikuatkuasakan, perkara ini pasti akan mengganggu kerancakan industri perikanan rekreasi di Malaysia. 

Sebagai contoh, “pemancing buruan besar” yang memburu ikan bersaiz mega, seperti ikan arapaima atau ikan patin chaophraya, keluar memancing semata-mata untuk memburu ikan alien ini. Perbelanjaan memancing mereka menyumbang kepada ekonomi setempat sekali gus kepada industri perikanan rekreasi negara. 

Maka, langkah proaktif dalam mengawal kebanjiran ikan alien, serta pengurusan berkesan, haruslah diperkemas dan diperketatkan. Lebih banyak kajian bersifat ilmiah perlu dijalankan, terutama dalam mendapatkan “persepsi” serta “kepentingan ikan alien” dalam kalangan pengguna (termasuk pemancing).

Umpama menarik rambut di dalam tepung, langkah kawalan dan penyelesaian perlulah di lakukan dengan cekap dan bijak, serta dalam kadar yang segera. Kebanjiran ikan alien masih boleh di rawat, sebelum semuanya terlambat.

PENULIS DR. IZHARUDDIN SHAH KAMARUDDIN, Perikanan Rekreasi Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Univerisiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melali e-mel izharuddin Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI