SAUDARA PENGARANG
Pertanian bukan lagi sekadar aktiviti bercucuk tanam, tetapi satu bentuk perniagaan yang bertujuan menjana keuntungan. Sebagai perniagaan, kejayaan sektor ini memerlukan kemahiran asas pengurusan kewangan dan perakaunan. Namun, hakikatnya, banyak petani di Malaysia masih memandang remeh aspek ini, menyebabkan mereka terdedah kepada kegagalan dalam jangka masa panjang.
Satu kajian pada 2016 mendapati petani padi di Malaysia tidak mengamalkan rekod perakaunan yang betul. Walaupun kajian ini hanya memfokuskan kepada petani padi, implikasinya mungkin lebih meluas merangkumi kumpulan petani lain.
Ini kerana terdapat laporan menyatakan ramai usahawan tani, khususnya generasi muda, gagal bertahan dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama penubuhan perusahaan. Kegagalan ini sering kali berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan kewangan akibat ketiadaan rekod perakaunan yang teratur.
Situasi ini menimbulkan persoalan sejauh mana amalan rekod perakaunan dalam kalangan petani pada masa kini dan tindakan yang telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
Kegagalan usahawan tani tidak sekadar memberi kesan kepada petani itu sendiri, tetapi juga boleh menjejaskan pengeluaran pertanian negara. Akibatnya, keterjaminan bekalan makanan - salah satu fokus utama Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) - berisiko terancam.
Dalam usaha memastikan sektor pertanian terus berdaya saing, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif kewangan termasuk Dana Skim Pembiayaan Agrofood dan pemberian subsidi serta geran kepada petani.
Kerajaan turut mempromosikan penggunaan inovasi pertanian termasuk teknologi terkini seperti dron dan sistem pengairan pintar untuk meningkatkan produktiviti.
Ramai berpendapat bahawa inovasi teknologi pertanian yang semakin berkembang memberi manfaat kepada pengeluaran petani bukan sahaja dari segi alam sekitar tetapi juga dari segi ekonomi. Inovasi teknologi pertanian dikategorikan kepada dua jenis iaitu teknologi keras (hard technology) dan teknologi lembut (soft technology).
Teknologi "keras" merujuk kepada input atau output fizikal yang lebih nyata, seperti infrastruktur pengairan atau dron. Inovasi pertanian "lembut" melibatkan perubahan dalam pengurusan pertanian dan penggunaan alat membuat keputusan.
Jika dilihat kembali inisiatif kerajaan, kebanyakannya berfokus kepada hard technology. Ini berbeza dengan pendekatan di Australia, yang menekankan kepentingan soft technology, iaitu kemahiran pengurusan berdasarkan maklumat relevan dan tepat pada masanya.
Rekod perakaunan adalah contoh utama soft technology yang kritikal dalam membuat keputusan perniagaan.
Mengapa rekod perakaunan penting?
Rekod perakaunan adalah asas kepada pengurusan kewangan yang baik. Melaluinya, petani dapat:
- Menganalisis Kos Operasi – Mengenal pasti perbelanjaan yang perlu dikurangkan untuk meningkatkan keuntungan.
- Mengawal Aliran Tunai – Memastikan perniagaan mempunyai dana mencukupi pada setiap masa.
- Menyediakan Belanjawan – Merancang keperluan kewangan untuk masa hadapan.
- Menilai Prestasi Perniagaan – Mengukur keberkesanan aktiviti pertanian, sekaligus membantu dalam membuat keputusan strategik.
Selain itu, rekod perakaunan juga memberi maklumat yang membolehkan petani memahami hubungan antara perniagaan mereka dengan persekitaran. Contohnya, kajian kes di Australia menunjukkan integrasi perakaunan, kelembapan tanah, dan perubahan cuaca membantu petani tanaman menjimatkan kos air sambil meningkatkan hasil tanaman.
Ini menunjukkan rekod perakaunan bukan sahaja menyokong pengurusan perusahaan tetapi juga membantu dalam penggunaan sumber asli dengan lebih baik dan adaptasi terhadap perubahan iklim.
Tiga strategi menambah baik amalan rekod perakaunan
Untuk memastikan petani Malaysia lebih bersedia mengurus kewangan dan meningkatkan pengeluaran pertanian, tiga strategi penting perlu dipertimbangkan:
a. Semakan dan pemantauan amalan rekod perakaunan
Pertama, amalan rekod perakaunan petani perlu disemak, diteliti dan dipantau. Kerajaan dapat menilai adakah petani yang menyimpan rekod perakaunan mengikut prinsip asas perakaunan betul serta boleh mengenal pasti faktor yang menyebabkan petani tidak menyimpan rekod perakaunan dan mencari solusi mengatasinya.
Oleh itu, satu perbandingan boleh dilakukan melihat kemajuan perusahaan petani dengan rekod perakaunan dengan yang tidak mempunyai rekod perakaunan. Kajian akademik menunjukkan petani yang menyimpan rekod perakaunan terbuka untuk mengambil sebarang peluang mengembangkan perusahaan dan membuat keputusan untuk meningkat prestasi perusahaan pertanian berbanding mereka yang tidak merekod.
b. Penyesuaian rekod mengikut keunikan aktiviti pertanian
Setiap cabang pertanian, sama ada ternakan, tanaman sayur-sayuran, atau florikultur, mempunyai transformasi biologi yang keunikan berbeza daripda segi pengurusan tapak, proses penyemaian, proses penjagaan, pembesaran dan proses penuaian ditambah tekanan faktor luaran seperti perubahan cuaca dan peningkatan populasi. Oleh itu, pendekatan rekod perakaunan perlu mengambil kira keunikan ini.
c. Pembangunan modul perakaunan untuk petani
Modul asas perakaunan yang disesuaikan dengan keperluan sektor pertanian perlu dibangunkan. Ia perlu dilengkapi dengan keunikan berbeza setiap cabang pertanian. Modul ini boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada semua petani.
Disamping itu, modul asas perakaunan untuk bidang pertanian ini boleh dijadikan sebagai modul kursus pertanian yang boleh dikendalikan oleh jabatan kerajaan yang terlibat. Dengan adanya modul ini, petani dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap perakaunan dan pengurusan kewangan.
Kegagalan usahawan tani boleh dielakkan jika mereka diberikan bantuan yang betul untuk mengurus kewangan, termasuk amalan rekod perakaunan yang kukuh. Justeru, kerajaan perlu memberi penekanan juga kepada soft technology selari dengan kepentingan hard technology dalam usaha memastikan keterjaminan makanan negara.
Gabungan dua kategori inovasi teknologi pertanian ini akan membantu petani bukan sahaja bertahan tetapi berjaya sebagai usahawan tani yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan bekalan makanan negara.
PENULIS DR. SHAZRUL EKHMAR BIN ABDUL RAZAK, Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.