fb fb fb fb fb

Baik buruk trend ‘NPC’ dalam media sosial

Penulis Suriawati Suparjoh (foto atas) dan Dr. Che Samihah (foto bawah)/Gambar hiasan RTM

SAUDARA PENGARANG

Kerancakan penggunaan media sosial sebagai pelantar teknologi digital untuk perkongsian pelbagai maklumat dan kandungan mewujudkan trend ikutan yang pelbagai. Trend dalam konteks media sosial merujuk kepada aliran atau perkembangan renteten sesuatu senario yang menjadi ikutan pengguna. Trend dalam Tiktok paling cepat tersebar dan menjadi ikutan melalui rakaman ulang cara video pendek.  Antara trend terkini dalam Tiktok adalah aktiviti ‘main-peranan’ yang dikenali sebagai NPC.

NPC juga boleh dirujuk sebagai slanga generasi kini, menggambarkan orang yang tidak berfikir dengan sendiri atau berkelakuan normal. Asal istilah NPC sebenarnya dicedok daripada konsep watak bukan pemain (Non-player character) dalam permainan video atau komputer. Dalam permainan video, NPC adalah watak atau karakter permainan yang tidak dikawal oleh pemain video, sebaliknya ditetapkan untuk dikawal oleh perisian komputer itu sendiri. Konsep NPC mula diperkenalkan dalam permainan komputer iaitu Dungeons and Dragons pada tahun 1975. 

Peranan NPC dalam permainan adalah penting juga sebagai pendokong kepada keseluruhan jalan cerita dan naratif permainan mahupun sebagai karakter sampingan yang akan menemani karakter utama. Secara kasarnya, karakter NPC mempunyai ciri pergerakan animasi yang tersangkut-sangkut dan berulang-ulang, ibarat robot. Ini berlaku kerana pergerakan, perlakuan dan dialog NPC dalam permainan video dan komputer telah diprogramkan.

Kewujudan trend NPC dalam Tiktok dikatakan bermula sejak tahun 2016 apabila tersebarnya video pendek yang memparodikan karakter NPC dalam persekitaran dunia sebenar.  Video yang memaparkan perlakuan, pergerakan dan percakapan berulang-ulang watak NPC daripada permainan ini dikenali sebagai NPC manusia (human NPC). Pempengaruh media sosial daripada Jepun iaitu Natuecoco dikatakan yang terawal mempopularkan karakter NPC dalam  Tiktok sehingga menjadi trend yang digilai generasi kini.

Pengguna Tiktok yang menonton siaran penstriman langsung aktiviti NPC manusia oleh mana-mana pencipta kandungan mungkin akan tertawa pada mulanya bila melihat aksi-aksi mereka. Apa tidaknya, melalui penampilan pakaian dan suara yang melambangkan karakter NPC dibawa, pencipta kandungan akan berulang-ulang menyebut beberapa patah perkataan di samping gerak gaya tertentu.

Apabila penonton memberikan gift atau hadiah Tiktok, pencipta kandungan akan menyebut atau melakonkan aksi yang berkaitan dengan hadiah tersebut. Sebagai contohnya, sekiranya hadiah berbentuk hati atau love diberikan, pencipta kandungan akan menunjukkan isyarat jari berbentuk hati sambil mengulang-ulang sebutan love, sekurang-kurangnya tiga kali.

Namun paling mengejutkan, aksi-aksi yang dilakukan oleh mereka secara penstriman langsung dapat menjana pendapatan lumayan sehingga mencapai ribuan ringgit dalam tempoh sehari. Ini boleh diperolehi melalui seberapa banyak hadiah yang diberi oleh penonton kepada mereka, berdasarkan tarikan penonton terhadap maklum balas karakter NPC dibawa.

Setiap hadiah yang diperolehi dalam bentuk animasi atau ikon boleh ditukar kepada wang ringgit kerana ianya mempunyai nilai tersendiri. Antara bentuk hadiah disediakan oleh platform Tiktok adalah Animated Gift bernilai 1 syiling emas sehinggalah TikTok Universe yang bernilai 44,999 syiling emas.  Faktor sebagai pempengaruh dengan bilangan pengikut yang ramai dapat menjadikan hadiah lebih tinggi nilainya diberikan oleh penonton atau penggemarnya.

Pelbagai polemik dan pandangan yang wujud kesan daripada trend NPC di TikTok. Penjanaan pendapatan yang tinggi melalui kandungan NPC dapat memberikan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk memperolehi pendapatan sampingan. Sesiapa sahaja boleh menggunakan masa terluang untuk mencipta dan mempersembahkan kandungan NPC melalui penstriman langsung.

Penonton masa kini bersifat terbuka menyokong kandungan NPC sekiranya pencipta kandungan NPC bijak memanipulasi kandungan yang menarik minat mereka.  Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan bahawa pencipta kandungan NPC adalah setaraf dengan pengemis kerana sanggup melakonkan aksi-aksi berulang-ulang demi habuan hadiah TikTok.

Terdapat juga pihak memberikan pandangan bahawa trend NPC sebagai satu aktiviti yang patut dikawal kerana penonton boleh terikut-ikut dengan perlakuan yang tidak sesuai dengan norma agama dan masyarakat Timur. Kekhuatiran terhadap kesan trend NPC terhadap generasi muda adalah wajar memandangkan kebanyakan kandungan permainan komputer bukan berdasarkan ciri budaya setempat atau menyebarkan prinsip ilmiah.

Kesimpulannya, trend NPC di TikTok menggambarkan evolusi media sosial sebagai platform yang mampu mencipta fenomena unik, menggabungkan elemen budaya digital dan permainan video ke dalam bentuk hiburan kontemporari. Walaupun trend ini menawarkan peluang untuk menjana pendapatan yang signifikan melalui kreativiti kandungan, ia juga menimbulkan polemik.

Sebahagian pihak memandang trend ini sebagai inovasi positif yang membolehkan masyarakat memperoleh pendapatan sampingan, sementara yang lain menganggapnya sebagai tingkah laku kurang bermaruah atau potensi ancaman kepada nilai budaya dan norma masyarakat. Justeru itu, fenomena ini perlu ditangani secara bijaksana dengan mengambil kira keseimbangan antara kebebasan kreatif, etika sosial, dan kesedaran budaya.

PENULIS SURIAWATI SUPARJOH dan DR CHE SAMIHAH CHE DALIM, Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM. 

MAT YUNUS BIN SABRI