SAUDARA PENGARANG
“Terawal 10 tahun lagi baik daripada terlambat 1 hari.” Ungkapan ini menggambarkan pentingnya memiliki pelan takaful sebagai perlindungan kewangan yang menyeluruh. Selepas pandemik COVID-19 pada 2020, kesedaran rakyat Malaysia terhadap takaful semakin meningkat. Pada tahun 2023, industri takaful mencatatkan pembayaran tuntutan sebanyak RM8.74 bilion bagi perlindungan Takaful Keluarga dan Takaful Am, mencerminkan peranan signifikan takaful dalam menyokong kehidupan masyarakat.
Industri ini dijangka terus berkembang pesat dengan kadar penembusan takaful diunjurkan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2027, berbanding hanya 20 peratus pada tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd Redzuan Mohamed, menyatakan bahawa pemain industri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan akses dan kesedaran takaful dalam kalangan masyarakat.
Fokus utama adalah kepada golongan B40 dan M40, termasuk ibu bapa muda serta pekerja gig, yang kebanyakannya masih belum mendapat perlindungan kewangan. Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keuntungan tetapi juga merapatkan jurang kewangan dalam masyarakat, seiring dengan agenda inklusiviti sosial.
Takaful berlandaskan konsep tolong-menolong (tabarru’), di mana peserta berkongsi risiko melalui sumbangan wang ke dalam tabung dana. Dana ini digunakan untuk membantu peserta lain yang menghadapi musibah seperti kematian, masalah kesihatan, atau kerugian lain yang dilindungi mengikut polisi. Antara elemen utama dalam pelan takaful ialah kad perubatan, hibah, dan pampasan sakit kritikal.
Kad perubatan takaful menyediakan perlindungan bagi rawatan di hospital swasta, memberikan pilihan rawatan lebih selesa kepada pengguna. Kerajaan turut menggalakkan penyertaan dalam pelan ini dengan menawarkan pelepasan cukai kepada pencarum. Bagaimanapun, pemegang polisi digalakkan memahami secara mendalam ciri-ciri pelan mereka, seperti had tahunan, klause ko-takaful, dan syarat lain. Bermula September 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan penghapusan ciri deduktibel bagi pelan kad perubatan untuk mengekalkan kestabilan dana tabarru’.
Hibah, satu lagi elemen penting takaful, menyediakan wang segera kepada Amanah Raya bagi melunaskan komitmen seperti hutang sebelum lebihan diagihkan kepada waris. Hibah memainkan peranan kritikal dalam melindungi keluarga peserta daripada beban kewangan sekiranya berlaku kematian. Dalam konteks ini, produk seperti Takaful Tempoh Pinjaman Tetap (MLTT) diperkenalkan untuk memastikan tempoh perlindungan sejajar dengan tempoh pinjaman perumahan.
Manakala pampasan sakit kritikal menyediakan tunai kepada peserta yang didiagnosis dengan penyakit kritikal. Pampasan ini bertujuan menampung kos tambahan seperti perjalanan ke hospital, penjagaan di rumah, atau pembelian peralatan rawatan. Pampasan ini membolehkan peserta dan keluarga menyesuaikan diri dengan keadaan kewangan baharu tanpa tekanan tambahan.
Industri takaful kini giat melaksanakan Program Rangka Tindakan Sektor Kewangan (FSB), selaras dengan Pelan Strategik Hijrah 2027 Bank Negara Malaysia. Program ini menekankan aspek kemampanan, daya tahan ekonomi, pendigitalan, dan kepimpinan kewangan Islam. Salah satu agenda utamanya ialah Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), yang bertujuan mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih mampan dan inklusif.
Program ini telah menunjukkan kemajuan ketara melalui 11 kumpulan kerja strategik yang memberi fokus kepada meningkatkan rangkuman kewangan dan memperkukuhkan daya tahan ekonomi. Pada tahun 2022, takaful menguasai 20.1 peratus pasaran insurans negara, dengan sasaran untuk berkembang kepada 51 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang. Inisiatif seperti Program Takaful FSB bertujuan menyelaraskan sasaran sektor kewangan BNM dan memastikan pertumbuhan mampan industri.
Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) juga menjadi tulang belakang dalam memacu keyakinan pengguna terhadap industri ini. Dengan dasar dan peraturan kukuh, takaful mampu terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial. Pengguna pula disarankan untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka dengan lebih mendalam agar pelan takaful yang dipilih benar-benar dapat memberikan perlindungan berkesan.
Oleh itu, takaful bukan sekadar satu instrumen kewangan, tetapi juga pelaburan dalam melindungi masa depan. Ungkapan, “Lebih awal melabur, lebih terlindung masa depan,” seharusnya menjadi motivasi bagi setiap individu untuk mengambil langkah awal dalam memastikan keselamatan kewangan mereka. Dengan sokongan daripada inisiatif strategik, industri takaful di Malaysia terus bergerak ke arah pertumbuhan yang inklusif dan ekosistem kewangan yang lestari.
PANULIS DR MOHD KHAIRI ISMAIL adalah Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan Pensyarah (Ekonomi) di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA; manakala MOHD ISHAK AMRI, Pengurus Inspire Group Kuala Lumpur. Mereka boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.