fb fb fb fb fb

2025: Usaha progresif diperlukan sasar 40% kadar kitar semula

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Kadar kitar semula kebangsaan pada tahun 2023 dilaporkan pada 35.38% dan kadar itu disasarkan terus meningkat kepada 40% menjelang 2025. Dengan peningkatan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kitar semula sisa, tidak mustahil untuk negara mencapai sasaran ditetapkan, malah peratusannya boleh menjangkau sasaran semasa dengan usaha progresif daripada kerajaan dan perubahan amalan masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal.  

Pelbagai usaha daripada kerajaan telah dipergiatkan bagi mencapai sasaran ini, sama ada daripada segi aplikasi pengurusan sisa pepejal yang lebih baik bermula daripada penjanaan sisa sehingga pelupusan sisa dengan mengetengahkan konsep ekonomi kitaran, memperluaskan tanggungjawab pengeluar dan mempertingkatkan amalan pengasingan sisa di punca. 

Kempen 3R (Reduce, Reuse and Recycle) bukan lagi hanya bertujuan untuk memberi kesedaran semata tetapi perlu diterapkan dan dipraktikan sebagai satu amalan bagi setiap individu dalam kehidupan seharian. 

Usaha dan inisiatif yang diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan adalah amat baik tetapi beberapa aspek perlu diambil perhatian terutamanya dalam penyediaan infrastruktur dan lokasi pusat kitar semula yang aktif berdekatan kawasan kediaman bagi memudahkan masyarakat untuk menghantar barangan yang telah diasingkan untuk dikitar semula. 

Kebolehcapaian lokasi pusat mengitar semula sisa dilihat penting bagi menarik lebih banyak masyarakat setempat untuk datang dan menghantar barang kitar semula. Bukan itu saja, keberadaaan lokasi ini juga perlulah diketahui oleh masyarakat setempat dan mudah untuk diakses. 

Penekanan kesedaran berkenaan amalan kitar semula sisa juga perlu diterapkan kepada masyarakat khususnya yang berada di luar bandar. Tidak seperti masyarakat yang tinggal di bandar, maklumat yang diterima oleh masyarakat yang tinggal di luar bandar mengenai kitar semula sisa mungkin kurang atau terhad. 

Pembakaran dan pembuangan sisa di kawasan terbuka dilaporkan masih lagi berlaku terutamanya di luar bandar. Berdasarkan kajian, kekurangan infrastuktur seperti penyediaan kawasan atau tong kitar semula berdekatan kawasan kediaman serta tahap kesedaran amalan kitar semula yang rendah membawa kepada pengurusan sisa pepejal, kurang atau tidak baik. 

Masyarakat luar bandar rata-rata memahami konsep pengasingan sisa pepejal. Namun kepentingan dan kebaikan kitar semula sisa, masih kurang difahami oleh mereka. Oleh itu, perlaksanaan aktiviti berkonsepkan perkhidmatan komuniti adalah amatlah penting.

Ini termasuk libat urus secara terus menerusi kerjasama kerajaan dan agensi atau institusi luar kepada masyarakat. Ini penting bagi meningkatkan kesedaran seterusnya membudayakan amalan kitar semula sisa. 

Dari sudut masyarakat pula, mereka perlulah lebih terbuka dan aktif dalam menghadiri program atau kempen yang dijalankan. Mereka juga perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan pengetahuan dan amalan baik pengurusan sisa.

Dengan peningkatan pembudayaan kitar semula sisa, sudah pasti ia akan membawa kepada peningkatan kadar kitar semula, seterusnya dapat mengurangkan beban pengurusan sisa pepejal. Ia secara tidak langsung dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sisa. 

Bukan itu sahaja, dengan peningkatan kadar kitar semula sisa, ia dapat mengurangkan tahap kebergantungan kepada sumber asli dan pencemaran alam sekitar.

PENULIS DR NAZATUL SYADIA ZAINORDIN, Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI