fb fb fb fb fb

Usah terpedaya dengan gigi palsu, palsu

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes individu yang menjadi mangsa kepada penipuan gigi palsu haram atau lebih dikenali sebagai gigi palsu “palsu” (fake denture) semakin membimbangkan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 528 aduan telah diterima melibatkan kegiatan pengamal pergigian haram di seluruh negara dari tahun 2017 hingga 2021.

Walaupun tiada statistik khusus berkaitan gigi palsu “palsu” dilaporkan secara terperinci, aduan yang diterima merangkumi pelbagai bentuk rawatan pergigian tidak sah, termasuk kes pembuatan dan pemasangan gigi palsu oleh individu tidak bertauliah dan tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC).

Modus operandi sindiket ini sangat licik dan meyakinkan. Kebiasaannya, pelaku mendakwa diri mereka sebagai pakar dalam pembuatan gigi palsu, walaupun tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang pergigian. Mereka bergerak dari rumah ke rumah, tampil dengan penampilan yang kemas dan profesional, serta menggunakan tutur kata yang sopan untuk menimbulkan rasa percaya. Khidmat yang ditawarkan pula seringkali menjanjikan gigi palsu yang “cantik, kuat dan siap terus”.

Ramai mangsa terpedaya kerana khidmat ini tidak memerlukan janji temu atau prosedur pergigian yang standard seperti cabutan gigi terlebih dahulu. Lebih membimbangkan, gigi palsu “palsu” ini sering direka tanpa pemahaman tentang anatomi mulut dan tidak mengikut prinsip reka bentuk gigi palsu yang betul. Ia biasanya diperbuat dengan lapisan plastik akrilik yang terlalu tebal, tiada komponen penahan atau sokongan yang betul, dan ada kalanya dilekatkan terus pada gigi menggunakan bahan pelekat tidak sesuai.

Harga yang ditawarkan pula sangat menarik, serendah RM50 sebatang, tetapi apabila dikira keseluruhan rahang, kosnya mencecah lebih RM2,000. Ada yang mendakwa mendapat "jaminan" enam bulan, tetapi apabila masalah timbul, pelaku gagal dihubungi dan nombor telefon tidak lagi aktif.

Kesan buruk pemakaian gigi palsu “palsu” amat serius dan tidak boleh dipandang ringan. Ramai mangsa hanya menyedari akibatnya setelah berbulan atau bertahun memakai gigi palsu yang tidak selamat. Antara kesan utama yang sering dilaporkan termasuk sakit gusi dan gigi yang berpanjangan, gigi menjadi goyang, mulut berbau busuk dan kesukaran untuk mengunyah makanan. Kawasan yang terlibat tidak dapat dibersihkan dengan sempurna menyebabkan bakteria dan plak terkumpul dan seterusnya infeksi pada tisu mulut.

Kes-kes sebegini jelas menunjukkan bahawa pemakaian gigi palsu “palsu” bukan sahaja membazirkan wang, malah membahayakan kesihatan mulut secara serius dan kekal. Maka, adalah amat penting untuk masyarakat menyedari risiko sebenar yang tersembunyi di sebalik tawaran murah dan “mudah” ini.

Gigi palsu yang tidak mengikut spesifikasi profesional boleh menjadi “bom jangka” kepada kesihatan oral, bukan sekadar alat kosmetik yang cantik di luar tetapi menyebabkan masalah pergigian yang serius. Ramai mangsa tertipu kerana tidak menyedari bahawa semua rawatan pergigian perlu dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah dan berdaftar dengan MDC. Di klinik pergigian, pesakit akan melalui satu proses pemeriksaan klinikal dan radiografik yang menyeluruh sebelum sebarang gigi palsu direka dan dipasang.

Ini penting bagi memastikan kesesuaian dari segi fungsi, keselesaan, kebersihan, dan keselamatan jangka panjang. Gigi palsu bukan sekadar alat kosmetik, tetapi merupakan alat perubatan yang memerlukan perancangan rapi dan penyelenggaraan berterusan.

Justeru, masyarakat perlu lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu murah, mudah atau cepat. Elakkan individu yang menawarkan perkhidmatan gigi dari rumah ke rumah, tanpa lesen perniagaan atau sijil pengiktirafan. Satu lagi tanda amaran ialah apabila tiada resit rasmi dikeluarkan atau mereka enggan menjawab soalan teknikal tentang prosedur dan latar belakang mereka.

Jika anda atau ahli keluarga memerlukan gigi palsu, pastikan gigi palsu dibuat di klinik pergigian kerajaan atau swasta yang berdaftrar. Ingatlah, kos rawatan yang murah pada awalnya mungkin membawa kepada kos rawatan yang lebih mahal dan penderitaan yang panjang di kemudian hari.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MOHAMMAD MAJDUDDIN SULAIMAN
Dr Mohammad Majduddin Sulaiman
Pakar Pergigian Prostodontik
Pensyarah Pergigian
Pusat Pengajian Sains Pergigian
Universiti Sains Malaysia (USM)

MAT YUNUS BIN SABRI