fb fb fb fb fb

El Nino: Teroka semula ketahanan industri akuakultur Malaysia

Pusat Pembenihan Ikan, Universiti Putra Malaysia (UPM)/Foto hiasan -BERNAMA.

SAUDARA PENGARANG

Malaysia mungkin sekali lagi berhadapan dengan ancaman musim kemarau yang kering diramal akan melanda pada suku ketiga tahun 2025. Bagi industri akuakultur yang menyumbang secara signifikan kepada sektor perikanan, fenomena ini bukan sekadar isu cuaca — ia berpotensi menggugat kestabilan keselamatan makanan negara dan kelangsungan hidup ribuan pengusaha akuakultur di seluruh Malaysia.

Untuk makluman, industri perikanan negara menyumbang sebanyak 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah pengeluaran keseluruhan mencecah 1.94 juta tan metrik, bernilai kira-kira RM17.9 bilion. Daripada jumlah ini, sektor akuakultur menyumbang hampir 30%, menjadikannya satu komponen penting dalam rantaian bekalan makanan negara.

Dalam sistem akuakultur, suhu air memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan dan kadar pertumbuhan ikan. Apabila suhu meningkat melebihi 32°C, tahap oksigen terlarut dalam air akan menurun secara drastik, menyebabkan ikan mengalami tekanan fisiologi, kehilangan selera makan, dan lebih mudah terdedah kepada penyakit.

Beberapa jenis patogen seperti Streptococcus, Aeromonas, dan parasit chthyophthirius mudah menyerang ketika suhu tinggi dan kandungan oksigen rendah. Di beberapa kawasan seperti Tasik Kenyir dan Sungai Pahang, penternak telah melaporkan peningkatan kadar kematian juvenil ikan patin dan baung semasa gelombang panas yang berlaku pada tahun 2023.

Selain itu, suhu tinggi juga menyebabkan peningkatan kejadian letusan alga berbahaya atau harmful algal bloom (HAB). Apabila air bertakung dalam persekitaran yang kaya nutrien dan panas, fitoplankton akan membiak secara besar-besaran. Sesetengah spesies alga menghasilkan toksin berbahaya yang boleh merosakkan hati dan sistem saraf ikan.

Kejadian HAB bukan sahaja menyebabkan kematian mendadak ikan secara besar-besaran, malah turut mencemarkan air kolam dan menjejaskan operasi pemulihan selama berminggu-minggu.

Kesan ekonomi daripada kejadian seperti ini tidak dapat dipandang ringan. Apabila kematian ikan berlaku secara mendadak, penternak akan menanggung kerugian modal, kehilangan hasil tuaian, dan perlu menanggung kos tambahan untuk rawatan air, pembaikan kolam serta pembelian semula benih.

Dalam masa sama, lambakan ikan kecil atau bermutu rendah di pasaran menyebabkan harga jualan jatuh. Menurut laporan Jabatan Perikanan Malaysia, kerugian melebihi RM438,000 telah direkodkan hanya dalam tempoh tiga bulan di beberapa negeri akibat suhu panas melampau pada tahun 2024.

Sebagai persediaan menghadapi cabaran ini, pelbagai langkah adaptasi disarankan. Antaranya ialah memasang sistem teduhan kolam menggunakan jaring UV untuk menurunkan suhu air sebanyak 2 hingga 3°C, mengurangkan kepadatan ikan di dalam kolam bagi mengurangkan tekanan dan persaingan oksigen, serta menggunakan sistem aerator atau pam venturi untuk menambah oksigen terlarut.

Penternak juga digalakkan untuk memantau suhu, pH dan tahap ammonia secara berkala dengan menggunakan sensor digital dan sistem berasaskan Internet of Things (IoT). Dalam tempoh suhu tinggi, kadar pemberian makanan perlu dikurangkan bagi mengelakkan pencemaran air dan tekanan metabolik kepada ikan.

Di sebalik cabaran ini, terdapat ruang besar untuk inovasi dan pembangunan jangka panjang. Salah satu bidang yang wajar diteroka adalah pembangunan spesies akuakultur yang ditambah baik secara genetik (genetically improved aquaculture species) bagi meningkatkan toleransi terhadap suhu tinggi.

Melalui pendekatan pemilihan terarah (selective breeding), penanda molekul (marker-assisted selection) dan teknologi genomik, kita berpotensi menghasilkan baka ikan dan udang yang lebih tahan terhadap stres haba. Walaupun proses pembangunan strain baharu ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun, pelaburan jangka panjang ini adalah penting untuk memastikan kelangsungan industri dalam era perubahan iklim.

Selain daripada pembiakbakaan, satu lagi bidang strategik ialah pembangunan pemakanan berfungsi (functional feed) yang dapat membantu ikan dan udang menyesuaikan diri dengan tekanan haba. Makanan ini boleh diperkaya dengan bahan bioaktif seperti antioksidan semula jadi (contohnya dari minyak Moringa atau ekstrak rumpai laut), probiotik dan imunostimulan.

Formulasi sedemikian bukan sahaja meningkatkan sistem imun haiwan akuatik, tetapi juga membantu mengurangkan kerosakan oksidatif yang berlaku ketika suhu melampau. Penyelidikan tempatan dalam bidang ini perlu digiatkan agar industri akuakultur kita tidak lagi bergantung kepada produk import atau formulasi generik yang tidak sesuai dengan persekitaran tropika.

Salah satu idea liar yang dicadangkan ialah pembangunan aplikasi pintar yang direka khusus untuk akuakultur. Aplikasi ini boleh menggabungkan data satelit, ramalan mikro-iklim setempat dan data dari kolam (suhu, pH, oksigen terlarut) untuk memberikan amaran awal kepada penternak. Sistem ini juga boleh disambungkan kepada alat seperti aerator atau sistem teduhan automatik yang dikawal secara digital, menjadikan operasi lebih responsif terhadap perubahan cuaca.

Satu lagi inovasi berimpak tinggi ialah pelantar akuakultur terapung yang dilengkapi dengan panel solar. Panel ini bukan sahaja menjana tenaga bersih untuk menggerakkan pam dan aerator, malah turut memberikan teduhan semula jadi kepada kolam, seterusnya membantu menurunkan suhu air secara pasif. Sistem ini juga boleh disatukan dengan penapisan air hujan untuk membantu proses penyejukan semula jadi.

Kesimpulannya, fenomena El Niño bukan sekadar cabaran semasa, tetapi petunjuk kepada keperluan mendesak untuk memperkukuh daya tahan industri akuakultur negara. Dengan pendekatan berasaskan sains, inovasi dan kerjasama strategik, Malaysia bukan sahaja mampu menyesuaikan diri, malah berpotensi menjadi peneraju dalam bidang akuakultur tahan iklim di rantau Asia Tenggara.

Sebagai penutup dan kata nasihat ‘Bila cuaca di luar kawalan, pastikan sistem kita cukup kuat untuk menghadapinya.’ Itulah kunci kepada masa depan akuakultur Malaysia, tahan lasak, inovatif, dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran iklim mendatang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

2006 DR. MUHAMMAD FADHIL SYUKRI ISMAIL
Dr. Muhammad Fadhil Syukri Ismail
Pensyarah Kanan Jabatan Akuakultur
Fakulti Pertanian, UPM
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI