SAUDARA PENGARANG
Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan menyaksikan umat Islam berlumba-lumba meningkatkan amalan ibadah mereka. Solat berjemaah menjadi kebiasaan, tilawah Al-Quran dilakukan dengan lebih konsisten, sedekah digalakkan, doa menjadi lebih khusyuk, kata-kata tidak elok dikawal, rasa marah dikekang begitu juga hawa nafsu. Namun, cabaran terbesar selepas Ramadan adalah meneruskan momentum ibadah dan tingkah laku ini dalam bulan-bulan berikutnya.
Dalam dunia motivasi, terdapat konsep "The Power of Repetition" yang menyatakan bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menjadi kebiasaan atau tabiat. Pakar motivasi menyebut bahawa sesuatu amalan yang dilakukan secara konsisten dalam tempoh tertentu akan tertanam dalam minda seseorang sehingga menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya. Individu seperti James Clear (penulis Atomic Habits), Brian Tracy, atau Tony Robbins yang banyak membincangkan konsep habit dan kepentingan pengulangan dalam membentuk tabiat positif.
Menurut kajian dalam bidang psikologi dan motivasi, jumlah pengulangan yang diperlukan bagi membentuk satu kebiasaan berbeza mengikut individu dan jenis aktiviti. Kajian Philippa Lally (University College London, 2009) mendapati bahawa secara purata, sesuatu amalan memerlukan 66 hari untuk menjadi kebiasaan, tetapi tempoh sebenar boleh berkisar antara 18 hingga 254 hari bergantung kepada individu dan jenis aktiviti.
Dalam konteks Islam, tokoh seperti Imam Al-Ghazali juga menekankan kepentingan istiqamah dalam amal ibadah. Menurut Imam Al Ghazali, istiqamah adalah kunci kejayaan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana ia mencerminkan ketulusan hati dan ketekunan dalam menjalankan perintah-Nya.
Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menyebut bahawa amalan yang dilakukan secara berterusan, walaupun kecil, lebih bernilai daripada ibadah yang banyak tetapi terputus-putus. Istiqamah juga menjadi bukti keikhlasan seseorang dalam beribadah kerana ia menunjukkan bahawa ibadah tersebut bukan sekadar ritual sementara, tetapi sebahagian daripada keperibadian dan keimanan seseorang.
"Amalan yang paling dicintai Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit." (Hadis Riwayat Muslim). Oleh itu, ibadah yang telah kita latih sepanjang Ramadan perlu diteruskan supaya ia benar-benar menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Momentum ibadah selepas Ramadan perlu diteruskan kerana ia membantu menjaga konsistensi ibadah, mengelakkan kembali ke zon selesa dan memastikan keberkatan hidup yang berpanjangan.
Ramadan melatih kita untuk solat di awal waktu, berzikir, dan membaca Al-Quran, dan jika kebiasaan ini diteruskan, kita akan mendapat manfaat kerohanian yang berterusan. Jika ibadah hanya dilakukan sepanjang Ramadan dan kemudian ditinggalkan, ini menunjukkan bahawa kita belum benar-benar membentuk tabiat yang kuat, sedangkan kebiasaan beribadah yang berterusan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT.
Dalam konteks ibadah selepas Ramadan, sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan pengulangan secara konsisten diperlukan untuk memastikan ibadah tersebut menjadi kebiasaan yang kekal. Ramadan bukan sekadar satu bulan ibadah yang intensif tetapi adalah madrasah tarbiyah yang melatih kita untuk terus istiqamah dalam amalan soleh.
Dengan meneruskan tabiat baik yang telah dibentuk sepanjang Ramadan, kita dapat memastikan keberkatan dan kebaikan yang diperoleh tidak terhenti, malah semakin bertambah. Sesungguhnya, kejayaan Ramadan bukan hanya diukur dalam tempohnya, tetapi sejauh mana impaknya terus kekal dalam kehidupan kita. Semoga kita semua terus istiqamah dalam ibadah dan menjadi insan yang lebih baik sepanjang tahun. Ameen.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor