SAUDARA PENGARANG
Pembentukan identiti diri adalah satu proses sosial yang kompleks seseorang individu membangunkan satu pandangan yang jelas dan unik mengenai diri dan identiti mereka. Keberhasilan proses ini banyak dipengaruhi oleh hasil interaksi seseorang individu dengan persekitarannya.
Konsep kendiri, pembangunan personaliti individu, nilai dan adab sangat berkait rapat dengan pembentukan identiti. Seiring dengan perkembangan teknologi, proses interaksi langsung antara individu yang berlaku sebelum ini kebanyakannya perlu melalui perantaraan teknologi pada masa kini telah mengubah landskap interaksi tradisional.
Proses interaksi secara bersemuka yang banyak bergantung kepada elemen verbal, para verbal dan bukan verbal sebenarnya antara elemen penting dalam pembentukan adat dan budaya sesebuah masyarakat. Namun, dengan adanya perantaraan teknologi, komunikasi akan lebih tertumpu kepada penyampaian maklumat secara bertulis.
Perubahan dalam kaedah masyarakat berinteraksi dan berkelakuan akibat kemajuan teknologi banyak menghakis nilai sosial, adab, dan adat. Fenomena ini menyebabkan pergeseran dalam nilai-nilai tradisional dan norma sosial yang biasanya diamalkan dalam interaksi harian.
Teknologi seperti media sosial, telefon pintar, dan aplikasi perbualan mengurangkan interaksi bersemuka antara individu. Sebelum ini, adab seperti memberi salam, berbicara dengan sopan, atau menjaga bahasa badan lebih ditekankan dalam komunikasi bersemuka.
Namun, di dunia maya, interaksi ini boleh menjadi lebih kasual atau tidak formal. Sebagai contoh, seseorang mungkin berbicara dengan cara yang kasar atau menggunakan bahasa yang tidak sopan melalui mesej teks atau media sosial, kerana mereka tidak bersemuka dengan penerima mesej secara langsung.
Dunia maya cenderung menggalakkan anonimiti pengguna. Di dunia maya, identiti seseorang sering kali tersembunyi atau tidak jelas, yang menyebabkan mereka lebih bebas untuk berkelakuan tanpa rasa tanggungjawab terhadap adab atau adat.
Anonimiti ini menggalakkan tingkah laku yang lebih tidak sopan atau tidak menghormati orang lain. Contohnya, tindakan seperti buli siber, komen tidak sopan, atau penggunaan bahasa kesat menerusi ruang digital semakin meningkat kerana individu pengguna merasa kurang berhubung dengan akibat sosial daripada tindakannya.
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bebas boleh menyebabkan perubahan dalam nilai keluarga dan komuniti. Teknologi, terutamanya media sosial, memberikan tumpuan yang lebih besar kepada individu dan kehendak peribadi berbanding dengan nilai-nilai kolektif seperti menjaga hubungan kekeluargaan atau menghormati adat resam komuniti.
Interaksi melalui media sosial lebih memberi tumpuan kepada pengesahan peribadi dan pencapaian individu. Anak muda lebih cenderung untuk menghabiskan masa dengan telefon pintar atau media sosial, berbanding bersama keluarga atau mematuhi adat seperti mengunjungi saudara-mara semasa perayaan.
Dengan mudahnya akses kepada kandungan global melalui internet, generasi muda mungkin lebih cenderung untuk meniru budaya luar dan mengabaikan nilai-nilai serta adat tradisional mereka. Media sosial dan platform seperti YouTube atau TikTok mempromosikan budaya pop yang mungkin bertentangan dengan nilai tradisional masyarakat di Malaysia.
Kecenderungan untuk mengikuti trend global dalam fesyen, muzik, atau cara berfikir, menyebabkan elemen budaya tempatan seperti bahasa atau adat resam keluarga menjadi kurang dihargai. Seterusnya, dengan kehadiran aplikasi mesej segera dan platform media sosial, komunikasi menjadi lebih pantas dan tidak formal.
Hal ini menjejaskan adab berbual seperti memberi salam dengan hormat, berbicara dengan nada yang sopan, atau memberi perhatian sepenuhnya dalam perbualan. Selain itu, penggunaan singkatan dalam mesej teks seperti "u" untuk "you", "lol" untuk ketawa, atau mengabaikan tatabahasa yang betul dalam percakapan dapat mengurangkan keindahan dan kesopanan berbahasa.
Akhir sekali, teknologi memang tidak dapat dinafikan bahawa ia memudahkan pekerjaan jarak jauh dan komunikasi tanpa sempadan, tetapi ia juga mencabar norma sosial tradisional yang mengutamakan interaksi fizikal dan hubungan sosial dalam komuniti. Ini juga boleh membawa kepada kehilangan adat resam berkaitan dengan kerja berpasukan, rasa tanggungjawab, dan etika dalam hubungan sosial.
Contohnya, pekerja yang bekerja dari rumah mungkin kurang terlibat dalam aktiviti sosial di tempat kerja, mengurangkan hubungan interpersonal yang secara tradisional menjadi asas kepada adab dan tatacara dalam organisasi.
Kesimpulannya, hilangnya adab dan adat disebabkan teknologi bukanlah fenomena yang tidak dapat diatasi, tetapi ia memerlukan usaha untuk menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan pemeliharaan nilai-nilai tradisional dan sosial. Pendidikan tentang etika digital, penggunaan media sosial yang bertanggungjawab, serta penggalakan interaksi bersemuka dalam konteks keluarga dan komuniti dapat membantu mengurangkan kesan negatif ini.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Siti Noormi Alias
Pensyarah Kanan
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: