fb fb fb fb fb

Koperasi pemacu ekonomi rakyat, perlu dihayati semula

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Koperasi bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan rakyat Malaysia. Bagi sesetengah daripada kita, kenangan pertama tentang koperasi bermula di bangku sekolah, melalui unit kecil di tingkat bawah bangunan sekolah yang menjual alat tulis dan makanan ringan dikenali sebagai “koop”.

Tanpa disedari, pengalaman itu sebenarnya membuka laluan kepada satu sistem ekonomi rakyat yang dibina atas nilai kebersamaan, amanah dan keadilan sosial.

Meskipun koperasi sebenarnya telah lama bertapak, namun penubuhannya masih kurang difahami oleh sebahagian masyarakat. Ramai melihat penubuhan koperasi sebagai sebuah gerakan lapuk atau dikenali sebagai organisasi yang berperanan untuk menyimpan dan meminjam wang semata-mata.

Hakikatnya, koperasi merupakan sebuah entiti perniagaan kolektif yang memberi ruang kepada mereka yang kurang akses kepada modal, pasaran dan sokongan perniagaan khusunya bagi golongan B40 dan perusahaan mikro.

Gerakan koperasi moden di Malaysia lahir daripada cetusan idea Almarhum Prof. Diraja Ungku Aziz, tokoh ekonomi negara yang telah menubuhkan Koperasi Buku Universiti Malaya (KKUM) dan menjadi Yang Dipertua ANGKASA selama lebih empat dekad. Sejak koperasi itu diwartakan pada Mei 1971, usaha beliau membina keadilan ekonomi melalui pendekatan institusi koperasi terus diangkat sebagai legasi penting dalam pembangunan negara.

Hari ini, legasi itu wajar diteruskan. Malah, peranan koperasi telah diperincikan secara rasmi melalui Undang-Undang Kecil Koperasi, yang memperuntukkan sembilan fungsi utama koperasi: Perbankan, kredit, pertanian, perumahan, perindustrian, pengguna, pembinaan, pengangkutan dan perkhidmatan. Kepelbagaian fungsi ini mencerminkan potensi koperasi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara merentas pelbagai sektor strategik.

Menariknya, budaya koperasi telah lama menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di negara maju seperti Jepun dan Korea. Dalam satu forum baru-baru ini, Datuk Haji Mohamad Ali Hassan, ahli Lembaga ANGKASA, menyatakan bahawa “setiap keluarga di Jepun dan Korea akan memastikan sekurang-kurangnya salah seorang ahli keluarga mereka berdaftar dan menjadi ahli koperasi”. Kenyataan ini mengajak kita berfikir: “Mengapa tidak ia turut menjadi budaya dan amalan di Malaysia?”

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Abdullah, dalam satu sesi temu bual di sebuah stesen radio swasta baru-baru ini menegaskan bahawa koperasi harus dilihat dalam skop yang lebih luas sebagai suatu gaya hidup.

Menurut beliau, koperasi bukan hanya wujud untuk membantu individu dalam kesempitan atau memerlukan bantuan kewangan, tetapi juga sebagai satu mekanisme ekonomi jangka panjang yang mampu menyokong kesejahteraan individu dan masyarakat secara berterusan.

Kerajaan Malaysia, khususnya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), turut mengiktiraf peranan koperasi melalui sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan pada setiap bulan Julai – berbanding negara-negara lain yang hanya menyambut Hari Koperasi pada Sabtu pertama bulan tersebut. P

elbagai program, forum dan aktiviti telah dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan kerjasama SKM sepanjang bulan Julai bagi memperluas kefahaman masyarakat terhadap koperasi. Namun, sambutan ini hanya akan bermakna jika masyarakat benar-benar memahami, menyokong dan melibatkan diri dalam gerakan koperasi.

Hari ini, koperasi boleh memainkan pelbagai peranan dalam aspek perniagaan dan perkhidmatan, daripada pusat penjagaan kanak-kanak, kedai buku dan francais pendidikan, hinggalah ke dapur komuniti, pusat pembungkusan hasil tani, perniagaan emas patuh syariah dan banyak lagi.

Perkara yang membezakan kejayaan dan kegagalan adalah kepimpinan yang berintegriti, pengurusan yang cekap serta kesediaan untuk beradaptasi dengan kehendak zaman, termasuk dalam ekosistem digital.

Koperasi bukan sekadar warisan masa lalu, tetapi amanah untuk masa depan. Ia bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan penglibatan aktif daripada setiap lapisan masyarakat. Menjadi ahli koperasi, membeli produk keluaran koperasi, atau menyumbang tenaga dan kepakaran, semuanya merupakan langkah kecil yang mampu membawa impak besar.

Jika kita masih tertanya-tanya dari mana harus bermula, jawapannya mungkin terletak di tempat kita mula mengenal erti kebersamaan, di “koop” kecil sekolah. Kini, tiba masanya untuk kita menghidupkan semula semangat itu dan menjadikan koperasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia, demi masa depan generasi seterusnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. SITI NAZZIERA MOKHTAR
Dr. Siti Nazziera Mokhtar
Felo Penyelidik
Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC)
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI