SAUDARA PENGARANG
Cadangan untuk mengembalikan kuasa merotan kepada guru yang disuarakan oleh beberapa pihak baru-baru ini merupakan satu langkah penting dalam menangani krisis adab dan disiplin pelajar yang semakin membimbangkan. Langkah ini, jika dilaksanakan dengan berhemah dan berpandukan prinsip pendidikan Islam, boleh menjadi mekanisme mendidik yang membentuk keperibadian pelajar dengan lebih berkesan.
Idea untuk melarang sama sekali amalan merotan pelajar banyak dipengaruhi oleh pemikiran Barat yang menolak segala bentuk hukuman fizikal atas alasan kemanusiaan. Walaupun pandangan tersebut lahir daripada keprihatinan terhadap penderaan, ia gagal membezakan antara merotan untuk mendidik dengan merotan untuk mendera.
Dalam konteks pendidikan Islam, perbezaan ini amat signifikan kerana tujuan merotan bukan untuk menyakitkan tubuh, tetapi untuk menyedarkan jiwa.
Niat adalah asas utama dalam amalan merotan. Jika niat guru atau ibu bapa ialah untuk mendidik, maka tindakan mereka tidak akan berlebihan atau bersifat dendam. Pelajar pula mesti difahamkan tentang kesalahan yang dilakukan agar hukuman menjadi proses pembelajaran, bukan ketakutan.
Selain itu, aspek fizikal juga diberi perhatian. Bahagian betis disarankan sebagai tempat rotan yang sesuai kerana tidak menjejaskan aktiviti harian seperti menulis, makan, atau beribadah. Merotan ketika marah juga ditegah kerana emosi yang tidak terkawal boleh mencetuskan tindakan melampau. Pendekatan ini menggambarkan keseimbangan antara tegas dan kasih sayang dalam mendidik.
Umur pelajar turut menjadi pertimbangan. Kanak-kanak di bawah usia sepuluh tahun tidak wajar dirotan, sebaliknya dididik melalui nasihat dan peringatan. Prinsip ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang menyuruh ibu bapa mendidik anak bersolat ketika berumur tujuh tahun, dan hanya boleh dirotan jika masih enggan melakukannya pada usia sepuluh tahun.
Baginda SAW juga pernah menganjurkan agar rotan digantung di rumah sebagai simbol peringatan dan disiplin — bukan alat mendera, tetapi tanda tanggungjawab dalam mendidik.
Amalan ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak menolak hukuman fizikal secara mutlak, tetapi menggariskan adab, batas dan tujuan yang jelas. Sekiranya panduan ini diikuti, hukuman rotan bukan sahaja tidak bercanggah dengan nilai kemanusiaan, malah berfungsi sebagai pendekatan pendidikan yang berakar pada kasih sayang dan tanggungjawab moral.
Namun begitu, pelaksanaan semula kuasa merotan perlu disertai garis panduan yang tegas serta latihan kepada guru bagi memastikan tindakan ini dijalankan secara beretika. Kementerian Pendidikan Malaysia wajar memperkenalkan kod etika merotan yang berpaksikan prinsip mendidik, bukan menghukum.
Dalam suasana masyarakat moden yang semakin menolak disiplin fizikal, keberanian untuk menilai semula dasar ini bukanlah langkah mundur, tetapi usaha memulihkan semangat pendidikan yang berpaksikan nilai moral, agama dan budaya tempatan. Kita tidak boleh terus meniru bulat-bulat pendekatan Barat yang sering menafikan dimensi rohani dalam pembentukan insan.
Mengembalikan kuasa merotan bukanlah mengundang kekerasan, tetapi menghidupkan kembali prinsip pendidikan berasaskan kasih sayang dan tanggungjawab. Jika dilakukan dengan penuh hikmah, ia dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga beradab, berdisiplin dan berjiwa besar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Mohd. Mokhtar Muhamad
Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: