SAUDARA PENGARANG
Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam usaha memerangi rasuah dengan menjadi tuan rumah Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-21 yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober 2025 di Sunway Resort Hotel, Sunway City Kuala Lumpur.
Penganjuran berprestij ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan “Inklusiviti dan Kelestarian”. Tema ini menzahirkan tekad negara untuk memperkukuh perpaduan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Langkah ini secara tidak langsung memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap misi global menentang rasuah melalui kerjasama diplomatik dan perkongsian kepakaran.
ASEAN-PAC merupakan platform serantau yang menghimpunkan agensi pencegahan rasuah dari sepuluh negara ASEAN dan penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati.
Ditubuhkan pada 2004, ASEAN-PAC pada asalnya dikenali sebagai sebagai South East Asia Parties Against Corruption (SEA-PAC) sebelum diiktiraf secara rasmi sebagai entiti ASEAN pada 2019. Fungsinya ialah memperkukuh kerjasama rentas sempadan termasuk perkongsian maklumat, latihan bersama serta pelan tindakan kolektif bagi menangani cabaran integriti di rantau ini.
Malaysia melalui SPRM yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) merupakan antara pengasas utama yang memainkan peranan sejak awal penubuhannya. Sejak dua dekad lalu, SPRM telah beberapa kali menjadi tuan rumah mesyuarat utama ASEAN-PAC termasuk Mesyuarat Principals pertama pada tahun (2005) dan Mesyuarat ke-10 pada tahun (2015).
Kini untuk tahun 2025, SPRM sekali lagi menggalas tanggungjawab tersebut, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik serantau dalam agenda antirasuah.
Dengan tema “Strengthening ASEAN Unity: Public-Private Collaboration in Combating Corruption”, mesyuarat kali ini membuka lembaran baharu dengan menekankan kerjasama sektor awam dan swasta. Pendekatan ini penting dalam membina ekosistem ekonomi berintegriti dan berdaya tahan seiring kehendak pembangunan mampan.
Di samping itu, organisasi antarabangsa seperti United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), dan Platform for International Academic Cooperation on Anti-Corruption (PIACCF) turut dijemput memperkaya perbincangan.
Antara agenda utama ialah kajian semula Pelan Tindakan ASEAN-PAC 2023–2025, pengesahan Pelan 2026–2028 serta pembentangan pengalaman negara anggota dalam melaksanakan inisiatif antirasuah masing-masing.
Tiga acara sampingan turut dirancang iaitu Showcase of Prevention Work, High Level Dialogue on Private Sector Compliance and Culture of Integrity bersama UNODC serta Program Hospitaliti dan Lawatan memperkenalkan budaya Malaysia.
SPRM juga akan mempersembahkan Portal ASEAN-PAC, platform digital interaktif bagi pertukaran maklumat, latihan dan amalan terbaik serantau. Langkah ini mencerminkan transformasi digital Malaysia dalam memperkukuh diplomasi antirasuah di peringkat antarabangsa.
Apa yang lebih penting, penganjuran ini bukan sekadar pertemuan tahunan tetapi manifestasi kesepakatan ASEAN menolak budaya rasuah dan memperkukuh keyakinan global terhadap integriti rantau ini.
Bagi Malaysia, penganjuran ini mengangkat imej negara sebagai hab diplomasi antirasuah serantau dan pusat rujukan integriti yang berwibawa.
Manakala bagi ASEAN, mesyuarat ini menjadi medan penting membentuk pelan tindakan yang inklusif, mampan dan berdaya saing, menuju aspirasi sebuah rantau bebas rasuah dan berintegriti tinggi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Datuk Rasidah Abdul Karim
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)