SAUDARA PENGARANG
Ramadan kini hampir melabuhkan tirainya, membawa kita ke ambang Syawal yang penuh kesyukuran dan kemeriahan. Ramadan tahun ini mencatatkan kemajuan positif dalam usaha mengurangkan pembaziran, dengan laporan SWCorp Malaysia (2025) menunjukkan pengurangan sisa makanan sebanyak 7%. Kejayaan tersebut seharusnya menjadi titik tolak bagi kita semua dalam menyambut Syawal secara lebih mampan, agar selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan prinsip Ekonomi Madani yang menjadi aspirasi Malaysia.
Meskipun Syawal sinonim dengan budaya membeli-belah, kita tidak boleh mengabaikan realiti bahawa industri tekstil global adalah antara penyumbang terbesar pelepasan karbon dioksida, iaitu sebanyak 4 bilion tan setiap tahun atau 10% daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dunia.
Paradigma membeli pakaian baharu secara berlebihan setiap kali Syawal perlu diubah kerana tindakan ini hanya menambah tekanan kepada krisis iklim global. Justeru, kempen seperti "Buy Less, Choose Wisely" perlu diperluaskan, bagi menggalakkan pengguna memilih barangan berkualiti tinggi yang tahan lama, mesra alam, serta menjimatkan perbelanjaan isi rumah dalam situasi ekonomi yang mencabar ini.
Amalan bijak 'mix and match' pakaian lama juga mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, sekali gus menyokong SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).
Dalam pada itu, hiasan raya di pusat beli-belah juga wajar menerapkan pendekatan lestari, misalnya dengan menggunakan semula hiasan lama atau memilih bahan kitar semula dan biodegradasi. Langkah kecil seperti membawa beg kitar semula ketika membeli-belah bukan sahaja mengurangkan pembaziran plastik tetapi turut membantu pengguna menjimatkan caj tambahan yang dikenakan ke atas beg plastik, seiring dengan matlamat SDG 13 (Tindakan Iklim) dan semangat Ekonomi Madani yang mengutamakan kelestarian dalam perniagaan.
Selain itu, tradisi balik kampung sempena Aidilfitri juga mempunyai impak ketara terhadap alam sekitar melalui peningkatan jejak karbon akibat penggunaan bahan api fosil. Menggunakan pengangkutan awam, mengamalkan perkongsian kereta, atau merancang perjalanan pada waktu luar puncak boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara.
Di samping menyokong SDG 13, langkah ini dapat mengurangkan kos perjalanan yang semakin meningkat akibat kenaikan harga bahan api. Mengikuti jadual perjalanan strategik seperti yang disarankan oleh Lebuhraya PLUS bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, bahkan memberi impak langsung kepada penjimatan kos isi rumah.
Tidak dilupakan juga, Syawal terkenal dengan tradisi rumah terbuka yang meriah, tetapi sering kali menyaksikan pembaziran makanan secara besar-besaran. Berdasarkan laporan MySaveFood (2024), sebanyak 60.7 tan makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan semula sepanjang tahun tersebut, dengan nilai RM726,000.
Bayangkan betapa banyak lagi makanan dan kos yang dapat dijimatkan jika setiap individu atau peniaga lebih teliti merancang jumlah hidangan yang disediakan. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos penyediaan makanan tetapi turut menyokong SDG 2 (Kelaparan Sifar), di samping memperkukuhkan tanggungjawab sosial yang menjadi teras dalam Ekonomi Madani.
Penggunaan plastik sekali guna semasa majlis rumah terbuka dan bazar Aidilfitri juga kekal sebagai isu kritikal yang memberi kesan kepada ekosistem marin seperti yang ditekankan dalam SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).
Sebagai alternatif, penggunaan bekas makanan yang boleh diguna semula atau bahan biodegradasi secara meluas amat diperlukan. Sebagai contoh, Universiti Malaya pada 2024 berjaya mengurangkan penggunaan plastik sepenuhnya dalam majlis sambutan Aidilfitri dengan menggalakkan tetamu membawa bekas makanan sendiri. Pendekatan ini bukan sahaja membantu alam sekitar, malah mampu mengurangkan perbelanjaan penganjur terhadap kos pelupusan sisa plastik.
Dari perspektif sosial, Syawal adalah peluang terbaik memperkukuh nilai kebersamaan, mengurangkan jurang sosial dan meningkatkan kesejahteraan komuniti. Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor mengagihkan lebih RM35 juta kepada 75,207 keluarga asnaf bagi membolehkan mereka meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu yang menggunakan keuntungan mereka untuk menyediakan bantuan Aidilfitri kepada golongan memerlukan. Tidak ketinggalan pada tahun lalu, Yayasan PETRONAS menerusi Program Memacu Kehidupan turut menyalurkan sumbangan kepada 4,900 keluarga B40 di seluruh negara, yang secara langsung meningkatkan kesejahteraan sosial dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, selari dengan matlamat SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan).
Dalam masa yang sama, budaya memberi dalam kalangan masyarakat boleh terus dipupuk melalui inisiatif komuniti seperti ‘FreeMarket’ dan program dapur komuniti yang menyediakan makanan percuma kepada golongan kurang bernasib baik sepanjang Syawal.
Aktiviti sebegini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan sosial, malah menjimatkan kos perbelanjaan makanan bagi golongan miskin bandar. Usaha ini dapat membentuk masyarakat lebih penyayang dan inklusif, sejajar dengan aspirasi SDG 11 (Bandar dan Komuniti Yang Mampan).
Dari segi ekonomi pula, membeli produk tempatan sepanjang musim perayaan membantu merancakkan ekonomi domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import yang menyebabkan peningkatan jejak karbon.
Selain memberi manfaat ekonomi kepada peniaga tempatan, tindakan ini turut menyokong aspirasi SDG 8 (Pekerjaan Yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi) yang memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan. Malah, pengguna juga dapat menjimatkan kos kerana barangan tempatan umumnya lebih mampu milik berbanding produk import.
Pada masa yang sama, pengurusan sisa secara efisien melalui penyediaan tong kitar semula di lokasi rumah terbuka dan bazar Syawal amat penting. Amalan ini bukan sahaja membantu mencapai SDG 12 tetapi turut menjimatkan kos operasi pengurusan sisa di peringkat pihak berkuasa tempatan. Kos pengurusan sisa yang tinggi boleh dikurangkan secara signifikan sekiranya masyarakat mengamalkan pengasingan sisa di sumber.
Secara keseluruhannya, Syawal 2025 adalah waktu terbaik untuk kita mengukuhkan lagi amalan lestari, sesuai dengan prinsip Ekonomi Madani yang menitikberatkan kesejahteraan, kelestarian, dan keadilan sosial.
Pendekatan lestari tidak bermaksud mengurangkan kemeriahan Aidilfitri, malah ia menjadikannya lebih bermakna kerana manfaatnya dirasai dalam jangka panjang.
Marilah kita bersama-sama meraikan Aidilfitri secara lebih lestari, bertanggungjawab, dan bermakna, demi masa depan negara yang lebih sejahtera.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Dalilawati Zainal
Pensyarah kanan
Jabatan Perakaunan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
E-mel: