SAUDARA PENGARANG
Teknologi yang popular masa kini tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perubahan tingkah laku perhubungan antara manusia. Jika sesuatu aplikasi teknologi itu dirasakan mudah digunakan, menurut model penerimaan teknologi (Davis, 1989), ia akan mempengaruhi keinginan seseorang untuk menggunakan aplikasi tersebut yang akhirnya akan mempengaruhi tingkah laku penggunaan sebenar mereka.
Banyak yang sering diperkatakan mengenai kebaikan teknologi dalam kehidupan manusia tetapi ia harus diseimbangkan dengan kehendak dan juga norma masyarakat. Bukan semua orang mempunyai pandangan yang sama terhadap pengunaan teknologi dan bukan semua teknologi itu sesuai untuk setiap golongan masyarakat mahupun dalam setiap peristiwa.
Terutama peristiwa yang menyentuh jiwa dan perasaan kita sebagai manusia dan mengimbau kenangan masa lampau. Pada masa kini, penggunaan kod QR sebagai salah satu cara untuk melengkapkan urus niaga adalah satu perkara biasa yang sangat luas dipraktikkan oleh setiap golongan masyarakat di Malaysia.
Ini adalah satu cara inovatif yang dapat memudahkan rekod urus niaga antara pemberi dan penerima bayaran. Imbasan kod QR banyak diguna pakai untuk urus niaga ekonomi, pesanan belian dan perkhidmatan, pemberian hadiah wang dan pembayaran zakat.
Ini dapat dilakukan dengan begitu mudah dan cekap melalui aplikasi dompet elektronik dengan menggunakan teknologi imbasan kod QR. Persoalan yang timbul haruskah budaya menggunakan teknologi ini diteruskan terutama menjelangnya Syawal yang akan menjelma dalam masa beberapa hari lagi?
Sesuaikah amalan pemberian duit raya yang dipandang sebagai satu norma ini diangkat menerusi penggunaan teknologi canggih yang lebih cekap dan efisien? Apa terjadi kepada amalan lama yang mungkin dianggap kuno oleh generasi kini? Dalam konteks pemberian duit raya, ia adalah satu amalan yang mempunyai beberapa pengertian di sebalik tingkah laku tersebut.
Ia merupakan satu ibadah bersedekah yang mempunyai pahala yang besar. Bersedekah juga dianggap sebagai pintu rezeki, dengan setiap pemberian akan diberi ganjaran lain kepada pemberi. Bersedekah dapat menerbitkan kegembiraan kepada kedua-dua pemberi dan penerima yang mendapat faedah daripada amalan berkenaan.
Sedekah juga dilihat dapat mengeratkan silaturahim antara manusia di mana dapat meringankan kesusahan yang ditanggung oleh penerima. Haruslah diingat bahawa amalan pemberian duit raya ini bukan sesuatu yang wajib dilakukan oleh semua orang. Ia adalah untuk mereka yang berkemampuan.
Tetapi, dengan penggunaan imbasan kod QR yang semakin popular dalam kalangan generasi muda masa kini, apakah akan terjadi kepada pengertian sebenar pemberian duit raya? Adakah ia juga akan menjadi satu imbasan kenangan masa lampau bagi golongan yang lebih berusia dan juga mereka yang tiada capaian kepada telefon pintar? Apakah kesan teknologi ini kepada pengertian sambutan Syawal?
Kesan imbasan kod QR
Jika kita perhalusi kesan imbasan kod QR sebagai kaedah pemberian duit raya ini akan menyebabkan segelintir masyarakat merasa terasing. Ini kerana penggunaan teknologi imbasan kod QR ini hanya dapat dicapai dengan telefon pintar dan juga dompet elektronik sama ada melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak bank ataupun pemberi perkhidmatan yang lain.
Tanpa telefon pintar, kod QR ini tidak dapat diimbas dan pemberian duit raya tidak dapat dibuat. Pemberian duit raya ini secara tradisional menggunakan sampul mempunyai elemen kejutan terutama apabila penerima tidak mengetahui berapa amaun yang terkandung dalam sampul tersebut.
Tetapi dengan imbasan kod QR, akan segera tertera di atas skrin amaun yang dimasukkan dalam akaun penerima. Terutama apabila penerima adalah golongan cilik, mereka tidak dapat menahan dari rasa ingin tahu berapa amaun yang diterima oleh kawan mahupun saudara yang berada di sekeliling.
Akan timbul pula perbandingan amaun pemberian duit raya. Imbasan kod QR ini juga boleh menimbulkan perasaan sama ada pemberian tersebut adalah secara ikhlas yang seharusnya dilekatkan dengan amalan pemberian hadiah.
Hadiah ini lebih sesuai digunakan supaya penerima tidak merasa seperti meminta-minta. Tetapi dengan penggunaan kod QR ini, secara simboliknya ia seperti meminta kerana penerima harus menayangkan atau berkongsi kod QR melalui mesej imej kod QR tersebut.
Dengan penggunaan imbasan kod QR juga akan menyebabkan kurangnya interaksi peribadi seperti amalan bersalaman tidak lagi diteruskan dalam pemberian duit raya susulan diganti dengan amalan menayangkan kod QR. Ini sedikit sebanyak akan menyebabkan kurangnya rasa hormat antara generasi dan akan merenggangkan hubungan kekeluargaan jika diamalkan secara berterusan.
Malah duit raya secara imbasan kod QR ini menyebabkan ikatan semakin terhapus kerana pemberi tidak dapat merasa nikmat memberi dan penerima tidak dapat merasa nikmat menerima yang sebenar. Masing-masing diwakili oleh skrin telefon pintar yang berantaramuka dan bukan lagi wajah manusia yang bersemuka. Dalam erti kata lain, kurang ikatan disebabkan lebih teknologi canggih ke atas amalan musim perayaan.
Setiap pemberian duit raya itu juga menuntut rasa keberkatan rezeki yang diperoleh oleh pemberi. Rezeki dari sumber yang halal apabila dikongsi pula dengan orang lain dapat menerbitkan keberkatan kepada pemberi di samping menyucikan diri dari segala dosa dan amalan kurang baik sesama manusia.
Ia seperti satu amalan serampang dua mata iaitu pemberian dan keberkatan. Walaupun kesan imbasan kod QR ke atas keberkatan rezeki ini dibatasi oleh garisan nipis ke atas sumber rezeki tersebut, seharusnya penerima juga perlu peka dengan kesan mereka.
Akhir sekali, selaras dengan perubahan teknologi, amalan lama seperti duit raya tidak terkecuali daripada perubahan. Seharusnya imbasan kod QR diguna pakai untuk tujuan memudahkan masyarakat dan bukan untuk merenggangkan generasi mahupun golongan kurang berkemampuan.
Imbas kod QR, imbas kenangan Hari Raya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Dr. Noor Ismawati Jaafar
Profesor di Jabatan Sains Pemutusan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
E-mel: