fb fb fb fb fb

Urus jurang pendapatan ke arah ekonomi pembangunan inklusif

Foto hiasan/Nahrizul Adib Kadri-Unsplash

SAUDARA PENGARANG

Pembangunan ekonomi sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah turut melibatkan keupayaan untuk memastikan hasil kemajuan tersebut dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat. Dalam konteks Malaysia, usaha ke arah mencapai ekonomi pembangunan yang lebih inklusif terus menjadi antara fokus utama dasar-dasar nasional.

Ketidaksamarataan pendapatan antara kumpulan berpendapatan tinggi dan rendah, serta antara kawasan bandar dan luar bandar, adalah isu yang memerlukan perhatian berterusan. Namun, penting untuk diakui bahawa pelbagai inisiatif sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kemakmuran negara dapat dikongsi oleh semua lapisan masyarakat.

Kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelbagai strategi sokongan seperti Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Induk Transformasi Sosioekonomi Luar Bandar telah menunjukkan komitmen serius dalam memperkukuh pertumbuhan inklusif. Inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pembiayaan mikro, serta program pemerkasaan komuniti luar bandar dan bandar turut menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

Di samping itu, usaha untuk memperluas peluang pekerjaan melalui pelaburan dalam sektor teknologi, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta pemerkasaan ekonomi digital telah mewujudkan pelbagai ruang baharu kepada golongan muda dan pekerja tidak formal.

Selain itu, Malaysia sedang bergerak ke arah memperkukuh jalinan antara pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama. Di kawasan bandar, pendekatan holistik seperti Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dilihat memberi kesan positif terhadap kualiti hidup kumpulan sasar. Bantuan ini bukan sekadar menangani keperluan asas, tetapi juga memberi ruang kepada mobiliti sosial melalui sokongan latihan dan keusahawanan.

Sementara itu, pembangunan luar bandar terus diberi penekanan melalui peningkatan akses kepada infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kemudahan teknologi. Langkah ini membantu merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan membuka peluang kepada komuniti luar bandar untuk turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Hakikatnya, pembangunan yang benar-benar inklusif memerlukan tumpuan kepada pemerkasaan rakyat; bukan hanya sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai pemacu pertumbuhan. Pendidikan berkualiti, peluang latihan kemahiran, dan akses kepada pasaran pekerjaan dan keusahawanan adalah antara elemen penting yang sedang diperkasa oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan sektor swasta.

Ekonomi sosial seperti koperasi, perusahaan mikro dan sosial, serta penglibatan masyarakat dalam inisiatif berasaskan komuniti juga menjadi pelengkap kepada pendekatan kerajaan dalam merapatkan jurang pendapatan. Dengan dorongan dan sokongan yang berterusan, rakyat Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam agenda pembangunan negara.

Transformasi ke arah ekonomi yang lebih inklusif adalah satu proses berterusan yang menuntut kerjasama pelbagai pihak dan adaptasi terhadap perubahan semasa. Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk membina masa depan yang lebih seimbang dari sudut sosial dan ekonomi.

Apa yang penting ialah memastikan setiap dasar dan program dilaksanakan dengan telus, bersandarkan data yang tepat serta bersifat responsif terhadap keperluan rakyat. Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan agihan kekayaan akan menjadi asas kepada kestabilan sosial dan kejayaan jangka panjang negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHAIRI ISMAIL
Dr. Mohd Khairi Ismail
Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran
Universiti Malaya
Pensyarah (Ekonomi)
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP)
Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI