SAUDARA PENGARANG
Pernahkah kita bertanya, apa yang sedang anak-anak kita hirup setiap hari di luar kelas, di perhentian bas, di padang sekolah dan dalam diam di ruang dada mereka sendiri? Pada 23 Julai 2025, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Lumpur mencecah paras 119, satu bacaan yang diklasifikasi sebagai tidak sihat untuk golongan sensitif.
Berdasarkan bacaan di 68 stesen pengawasan yang mengesan kualiti udara di seluruh negara, bacaan data IPU di lokasi seperti Tanjung Malim, Perak, terus meningkat melebihi 124.
Kita hidup dalam era teknologi canggih. Pelajar-pelajar kita sudah pun belajar tentang Internet of Things (IoT), data raya (big data), malah kecerdasan buatan (AI). Namun tiada gunanya kecanggihan itu semua jika kita tidak mendidik jiwa mereka untuk peka terhadap perkara yang paling asas, iaitu udara yang mereka hirup. Pendidikan hari ini terlalu terpesona dengan keupayaan teknologi memproses maklumat, tetapi gagal membentuk kesedaran tentang ekosistem yang semakin sakit.
Di sinilah jurangnya. Jelas sekali teknologi hari ini boleh mengukur tahap pencemaran secara masa nyata, tetapi ternyata ia belum tentu mampu memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan kita semua.
Pendidikan pula boleh mengajar silibus sains tentang karbon dioksida, nitrogen, dan zarah-zarah halus, tetapi tanpa naratif nilai yang jelas lebih bernilai. Pelajar dididik untuk hanya tahu, tanpa merasa. Seharusnya guru tidak boleh sekadar mengajar ‘apa itu IPU’, tetapi perlu turut membawa pelajar ‘merasai’ mengapa IPU itu penting.
Bayangkan jika kita semua menggunakan teknologi yang ada pada hari ini bukan hanya sekadar untuk tahu, tetapi juga untuk bertindak. Sistem penderia (sensor) yang mengukur IPU di sekitar kawasan sekolah boleh disambungkan kepada paparan LED di dewan terbuka, contohnya.
Setiap pagi, pelajar boleh melihat sendiri bacaan IPU dan lantas mampu membincangkannya di dalam kelas. Mereka bukan sekadar mendengar mengenai teori pencemaran udara, tetapi juga menganalisis pola, mengenal punca, dan mencadangkan cara penyelesaian.
Di sinilah AI dan data berfungsi sebagai pemula bicara, bukan pengganti manusia. Guru tetap diperlukan sebagai pusatnya iaitu dengan memimpin perbincangan dan dialog, menyemai sifat empati, dan seterusnya membantu membentuk pelan tindakan yang bersesuaian.
Sebagai contoh, pelajar boleh dipandu untuk menjalankan projek mini berbentuk sains data dengan mengumpul bacaan IPU harian, memplotnya dalam carta, mengenal pola dan corak data, dan mengusulkan cadangan tindakan komuniti yang bersifat kolaboratif.
Jelas, AI boleh dimanfaatkan secara bijak, bukan sekadar menjana jawapan, tetapi memodelkan senario dan mencetuskan tindakan berasaskan data. Maka di sini teknologi menjadi pemangkin, dan pelajar bukan sekadar bersifat pasif dengan menerima data begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.
Namun tindakan tidak akan berlaku jika kesedaran itu tidak dipupuk dari peringkat awal. Apabila udara yang kotor kembali menjadi normal, bahaya yang sebenar bukannya pada jerebu tetapi pada hati yang kematian rasa. Di sinilah pendidikan itu perlu disuntik semula dengan ruh maqasid.
Mendidik untuk menjaga kehidupan (hifz al-nafs), memelihara akal, dan memuliakan bumi adalah amanah. Maka, sebarang teknologi yang digunakan di dalam bilik darjah mestilah tunduk kepada matlamat yang lebih besar ini, iaitu menyedarkan manusia tentang tanggungjawabnya terhadap alam.
Jika tidak, kita akan terus menyaksikan ironi yang menyakitkan di mana anak-anak belajar AI di bilik darjah berhawa dingin, tetapi batuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Mereka pandai membaca data satelit, tetapi buta tentang asap di luar tingkap.
Udara yang kita hirup hari ini bukan hanya menguji kesihatan tubuh. Ia seharusnya menguji kepekaan akal dan jiwa masyarakat. Justeru, sekolah bukan sekadar tempat mengajar ilmu pengetahuan, tetapi medan membina kesedaran insan.
Oleh itu, teknologi bukan sekadar peralatan yang canggih, tetapi peluang untuk membangkitkan empati kepada orang lain. Guru pula bukanlah sekadar penyampai silibus pembelajaran, tetapi pemimpin nilai dalam zaman yang semakin menyesakkan ini.
Masa depan kita tidak hanya terletak pada data dan algoritma, tetapi pada manusia yang bijaksana mendidik anak-anak generasi kini memanfaatkan data yang ada di sekeliling kita untuk mencintai udara yang bersih dan bertindak semampunya untuk memelihara atau memuliharanya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Norhashimi Saad
Pensyarah Kanan
Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: