fb fb fb fb fb

Banteras buli pada usia muda, elak kesan serius

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Buli bukan lagi isu baharu dalam kalangan pelajar. Namun, apa yang membimbangkan hari ini ialah gejala buli semakin meruncing dalam kalangan murid sekolah rendah. Kanak-kanak seawal tujuh tahun sudah pandai memaki, menolak, memeras ugut dan menjatuhkan maruah rakan sekelas, sama ada secara fizikal, mental mahu pun digital. Ini menimbulkan persoalan tentang apa yang telah terjadi kepada masyarakat kita.

Lebih membimbangkan, data semasa menunjukkan peningkatan kes yang amat ketara. Menurut rekod Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia, bilangan kes buli yang direkodkan meningkat daripada 3,887 pada tahun 2022 kepada 5,891 kes pada tahun 2023. Sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 5,703 kes telah direkodkan, melibatkan lebih 11,500 pelajar.

Di Kedah sahaja, seramai 748 murid daripada 354,771 pelajar (0.21 peratus) telah terlibat dalam perlakuan buli. Jenis buli paling tinggi melibatkan buli fizikal (440 kes), diikuti buli bahasa, isyarat dan perhubungan. Perangkaan ini menunjukkan bahawa gejala buli tidak lagi terkongkong di sekolah menengah semata-mata, malah telah menular dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak sekecil itu mampu bertindak ganas terhadap rakan sekelas mereka? Antara punca utama ialah pengaruh persekitaran termasuk pendedahan kepada kekerasan dalam media, permainan video serta interaksi sosial yang toksik dalam keluarga dan komuniti.

Kanak-kanak yang sering terdedah kepada model tingkah laku agresif cenderung menirunya sebagai mekanisme pertahanan atau cara untuk mendapatkan perhatian. Lebih memburukkan keadaan, ada juga murid yang menjadi pembuli kerana mereka sendiri pernah menjadi mangsa sama ada di rumah, di sekolah, atau dalam talian. Kitaran ini jika tidak dihentikan akan berterusan dan menimbulkan kesan jangka panjang yang lebih serius.

Tindakan menangani buli tidak boleh ditangguh atau diserahkan semata-mata kepada pihak sekolah. Semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pentadbir, dan masyarakat mesti berganding bahu.

Ibu bapa disaran memberi perhatian bukan sahaja kepada pelajaran anak, tetapi juga kepada pengalaman harian mereka di sekolah. Perbualan mengenai apa yang dilalui, siapa yang mereka bergaul, dan bagaimana perasaan mereka seharian wajar dijadikan amalan.

Anak-anak perlu dibimbing sejak awal untuk mengenali perasaan sendiri dan belajar menghormati perasaan orang lain. Dalam usia semuda itu, mereka perlu diajar untuk berinteraksi dengan baik, bertolak ansur, dan menyelesaikan perselisihan secara berhemah. Pembentukan sikap ini akan menjadi asas kepada nilai murni yang mereka bawa hingga dewasa kelak.

Pihak sekolah pula mesti memperkukuh prosedur pemantauan dan pelaporan buli. Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa setiap aduan buli mesti diselesaikan dalam tempoh 15 hari, mengikut prosedur standard 1:3:7 hari. Namun, penyelesaian pantas tidak bermakna penyelesaian tuntas jika pendekatan yang diambil tidak menyentuh akar masalah.

Masyarakat secara keseluruhan juga mempunyai peranan besar. Sikap tidak mahu ambil peduli atau menganggap sesuatu isu sebagai bukan tanggungjawab sendiri perlu dihapuskan. Program komuniti, kempen kesedaran dan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa perlu dipergiatkan. Kita perlu melahirkan generasi yang lebih empati, bukan hanya cemerlang akademik semata-mata.

Jika gejala buli ini tidak ditangani dari sekarang, kita berisiko melahirkan generasi yang tidak peka, tidak beradab dan tidak tahu menghormati perasaan orang lain. Lebih buruk lagi, mangsa buli boleh mengalami trauma berpanjangan yang menghalang mereka daripada mencapai potensi sebenar dalam kehidupan.

Sebaliknya, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, kita mampu membina generasi yang lebih berempati, berani bersuara, dan saling menyokong. Sekolah akan menjadi tempat yang selamat dan menyeronokkan untuk belajar dan berkembang, manakala masyarakat pula akan menjadi ruang yang harmoni dan seimbang.

Buli bukan sekadar salah laku pelajar. Ia mencerminkan keretakan yang lebih besar dalam sistem nilai masyarakat. Sudah tiba masanya kita berhenti memandang sepi dan mula bertindak. Selagi tindakan ditangguh, luka dalam jiwa anak-anak akan semakin mendalam dan sukar disembuhkan.

Anak-anak ini adalah cerminan masa depan negara. Jika kita gagal melindungi dan membimbing mereka hari ini, kita bakal mewarisi masyarakat yang rapuh dan generasi yang pincang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. AZMIN AZLIZA AZIZ
Dr. Azmin Azliza Aziz
Pensyarah Kanan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI