SAUDARA PENGARANG
Matematik sering dilabel sebagai subjek yang sukar, membosankan dan menakutkan – seolah-olah hanya sesuai untuk murid yang “bijak nombor”. Namun dalam dunia yang pantas berubah dan dipenuhi data, teknologi dan cabaran kompleks, pemikiran matematik bukan lagi sekadar kemahiran akademik, malah ia adalah keperluan asas untuk semua individu pada masa kini.
Di Malaysia, laporan dan kajian menunjukkan bahawa ramai pelajar masih bergelut dengan subjek matematik. Bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana pendekatan pengajaran yang terlalu berpusat kepada hafalan, latihan berulang dan penekanan kepada peperiksaan. Akibatnya, ramai pelajar belajar untuk menjawab soalan, bukan untuk memahami.
Di pihak guru pula, beban tugasan bukan pengajaran, kekangan masa dan tekanan mencapai KPI sering menyukarkan usaha untuk melaksanakan pendekatan pembelajaran yang mendalam dan bermakna. Ramai guru mahu menjadikan matematik lebih menyeronokkan dan relevan, tetapi mereka memerlukan sokongan, latihan dan ruang untuk berinovasi.
Masalahnya bukan semata-mata pelajar yang gagal atau guru yang keletihan, tetapi sistem itu sendiri yang masih belum mengangkat matematik sebagai satu budaya pemikiran – bukan sekadar kandungan yang perlu diajar dan dihafal.
Matematik bukan sekadar rumus dan pengiraan – ia adalah cara berfikir yang melibatkan penaakulan, penyoalan, pencarian corak dan penyelesaian masalah. Ini adalah kemahiran yang diperlukan dalam semua aspek kehidupan, bukan hanya dalam bilik darjah. Namun, pelajar Malaysia masih diajar untuk melihat matematik secara sempit. Mereka cepat berputus asa apabila gagal mendapatkan jawapan yang “betul”, dan kurang diberi peluang untuk meneroka kaedah sendiri atau berdiskusi secara terbuka.
Kalau pelajar hanya disuruh ikut langkah, mereka tidak belajar berfikir. Kita harus kembalikan matematik kepada akarnya – sebagai alat untuk memahami dan mentafsir dunia.
Apabila kita menyebut nama Pitagoras, ramai teringat akan teorem segi tiga yang terkenal. Namun Pitagoras sebenarnya lebih daripada itu – beliau melihat nombor sebagai kunci kepada harmoni dan keteraturan alam. Begitu juga dengan tokoh-tokoh besar dalam dunia Islam yang telah meletakkan asas pemikiran matematik moden.
Al-Khawarizmi memperkenalkan sistem algebra dan algoritma yang menjadi asas kepada teknologi masa kini. Al-Tusi mengembangkan trigonometri sfera yang digunakan dalam navigasi dan kejuruteraan. Omar Khayyam pula menggabungkan geometri dengan falsafah, membina pemikiran yang bersifat holistik.
Para tokoh ini tidak sekadar menguasai ilmu – mereka mencipta, mengubah dan mengembangkan cara manusia berfikir. Mereka tidak belajar untuk menjawab peperiksaan, tetapi untuk memahami alam dan mencari makna dalam nombor dan bentuk.
Pendidikan kita seharusnya kembali menekankan kepentingan berfikir, bukan hanya sekadar menjawab. Pelajar harus dilatih untuk membina pemahaman sendiri, bertanya soalan yang baik, dan membuat keputusan berasaskan logik.
Guru pula perlu diberikan ruang untuk melaksanakan pengajaran berasaskan penerokaan, kolaborasi dan penyelesaian masalah dunia sebenar. Bahan bantu, pedagogi inovatif dan teknologi digital boleh menyokong usaha ini – asalkan terarah kepada membina pemikiran, bukan mengulang hafalan.
Kita tidak memerlukan semua pelajar menjadi ahli matematik, tetapi kita perlukan semua pelajar mampu berfikir seperti ahli matematik – sistematik, teliti, kreatif dan berani mencuba.
Bayangkan sebuah negara di mana pelajarnya tidak takut kepada nombor, tetapi mampu melihat matematik dalam seni bina, ekonomi, teknologi dan kehidupan seharian. Bayangkan seorang murid luar bandar yang berfikir seperti Al-Khawarizmi, atau seorang guru di sekolah harian biasa yang membina semangat Pitagoras dalam kalangan anak didiknya.
Inilah impian yang harus kita semai – membentuk generasi “Pitagoras Malaysia” yang bukan sahaja tahu rumus, tetapi mampu mempersoal, mengait dan mencipta ilmu baru.
Pendidikan matematik di Malaysia mesti berubah, daripada penekanan kepada peperiksaan ke pembudayaan pemikiran, dari guru menyampaikan rumus ke murid meneroka makna. Pitagoras dan Al-Khawarizmi tidak mewariskan jawapan – mereka mewariskan cara berfikir, dan warisan itu harus hidup dalam bilik darjah kita.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohd Razip Bajuri
Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: