fb fb fb fb fb

Dunia digital, adakah kita benar-benar merdeka?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Tanggal 31 Ogos saban tahun, laungan merdeka bergema di seluruh tanah air. Media sosial turut tidak ketinggalan menyambut semangat ini. Kita lihat wajah-wajah patriotik di laman Instagram, video TikTok dengan lagu Tanggal 31, dan pelbagai kapsyen berbunga yang melaungkan rasa cinta terhadap negara.

Rasa bangga melihat rakyat Malaysia bersatu menunjukkan cinta mereka kepada tanah air. Semuanya seakan-akan menjadi satu trend tahunan yang menunjukkan sokongan terhadap negara melalui posting digital.

Namun di sebalik sorakan dan unggahan bersemangat itu, timbul satu persoalan yang semakin meresahkan. Sejauh mana kita benar-benar menghayati makna kemerdekaan dalam dunia maya? Apakah kemerdekaan yang kita laungkan itu turut mencerminkan kebebasan emosi, maruah, dan keselamatan diri dalam ruang digital yang kita gunakan setiap hari?

Realitinya, ramai antara kita masih belum bebas sepenuhnya. Bukan daripada penjajahan luar, tetapi daripada bentuk penindasan yang lebih senyap dan halus, iaitu buli siber. Dalam era teknologi yang membolehkan komunikasi berlaku sepantas kilat, muncul pula fenomena yang menjadi penyakit jiwa moden.

Penghinaan, sindiran, kecaman terbuka, penyebaran aib serta penolakan sosial secara maya berlaku hanya dengan satu sentuhan jari melalui platform seperti WhatsApp, Instagram, TikTok dan Telegram.

Ironinya, kita tidak nampak wajah pembuli, tidak dengar suaranya, tetapi luka yang ditinggalkan amat mendalam dan berpanjangan. Jika dibiarkan, ia mampu memberi kesan yang sangat serius kepada mangsa, bukan sahaja dari segi emosi, malah boleh mengancam nyawa.

Menurut laporan Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2024, lebih daripada 8,000 kes buli siber telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia sehingga November tahun tersebut. Dalam masa yang sama, negara turut dikejutkan dengan beberapa kes kematian tragis yang berpunca daripada tekanan akibat buli siber.

Ramai antara mangsa memilih untuk berdiam diri, sama ada kerana rasa takut, malu, atau tidak tahu ke mana harus mengadu. Mangsa kebanyakannya terdiri daripada remaja, pelajar universiti, dan pekerja muda yang terdedah kepada tekanan sosial dan budaya digital yang toksik.

Lebih menyedihkan, dalam banyak kes, pelaku bukanlah orang asing. Mereka mungkin rakan sekolah, ahli keluarga, kenalan sekerja, atau individu dalam kumpulan WhatsApp yang sama. Inilah yang menjadikan buli siber sangat merbahaya. Ia ibarat duri dalam daging, kecil, tidak kelihatan, tetapi mampu meninggalkan luka besar dalam diri kita.

Buli siber juga hadir dalam pelbagai wajah. Ia bukan sahaja berlaku melalui kata-kata kasar atau makian terang-terangan, tetapi juga melalui tindakan pasif-agresif seperti membiarkan mesej tidak berbalas, menyindir dalam status, atau menyebarkan tangkap layar perbualan peribadi tanpa izin.

Dalam budaya digital hari ini, tindakan seperti ini sering dianggap perkara biasa dan tidak serius, bahkan kadang-kadang dilabel sebagai sekadar gurauan. Kebebasan bersuara pula sering disalah guna, dijadikan alasan untuk melemparkan komen-komen negatif atau menyentuh sensitiviti individu lain.

Lebih mengecewakan, budaya mengecam atau mengejek telah menjadi satu norma yang diterima ramai. Mangsa dipersalahkan, manakala pelaku pula diraikan dengan tanda suka dan perkongsian yang menggalakkan lagi penyebaran kebencian. Bila semua ini berlaku, masihkah kita boleh mendakwa bahawa kita benar-benar merdeka?

Kemerdekaan bukan hanya tentang bebas dari penjajahan fizikal, tetapi juga daripada penjajahan minda dan emosi. Jiwa yang merdeka ialah jiwa yang mampu hidup tanpa ketakutan, berani bersuara dengan bijaksana, dan bebas daripada rasa terhina di ruang yang sepatutnya menjadi tempat berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman.

Sudah tiba masanya kita menilai semula peranan kita sebagai rakyat Malaysia dalam menghadapi isu ini. Dalam dunia digital, setiap individu bukan hanya pengguna, tetapi juga pembentuk budaya.

Kita mempunyai pilihan sama ada menjadi penonton yang pasif atau agen perubahan yang aktif. Kita boleh memilih untuk mengabaikan atau membela. Dalam sebuah negara yang merdeka, tidak seharusnya wujud ruang untuk penindasan, walaupun ia berlaku dalam bentuk mesej, emoji, atau status maya.

Pendidikan tentang etika digital perlu dijadikan keutamaan. Ia bukan sekadar tanggungjawab guru atau pensyarah, tetapi juga ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat secara menyeluruh. Kanak-kanak perlu dibimbing sejak awal agar memahami beza antara bergurau dan menyakiti.

Orang dewasa pula perlu diberikan kesedaran agar tidak terus menyumbang kepada budaya buli yang semakin menular. Dalam masa yang sama, undang-undang berkaitan buli siber perlu diperkasakan supaya mangsa tidak dibiarkan tanpa perlindungan, dan pelaku tidak terus bebas daripada tanggungjawab.

Kemerdekaan yang sebenar tidak terhenti di pentas perbarisan atau dalam nyanyian lagu kebangsaan. Ia hidup dan bernyawa dalam cara kita memperlakukan satu sama lain, sama ada di alam nyata mahupun maya.

Jika kita benar-benar cintakan negara, maka kita juga perlu mencintai rakyatnya dengan memastikan ruang digital yang kita gunakan ini lebih selamat, lebih beretika dan lebih berperikemanusiaan.

Ayuh rakyat Malaysia, sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada penjajahan emosi, penindasan siber dan budaya kebencian yang membarah.

Biarlah kemerdekaan yang kita raikan tidak sekadar dalam simbol dan kata, tetapi juga dalam tindakan dan jiwa, bebas, berani, dan beradab dalam dunia digital yang kita bina bersama.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NUR SYAZWANI BINTI AHMAD
Dr. Nur Syazwani Ahmad
Pensyarah Kanan
Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI