SAUDARA PENGARANG
Berdasarkan trend pertahanan kontemporari, Unmanned Autonomous Vehicles (UAV) atau sering dikenali secara umum sebagai dron, telah menjadi satu aset pertahanan yang semakin penting. Teknologi ini bukan sahaja mempunyai keupayaan dan kepentingan tersendiri, malah fungsinya dilihat sudah menjangkau peranan sokongan semata-mata. Terdapat banyak kes dan contoh di peringkat antarabangsa yang menunjukkan kepentingan fungsi dan keberkesanan dron dalam operasi ketenteraan.
Serangan balas Persekutuan Rusia ke atas Ukraine pada 19 Julai 2025 yang melibatkan lebih 300 unit dron dan 30 peluru berpandu dalam satu malam membuktikan keupayaan teknologi ini dalam melaksanakan operasi serentak secara pantas, berskala besar dan sukar dikesan.
Di Timur Tengah, sepanjang konflik 12 hari antara Iran dan negara haram Israel turut menyaksikan trend yang sama. Reuters dalam laporan bertarikh 26 Jun telah memetik data daripada angkatan tentera penceroboh Israel yang menunjukkan bahawa lebih 1,000 unit dron dan 400 peluru balistik dilancarkan oleh Republik Islam Iran ke arah Tel Aviv. Serangan berskala besar seperti ini secara tidak langsung mengukuhkan domain udara sebagai medan utama pelaksanaan strategi jarak jauh dalam konflik moden.
Keupayaan dron dari segi taktik turut terbukti ketika konflik Azerbaijan dan Armenia pada September hingga November 2020. Dron Bayraktar TB2 keluaran Republik Turkiye telah digunakan secara efektif oleh Azerbaijan untuk melumpuhkan sistem pertahanan Armenia di Nagorno-Karabakh sehingga memaksa negara tersebut menerima gencatan senjata yang diusulkan oleh Rusia.
Di Semenanjung Korea pula, insiden lima unit dron Korea Utara yang memasuki ruang udara Korea Selatan pada Disember 2022, termasuk satu unit yang berjaya terlepas sehingga menghampiri ruang udara Seoul, mengesahkan fungsi dan keberkesanan dron sebagai teknologi pertahanan berkeupayaan tinggi.
Di Afrika, penggunaan dron semakin menjadi elemen utama dalam konflik bersenjata. Di Libya, Ethiopia dan Somalia, dron berperanan menewaskan pasukan bersenjata, memusnahkan aset udara serta menguasai kawasan tempur yang sukar dicapai oleh pasukan darat.
Ethiopia menggunakan dron keluaran Turkiye dalam operasi menumpaskan pemberontak Tigray. Nigeria dan Togo pula mengoperasikan dron sebagai cara mengawal sempadan dengan lebih berkesan khususnya bagi mengekang ancaman ekstremisme rentas wilayah.
Terbaharu, menurut laporan The Telegraph pada 28 Julai 2025, dalam pertempuran lima hari melibatkan negara jiran Thailand dan Kemboja yang berakhir dengan gencatan senjata pada Isnin, Thailand menggunakan pelbagai jenis dron termasuk quadcopter, dron FPV (first-person view), dan dron kamikaze pakai buang, di samping serangan udara pesawat F-16.
Memetik laporan ini, walaupun kebanyakan UAV kemungkinan dibeli dari syarikat pertahanan Amerika Syarikat atau Israel, Tentera Udara Diraja Thailand juga telah berjaya menguji dron kamikaze buatan tempatan bulan lalu. Konflik ini juga menepis tanggapan Barat bahawa dron tidak berkesan di kawasan hutan tebal.
Pertempuran di sempadan pergunungan Dangrek yang berhutan tebal ini membuktikan sebaliknya. Aplikasi teknologi dron dalam konflik serantau ini menjadi bukti kukuh tentang bagaimana dron telah mengubah landskap konflik masa kini.
Kelebihan Projek Dron Nasional
Berdasarkan segala perkembangan serantau dan global ini, keupayaan menghasilkan dron secara tempatan wajar diberi keutamaan. Malah perkara ini sudah menjadi satu kemestian yang tidak boleh dipandang ringan atau ditangguhkan. Kita tidak boleh terus menunggu dan berlengah.
Benar, kita boleh sahaja menjadi negara pembeli dan mendapat bekalan dron yang diperlukan daripada negara-negara pengeluar lain di dunia. Namun, pendekatan tersebut bukan sahaja memerlukan peruntukan yang sangat besar, tidak lestari dalam jangka panjang. Apatah lagi jika perkara tersebut tidak sama sekali membantu usaha mengurangkan kebergantungan pertahanan kepada negara luar.
Sebaliknya, dengan wujudnya satu usaha pembangunan keupayaan dron sendiri yang berfokus, projek seperti ini mempunyai banyak manfaat dan kelebihan tersendiri. Misalnya, pertama, ia membuka peluang yang membolehkan kita memilih dan menentukan reka bentuk dron yang dibangunkan agar sesuai dengan keperluan taktikal dan geografi rantau ini. Kita akan mempunyai banyak pilihan dan tidak lagi hanya terhad kepada bentuk atau model sedia ada dalam pasaran.
Kedua, dengan mempunyai satu projek dron negara yang khusus dan terancang, pendekatan tersebut dapat menggalakkan kerjasama antara industri, agensi keselamatan dan institusi penyelidikan dengan lebih strategik. Penggemblengan sumber dan kepakaran seperti ini akan memastikan pulangan kepada segala belanja penyelidikan kita dapat ditingkatkan.
Ketiga, dalam tempoh jangka panjang, kemandirian industri pertahanan dalam membangunkan teknologi dron sendiri bukan sahaja kritikal bagi membantu mengukuhkan kekuatan pertahanan strategik negara, malah sangat berpotensi menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi.
Ia sekali gus meningkatkan apresiasi terhadap budaya sains dan teknologi tempatan. Melaluinya, ramai bakat tempatan dapat digilap. Ia membangunkan imaginasi dan minat bakat tempatan untuk menyumbang kepada negara.
Keempat dan terakhir, seperti yang dapat dijangkakan, membangunkan kepakaran tempatan sudah pastilah akan membantu mengurangkan kebergantungan kita terhadap pembekal luar dalam tempoh jangka panjang.
Kerjasama penyelidikan dan projek pembangunan dengan institusi seperti Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai contoh, boleh menjadi landasan kukuh kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) jangka panjang yang berfokus kepada keperluan sebenar pertahanan negara.
Kesemua kelebihan ini menjadi asas kewajaran untuk negara memikirkan secara serius dan mempertimbangkan segera pembentukan satu projek pembangunan dron berskala nasional dengan mandat dan fokus yang khusus dan spesifik.
Turkiye Sebagai Penanda Aras
Turkiye adalah satu contoh jelas yang menunjukkan bagaimana dasar pertahanan yang terancang di peringkat nasional boleh mengubah kedudukan sebuah negara daripada pengguna kepada pengeluar dan pembekal sistem ketenteraan. Syarikat utamanya, Baykar merekodkan nilai eksport aset dan teknologi ketenteraan melebihi AS$1.8 bilion pada tahun 2024, dengan lebih 90 peratus hasil disumbangkan oleh pasaran luar.
Menurut laporan media Turkiye, Clash Report, sebanyak 34 unit Bayraktar TB2, iaitu produk dron buatan tempatan Turkiye, telah dieksport pada tahun lalu menjadikannya sistem dron paling banyak dijual di peringkat global. Jumlah ini mengatasi eksport dron buatan Israel seperti Heron (14 unit) oleh Israel Aerospace Industries, Hermes 450 (12 unit) dan Hermes 900 (11 unit) oleh Elbit Systems.
Negara-negara Afrika merupakan antara pasaran yang paling aktif membeli dan menggunakan dron buatan Turkiye. Kenya, Angola, Burkina Faso, Djibouti, Ethiopia, Mali, Morocco, Nigeria, Somalia, Togo dan Tunisia telah memperoleh Bayraktar TB2.
Morocco tidak hanya membeli, bahkan telah menandatangani perjanjian pembinaan dan penyelenggaraan Bayraktar TB2 dan Akinci di dalam negara sendiri. Kos yang lebih rendah – antara AS$2 juta hingga AS$5 juta seunit – menjadikan dron Turkiye lebih mudah diakses oleh negara dengan bajet pertahanan sederhana tanpa mengorbankan prestasi ketenteraan.
Di rantau ini, Indonesia menjadi negara pertama Asia Tenggara yang menandatangani perjanjian berskala besar dengan Baykar, melibatkan 60 unit Bayraktar TB3 dan 9 unit Bayraktar Akıncı UCAVs (unmanned combat aerial vehicles).
Perolehan ini membuktikan komitmen Jakarta dalam memperluas keupayaan udara tanpa pemandu, khususnya dalam menghadapi keperluan operasi merentas kepulauan dan ruang maritim yang luas. Pemilihan dua jenis dron ini mencerminkan pendekatan strategik Indonesia dalam memadankan pelaburan dengan keperluan medan sebenar.
Keperluan Pelan Strategik Jangka Panjang
Pencapaian-pencapaian ini meletakkan Turkiye berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk muncul sebagai peneraju utama dalam industri ini. Namun, semua itu sebenarnya tidak berlaku sekelip mata. Ia adalah proses yang memakan masa. Dalam kes Turkiye, kemajuan tersebut bertitik tolak dari iltizam kerajaan serta perancangan yang strategik dan serius.
Perubahan ini signifikan jika dibandingkan dengan kedudukan Turkiye sedekad lalu. Antara tahun 2010 hingga 2014, laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) mencatatkan bahawa Turkiye merupakan antara sembilan pengimport utama dron di dunia, dengan anggaran 6.2 peratus bahagian pasaran global.
Peralihan daripada negara pembeli kepada negara pembangun teknologi yang kini dieksport ke lebih 30 negara dalam tempoh singkat wajar dijadikan rujukan dalam usaha kita membina industri pertahanan yang berdaya tahan dan berdikari.
Oleh yang demikian, adalah berbaloi dan sangat wajar untuk kita meneliti secara mendalam dan mempelajari apakah pendekatan serta strategi Turkiye dalam hal ini. Sudah pasti banyak sekali perkara yang dapat kita contohi dan teladani. Dalam kerangka semasa, Kementerian Pertahanan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat sangat terbuka dan giat memperkukuh industri tempatan.
Perkara tersebut bukan sahaja merupakan satu perkembangan dan petunjuk yang baik. Malah, keseriusan Menteri Pertahanan untuk membangunkan keupayaan dan teknologi pertahanan tempatan menjadikan idea pembangunan teknologi dron sebagai projek nasional sesuatu yang munasabah serta selari dengan aspirasi MINDEF.
Lawatan rasmi Menteri Pertahanan serta deligasi selama tiga hari ke Republik Turkiye bermula 23 Julai 2025 yang lalu bagi menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa ke-17 (IDEF 2025) di Istanbul dilihat sebagai langkah proaktif dan strategik dalam usaha Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan negara, terutamanya ke arah pembangunan keupayaan dan teknologi dron tempatan.
Objektif utama lawatan, iaitu untuk menyasarkan pemindahan teknologi pertahanan adalah sangat relevan dengan aspirasi untuk menjadikan pembangunan dron sebagai projek nasional.
Ini sejajar dengan keazaman Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembekal asing dan pada masa sama, membangunkan kepakaran serta industri pertahanan tempatan yang berdaya tahan. Penandatanganan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) semasa pameran ini menjadi bukti konkrit komitmen Malaysia dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Jadi, perkara ini mesti dipandang serius dan dijayakan dengan sebaik mungkin. Sekali pun Menteri Pertahanan mempamerkan keterbukaan dalam hal ini dan sangat menyokong serta memandang teknologi sebagai teras penting kepada sektor pertahanan, aspek yang harus turut menjadi persoalan sekarang adalah, bagaimanakah kita sebagai sebuah negara menterjemahkan segala iltizam dan sokongan tersebut dengan berkesan demi kebaikan pertahanan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Mejar Wan Nurhidayat Wan Muhamad
Pemerhati teknologi pertahanan/penerima biasiswa Chevening
Sedang mengikuti pengajian Sarjana di Centre for Electronic Warfare
Cranfield University, United Kingdom