SAUDARA PENGARANG
Dalam dunia moden yang dipacu teknologi, bidang pendidikan tidak lagi boleh berpegang pada pendekatan "satu kaedah untuk semua." Realitinya, bilik darjah hari ini dipenuhi dengan pelajar yang mempunyai keupayaan, latar belakang dan gaya pembelajaran yang berbeza-beza. Golongan pelajar berkeperluan khas termasuk mereka mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran serta pergerakan, sering berdepan cabaran besar dalam sistem pendidikan arus perdana.
Justeru, timbul keperluan mendesak untuk mewujudkan pendekatan lebih adil, fleksibel dan responsif terhadap kepelbagaian ini. Teknologi digital muncul sebagai pemangkin penting dalam usaha ini, membolehkan penyampaian ilmu lebih mudah diakses dan disesuaikan mengikut keperluan individu.
Kerangka Pendidikan Berasaskan Teknologi
Salah satu kerangka yang menjadi landasan utama dalam membentuk pendidikan yang benar-benar inklusif ialah Reka Bentuk Sejagat untuk Pembelajaran atau Universal Design for Learning, (UDL). UDL bukan sekadar satu teori pengajaran, tetapi satu pendekatan holistik yang menekankan kepelbagaian dalam cara maklumat disampaikan, cara pelajar melibatkan diri dan bagaimana mereka menunjukkan kefahaman.
Apa yang membezakan UDL ialah penekanan terhadap reka bentuk awal yang mempertimbangkan keperluan semua pelajar, bukan hanya menambah baik akses selepas wujudnya halangan.
Dengan pendekatan ini, pendidikan untuk pelajar berkeperluan khas tidak lagi menjadi pengecualian, sebaliknya menjadi sebahagian daripada norma dalam persekitaran pembelajaran yang inklusif dan saksama.
Pelaksanaan UDL adalah berasaskan tiga prinsip utama iaitu pertama, “Kepelbagaian Cara Penyampaian Maklumat” yang melibatkan teks, audio, visual dan grafik bagi memastikan semua pelajar memahami kandungan pelajaran.
Kedua adalah “Kepelbagaian Kaedah Penglibatan” yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran secara interaktif, menyeronokkan dan relevan mengikut minat masing-masing, dan ketiga adalah “Kepelbagaian Cara Menunjukkan Kemahiran” yang bertujuan menyediakan pelbagai cara kepada pelajar menjawab soalan atau membuktikan kefahaman mereka.
Pelaksanaan UDL memanfaatkan sepenuhnya teknologi supaya pengajaran boleh disampaikan dengan lebih fleksibel, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan peribadi pelajar menggunakan pelbagai peranti pintar berasaskan teknologi.
Sebagai contoh, maklumat dapat disampaikan dalam pelbagai format merangkumi teks, audio, visual atau grafik interaktif sekaligus memenuhi prinsip pelbagai yang digunakan dalam UDL.
Selain itu, penggunaan aplikasi digital membolehkan pelajar memilih kaedah pembelajaran yang paling sesuai dengan gaya dan keupayaan mereka seperti kaedah simulasi, permainan pendidikan atau sokongan bantuan suara serta sentuhan.
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pula membantu penyesuaian sistem pembelajaran secara automatik berdasarkan prestasi dan tahap pemahaman pelajar.
Ia juga berupaya memberi maklum balas peribadi yang dapat membantu seseorang pelajar meningkatkan penguasaan subjek selain merealisasikan matlamat pendidikan inklusif yang adil dan saksama kepada semua.
Dengan itu, teknologi bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik tetapi membolehkan penyertaan aktif semua pelajar termasuk mereka yang berkeperluan khas.
Teknologi Menyokong Aksesibiliti Pendidikan
Salah satu kelebihan terbesar teknologi terutama digital ialah keupayaannya memperluas akses pembelajaran kepada pelajar berkeperluan khas. Misalnya, “pembaca skrin” dapat membantu pelajar bermasalah penglihatan memahami kandungan digital, manakala sari kata dan transkripsi automatik memudahkan pelajar kurang pendengaran mengikuti video pembelajaran.
Aplikasi mudah alih yang direka secara inklusif turut memainkan peranan penting seperti menyepadukan maklum balas suara dan sentuhan bagi menyokong pelajar yang menghadapi cabaran membaca atau melihat.
Pendekatan ini bukan sahaja memenuhi prinsip UDL, malah terbukti berkesan berdasarkan satu kajian di Maghribi yang mendapati 85% pelajar cacat penglihatan menggunakan “pembaca skrin” AI telah mengalami peningkatan dalam kepuasan pembelajaran dan prestasi akademik mereka.
Penggunaan teknologi digital terutama AI ini juga membuka ruang pembelajaran lebih inklusif dan dapat disesuaikan dengan keperluan pengguna. Misalnya, pelajar masalah penglihatan boleh menggunakan gabungan Chatgpt dan apliskasi VoiceOver atau Talkback untuk berinteraksi secara suara dan mendengar semula jawapan AI dalam bentuk audio.
Teknologi ini membantu mereka memahami sesuatu konsep yang kompleks dalam subjek dan membimbing pelajar berkenaan menghasilkan penulisan yang baik.
Bagi pelajar bermasalah pendengaran pula menggunakan aplikasi seperti Whisper AI yang dibangunkan OpenAI dapat membantu pelajar mengikuti pembelajaran dengan lebih baik. Aplikasi SignAI contohnya, mampu menterjemah teks ke dalam bahasa isyarat menggunakan avatar maya yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar mengalami masalah pendengaran.
Satu lagi contoh adalah proses pembelajaran subjek muzik yang boleh diperkukuh menggunakan teknologi digital seperti AIVA yang mampu menghasilkan komposisi muzik disesuaikan mengikut gaya pembelajaran pelajar terbabit dan ini memperkasa pelajar untuk berkarya tanpa batasan deria.
Teknologi Satu Cara Baharu Motivasi Pelajar
Motivasi pelajar sangat berkait dengan pengalaman pembelajaran mereka. Melalui penggunaan teknologi, ia dapat meningkatkan motivasi pelajar menerusi pendekatan lebih menarik seperti pembelajaran melalui permainan pendidikan atau gamifikasi.
Permainan pendidikan telah terbukti berkesan dalam membantu pelajar autisme dan pelajar masalah penglihatan mengikuti pembelajaran selain mendorong mereka menjadi lebih aktif dalam aktiviti kelas.
Ciri interaktif dan pintar seperti skrin sentuh, aplikasi latihan harian dan aktiviti berasaskan realiti maya (VR) memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi dan meningkatkan minat mereka untuk mengikuti proses pembelajaran.
Selain itu, teknologi seperti VR bukan sahaja terbatas kepada pelajar berkeperluan khas tetapi memberi pengalaman yang memupuk empati dan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar biasa.
Selain membantu pemahaman kandungan pelajaran, teknologi mampu membantu pelajar membina kemahiran sosial, komunikasi dan keyakinan diri. Sebagai contoh, aplikasi permainan pendidikan boleh dibangunkan khusus bagi pelajar cacat penglihatan mempelajari subjek matematik. Manakala, alat bantuan komunikasi (AAC) boleh menyokong pembelajaran murid prasekolah meningkatkan kemahiran penjagaan diri dan interaksi.
Pelajar yang mengalami masalah gangguan perkembangan seperti autisme pula boleh menggunakan VR untuk latihan fleksibiliti kognitif yang telah terbukti memberi impak memberangsangkan apabila dimanfaatkan dalam ekosistem pembelajaran mereka.
Dalam konteks pendidikan inklusif, penyemaian autonomi pelajar bukan sahaja dapat membina keyakinan diri tetapi memupuk kebolehan mereka untuk belajar secara berdikari dan aktif. Oleh itu, pendekatan UDL yang disokong teknologi memainkan peranan penting bagi menyemai autonomi dalam kalangan pelajar pada hari ini.
Autonomi yang dimaksudkan adalah pelajar boleh mengakses kandungan pelajaran mengikut minat dan gaya pembelajaran masing-masing tanpa perlu menunggu arahan guru secara langsung.
Dengan adanya teknologi digital dan AI seperti aplikasi pembantu AI, kalendar pintar atau penjejak kemajuan membolehkan pelajar-pelajar mengurus tugasan dan mengawal pembelajaran sendiri dengan lebih berkesan.
Bagi pelajar berdepan masalah pembelajaran boleh memanfaatkan aplikasi berasaskan suara atau penjana nota automatik untuk mereka memahami kandungan dengan lebih baik. Pelajar mengalami masalah penglihatan misalnya, boleh melayari kandungan secara mandiri menggunakan “pembaca skrin” dan arahan suara.
Menerusi integrasi teknologi pintar ini, UDL dapat membantu pelajar pelbagai latar belakang membina ekosistem pembelajaran tersendiri, dapat mengurangkan kebergantungan kepada bantuan khas dan memberi peluang kepada mereka mencapai keputusan akademik lebih baik.
Masa Depan dan Pembangunan UDL
Proses pembangunan UDL perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh menerusi tindakan-tindakan dalam pelbagai aspek bagi membantu pengembangan sistem pendidikan kepada semua pelajar termasuk berkeperluan khas.
Antaranya adalah pelaburan dalam penyelidikan teknologi baharu kerana kajian sangat perlu dilakukan untuk mengetahui sejauh mana dan bagaimana teknologi seperti AI lanjutan dan VR boleh dimanfaatkan dengan lebih baik untuk bidang pendidikan di negara ini.
Langkah seterusnya adalah menyediakan latihan kepada golongan pendidik atau guru kerana pendedahan mendalam tentang penggunaan teknologi secara berkesan dan dari sudut pedagogi tentang bagaimana UDL boleh diserap ke dalam pembelajaran pelajar.
Pembentukan kerjasama pelbagai pihak sangat diperlukan bagi menghasilkan reka bentuk teknologi. Ini kerana pembangunan aplikasi dan platform pembelajaran perlu melibatkan perspektif guru, pereka teknologi dan pelajar sendiri terutama yang berkeperluan khas.
Langkah lain yang perlu diambil adalah menyediakan garis panduan dan piawaian aksesibiliti bagi memastikan semua bahan pembelajaran dan pengajaran adalah mesra pengguna dan semua golongan pengguna. Prinsip UDL perlu diambil kira dalam pembinaan garis panduan dan piawaian ini.
Bagi membangunkan sepenuhnya konsep UDL ini, satu pelaburan menyediakan infrastruktur perlu dilaksana seperti akses kepada peranti digital kepada komuniti luar bandar dan akses Internet kepada semua pelajar yang memerlukan.
Dalam usaha memantapkan UDL, perkongsian amalan terbaik boleh dilaksanakan seperti penyediaan pusat sumber, forum atau komuniti dalam talian untuk berkongsi idea-idea, peralatan dan kejayaan pelaksanaan UDL misalnya.
Rumusan
Pendidikan inklusif bukan sekadar membuka peluang kepada pelajar berlainan keupayaan untuk ke sekolah tetapi turut meluaskan ruang kepada peningkatan potensi setiap pelajar.
Penerapan meluas teknologi digital dan pelaksanaan konsep UDL dapat mendukung aspirasi konsep pembelajaran kepada semua. Teknologi bukan satu jalan pintas. Ia ibarat satu jambatan harapan apabila digabungkan dengan prinsip UDL. Ini kerana, ia mampu membina laluan pembelajaran yang adil dan bermakna kepada semua golongan pelajar.
Dalam dunia yang serba canggih ini, tiada mana-mana pelajar yang patut tertinggal dalam mengejar ilmu pengetahuan. Inklusiviti sejati berlaku apabila setiap pelajar, tanpa mengira keupayaan, diberi peluang untuk bersinar dengan caranya sendiri. Inilah wajah pendidikan masa depan yang penuh empati, adil dan berdaya memberi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Aeni Zuhana Saidin
Pensyarah Kanan Program Multimedia
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: