fb fb fb fb fb

Iklan raya semakin moden, tanpa pinggirkan tema kekeluargaan

Antara iklan Hari Raya Aidilfitri terbitan RTM 2025/Foto hiasan - RTM

SAUDARA PENGARANG

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri tiba, salah satu perkara yang sering dinanti-nantikan oleh para penonton di seluruh negara adalah iklan-iklan raya yang menghiasi kaca televisyen. Iklan-iklan ini yang mempunyai kelompok peminatnya tersendiri, bukan sekadar sebagai medium pemasaran bagi jenama-jenama terkenal, tetapi juga menjadi satu bentuk hiburan menggamit memori dan emosi yang membawa para penonton ke dalam suasana penuh kehangatan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan perkembangan idea dan jalan cerita lebih kreatif dan meluas dalam cara penghasilan iklan-iklan raya. Malah lebih menariknya, iklan-iklan raya kini bukan lagi didominasi oleh syarikat-syarikat besar, tetapi juga sudah mula dihasilkan oleh syarikat-syarikat kecil dan persendirian.

Kreativiti dalam iklan raya kini tidak lagi terhad kepada gambaran suasana desa yang klasik atau gambaran tradisional seperti juadah ketupat dan lemang. Sebaliknya, lebih banyak iklan raya kini tampil dengan konsep yang lebih segar dan moden, tanpa mengetepikan nilai kekeluargaan yang merupakan inti pati sambutan hari raya.

Iklan-iklan ini yang sering menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya dan cara hidup, hadir dengan satu tujuan yang jelas iaitu merapatkan hubungan kekeluargaan, walaupun dengan pelbagai latar belakang dan cabaran yang dihadapi. Sebagai contoh, iklan-iklan raya yang menonjolkan hubungan antara generasi seperti hubungan antara datuk dan cucu, ibu dan anak, atau hubungan antara pasangan suami isteri, sering kali menarik perhatian penonton.

Iklan-iklan ini bukan hanya mengisahkan tentang perayaan itu sendiri, tetapi lebih kepada emosi yang terjalin dalam setiap pertemuan dan perpisahan, terutama apabila keluarga besar yang dipisahkan oleh jarak dapat bersatu semula selepas sekian lama. Keistimewaan ini menjadi semakin relevan dalam zaman serba moden di mana ramai di kalangan kita yang berjauhan daripada keluarga kerana tuntutan pekerjaan dan kehidupan seharian.

Salah satu elemen yang semakin menonjol dalam iklan raya pada masa kini adalah penggunaan teknologi dan media sosial. Banyak iklan kini mengetengahkan tema komunikasi jarak jauh, di mana ahli keluarga yang berada jauh di luar negara atau di tempat yang jauh dapat berhubung menggunakan telefon pintar atau aplikasi panggilan video dalam usaha mengeratkan silaturahim. Ini memberi sentuhan moden yang relevan dengan gaya hidup semasa, tetapi dalam masa yang sama tetap mengekalkan mesej bahawa keluarga adalah keutamaan, tidak kira apa jua situasi atau cabaran yang dihadapi.

Jalan cerita sebegini menunjukkan bahawa, walaupun dunia semakin maju dan berubah, ikatan kekeluargaan yang erat adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan apatah lagi dilupakan. Inilah yang menjadikan iklan raya di televisyen masih mendapat tempat di hati penonton dan dinanti-nanti, kerana ia menyentuh emosi dan membawa kembali memori indah bersama keluarga, serta mengingatkan kita akan pentingnya masa berkualiti bersama orang yang tersayang.

Iklan raya yang berjaya, bukan sahaja mampu menarik perhatian dengan kreativiti yang tinggi, tetapi juga yang dapat menghubungkan penonton dengan nilai-nilai murni yang terkandung dalam perayaan tersebut. Sama ada melalui kisah yang menyentuh hati, atau elemen-elemen visual yang menggambarkan suasana kehangatan keluarga, iklan-iklan ini terus mengingatkan kita bahawa hari raya adalah lebih daripada sekadar perayaan, tetapi juga satu peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Ternyata, kreativiti yang seiring dengan perkembangan teknologi banyak membantu dalam menyampaikan mesej yang lebih berkualiti dan lebih lebih mudah untuk dinikmati di mana-mana. Jika air dicincang tidak akan putus, maka iklan raya menjadi saksi bahawa sejauh mana pun kita melangkah dan secanggih mana pun gaya hidup kita, keluarga tetap menjadi paksi kebahagiaan dalam kehidupan kita semua. 

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI
Dr. Siti Aishah Mohammad Razi
Pensyarah, Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

TONTON IKLAN RAYA RTM 2025 DISINI
Duit Raya Dah Berapa
https://rtmklik.rtm.gov.my/play/program/duitrayadahberapa00001/duitrayadahberapa19mac2025/

MAT YUNUS BIN SABRI